Friday, May 27, 2011

TAQIYYAH MENURUT AHLI SUNNAH

Bila hangat kes Syiah di negara kita baru2 ini. orang yang kurang pengetahuan tentang Syiah (baca:saya) akan mula mengenali tentang istilah TAQIYYAH. yang baru selangkah pula bila mengetahui bahawa ia salah satu dari pegangan Syiah, terus mereka melenting yang Taqiyyah ini secara keseluruhannya tidak boleh dipakai. tapi, benarkah begitu? tanpa menafikan penggunaaan Syiah salah kerana terlalu membesarkannya sehingga ke perkara yang remeh, Aqidah Taqiyyah ini pada pandangan Ahli Sunnah pula bagaimana?

Ulama meletakkan penafsiran Taqiyyah ialah: Memelihara diri, maruah atau harta dari kejahatan musuh.

Ilmuan Islam juga mendefinasikan erti musuh kepada dua bahagian.

1. Musuh yang kerana perselisihan agama yang menjadi sebab permusuhan (musuh agama).

2. Permusuhan yang bersumberkan tujuan dunia seperti harta benda atau kerajaan (Musuh dunia).

Musuh Agama:

Jika seseorang mukmin berada di satu tempat yang dia tidak mampu menzahirkan agama, ia perlu berhijrah ke satu tempat yang ia boleh untuk menzahirkan agamanya. dengan syarat mukmin itu bukanlah wanita atau kanak-kanak atau orang tua (tidak upaya). mereka ini diringankan oleh Allah sepertimana firmannya dalam surah Nisa ayat 97 & 98.

dan jika golongan yang lemah dan kurang upaya ini ditakutkan akan dibunuh atau sebagainya, mereka boleh tetap dan menuruti secara zahir dengan tidak melebihi kadar yang darurat. Serta berusaha untuk lari dan keluar dari agama golongan tersebut.kerana ketika ini kita diberi kemudahan atau kelonggaran (rukhsah) untuk berbuat demikian. menyatakan apa yang di hati kita (keimanan) adalah 'azimah atau kewajipan. Jika ia mati kerana menyatakan keimanan seperti kes ini, ia dikira syahid. Perkara ini bersandarkan kepada hadis yang menceritakan tentang Musailamah al-Kazzab telah mengambil dia orang dari sahabat Rasulullah dan Musailamah bertanya kepada salah seorang dari mereka, "adakah kamu bersaksi yang (nabi) Muhammmad adalah Rasulullah?" jawab sahabat tersebut "ya, ya, ya" kemudian Musailamah membalas "adakah kamu juga bersaksi yang aku ini Rasulullah?" Sahabat tersebut menjawab "ya" mendengar jawapat tersebut Musailamah melepaskannya. Kemudian Musailamah memanggil sahabat yang kedua dan bertanya "adakan kamu bersaksi bahawa (nabi) Muhammad Rasulullah?" Sahabat itu menjawab "ya" kemudia Musailamah bertanya seperti dia bertanya kepada sahabat yang pertama "adakah kamu bersaksi yang aku juga adalah Rasulullah?" sahabat tersebut menjawab sebanyak tiga kali "aku tidak dengar (tuli)" Musailamah memancung tengkok sahabat tersebut. Apabila sampai cerita ini kepada Rasulullah, baginda bersabda yang mafhumnya "Adapun yang terbunuh, telah berlalu ia dengan kebenarannya dan keyakinan. dikira dengan kelebihan. adapun yang seorang lagi, diterima Rukhsah (kelonggaran) yang diberi oleh Allah dan tidak akan dituntut keatasnya.

Musuh Dunia:

Ulama berselisih pendapat tentangnya:

Pendapat yang pertama: wajib ia berpindah kerana firman Allah yang bermaksud "janganlah Kamu mencampakkan diri kamu dalam kecelakaan" al-Baqara 195. dan juga kerana larangan supaya tidak menumpahkan harta. juga larangan yang bersumberkan sabdaan Nabi (Mafhum) "sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah shahid"

Pendapat kedua mengatakan tidak wajib kerana ia adalah sekadar maslahah keduniaan dan tidak menjadi sesuatu kekurangan dalam agama kerana meningalkannya.

Menurut pengarang kitab Tafsir Ayaatul Ahkam ia berpendapat ketika ini juga menjadi kewajipan untuk berhijrah jika ditakuti berlaku kecelakaan pada diri dan keluarga atau dicemari kehormatan secara berlebih-lebihan.

Akhirnya suka untuk disebut respon kepada apa yang sering berlaku di sesuatu kelompok atau sesiapa sahaja yang menzahirkan kehormatan dan kasih sayang serta "wala' " dan persetujuan selagi mana ia tidak membawa kepada mudarat orang lain dan selagi perkara itu tidak mercanggah dengan asas agama ia adalah HARUS. Jika perkara ini membawa kepada mudarat orang lain seperti pembunuhan, dan kecurian, dan tipu dalam persaksian maka hukumnya sama sekali tidak boleh.

Sekadar sedikit perkongsian. jika didapati ada sebarang kesalahan dan sebarang kekurangan harap dapat beri respon kepada saya.


Tuesday, April 26, 2011

MASJID UMAWI.

Sekilas pandang

Nama : Great Mosque, Masjid al-Umawi, Omayyad Mosque, Jami al-Umawi

Lokasi : Damascus

Tarikh : 709-15; dibaikpulih 1970

Abad : 8

Jenis banggunan : Agama

Jenis kegunaan : Masjid

Sejarah..

Jika sesebuah negara mempunyai sesuatu yang menjadi sebutan atau mercu tanda bagi memudahkan orang mengenali Negara atau negeri tersebut, Masjid Umawi adalah titik penting sebagai tanda kepada Syria atau Damascus secara amnya. Seperti biasanya dikata orang, jika datang ke Syria tak singgah ke Masjid Umawi, seperti tidak datang Syria. Dilihat penting masjid ini kerana kecantikan, kepentingan dan kedudukan yang begitu signifikan.Satu ketika dahulu masjid ini Menjadi salah satu binaan ajaib dunia kerana kepentingannya dan kecantikannya. Masjid ini juga ada pendapat mengatakannya masjid yang pertama di Syria.

Damascus atau Damsyik ialah antara Bandar tertua yang berterusan penduduknya hingga kini. Dari ribuan tahun lagi, tapak terletaknya Masjid Umawi ini menjadi tempat ibadat bagi generasi ke generasi. Bermula (yang diketahui) dari tempat ibadat kaum arab yang dipanggil Aram sebagai didekasi untuk tuhan Haddad pada 3000 ribu tahun lalu, penemuan ini diketahui dari ekspidisi arkoelogi. kemudia ketika era Rom, Kuli Jupiter yang menduduki ruangan itu sehingga abad ke empat ia diubah menjadi gereja.Gereja ini diperluas untuk membina Cathedral St John. Sehingga pembukaan kota Damascus oleh tentera Islam pada tahun 661 M, Majid untuk kegunaan orang Islam dibina bersebalahan dengan gereja. Penganut keristian dan Muslim memasuk tempat ibadat masing-masing melalui pintu yang sama. Orang muslim ketika itu beribadat di bahagian timur dan sebaliknya orang Kristian di sebelah barat. Keadaan ini berterusan sehingga waktu pemerintaah Khalifah Ke 6 Bani Umayyah, Waleed bin Abdul Malik. Ketika melihat ruang solat sudah tidak mencukupi bagi umat Islam, serta melihat kepentingan tempat ibadat yang lebih besar bagi sebuah agama baharu, Khalifah Walid membuat perundingan dengan ketua-ketua gereja, bagi mengambil alih gereja sebagai tempat ibadat Muslim, dan digantikan empat gereja lain yang dibina tidak jauh dengan masjid Umawi. Gereja-gereja yang diganti ialah gereja Hamid bin Durra, Gereja St Mary, Gereja Musallaba, dan satu lagi gereja terletak di Souk Al-Jubin. Khalifah juga berjanji tidak akan mengganggu gereja lain, dan akan member pampasan atas runtuhan gereja tersebut.

Bermula pembinaan masjid ini dengan serpihan kota Roman Byzantin. Serpihan tersebut dijadikan beberapa sudut dari binaannya. Masjid ini berukuran 266 meter persegi dan dibina oleh ribuan tukang-tukang jubin, juru ukir, pekerja-pekerja binaan dan tukang kayu sehingga selelsai pembinaan. Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 10 tahun bermula tahun 706 M hingga 715 M. pembinaannya juga memakan belanja sekitar 11 juta dinar emas.

Keterserlahan Masjid ini begitu ketara dalam dunia Islam. Jika dilihat dari sudut binaanya, reka bentuk masjid ini telah digunapakai oleh ratusan masjid seluruh dunia. Hanya melihat di salah satu dari tiga menara masjid ini, iaitu Menara al-Arus (Menara Pengantin), dinamakan begitu kerana kecantikannya dan ketika pembinaannya disaluti emas. Dan menara ini dijadikan contoh senirekanya di negeri-negeri lain di Syria, Afrika Utara dan Andalus Spanyol.

Antara lain tentang sejarah, kita melihat para ulama lampau mengutamakan masjid ini dalam menyampaikan ilmu, dan mengarang kitab. Dikatakan, satu ketika dahulu, ketika al-Quran masih tiada baru, di dalam Masjid inilah baris atau titik yang pertama diletak. Di satu sudut juga, ada pada satu sudut di sana, teradapat satu penjuru yang dipanggil “Penjur al-Ghazali” yang ceritanya imam Ghazali menghabiskan karangan kitab “Ihya Ulumiddin” di sana.

Hari ini, Kementerian Auqaf (hal ehwal agama) membuat jadual pengajian untuk hampir setiap hari di sana. Tenaga pengajar yang terpilih bukan calang-calang. Ulama-ulama yang besar dan hebat di bidang masing-masing antara yang terpilih untuk menyampaikan ilmu. Antaranya, Prof Dr Said Ramadan al-Buti. Dr Wahbah az-Zuhaili dan beberapa ulama yang terkenal di Syria. Dari dahulu lagi, sejak turun temurun yang akan menyampaikan ilmu di sana ialah mereka yang dikenali sebaga ilmuan besar di zamannya.

Manara Masjid Umawi

Tiga menara tersergam indah mengelilingi Masjid ini. Dibahagian timur dipanggil menara Isa. Ia dinamakan sempena nama Nabi Isa kerana ada pendapat yang mengatakan Nabi isa akan turun di Menara ini. Satu hadis ada menyebut yang bermaksud bahawa Nabi Isa akan turun ke bumi di Damascus di satu menara putih di semuah masjid yang asalnya adalah gereja. Begitulah mafhum hadis. Tetapi tentang hakikat bahawa satu hari nanti Nabi Isa akan turun di menara masjid ini atau tidak, hanya Allah yang lebih mengetahui. Apa yang kita lihat pada hari ini bukanlah menara asal yang dibina di zaman Khalifah Waleed. Ini kerana pada pada tahun 570 hijrah menara ini telah terbakar dan dibaikpulih ketika zaman pemerintahan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi. Dan dibaiki juga sebanyak dua kali oleh Sultan Malik Shah. Satu dom yang berbentuk kot ditambah oleh kerajaan Usmaniah di puncaknya.

Menara yang kedua yang menghiasi masjid ini ialah Menara Al-Gharbiyyah yang bererti Menara Barat. Dinamakan demikian kerana kedudukannya di bahagian barat. Senasib dengan menara yang di habagian timur (Menara Nabi Isa) menara yang ketinggiannya 66 meter ini juga pernah Roboh. Menara ini dimusnahkan oleh Timberlain bangsa Tatar. Menara ini telah dibina semula oleh Sultan Kayutbai pada era Mamaluk. Arkitek yang bertanggungjawab pada pembinaannya bernama Salwan bin Ali yang mengadaptasi senireka Mesir. Kemudian menara ini dibaikpulih pada tahun 1923.

Menara yang ketiga ialah Menara ‘Arus. Seperti yang saya sebut sebelumnya Khalifah Waleed mengarahkan supaya Menara ini disalut emas. Tidak seperti kedua menara yang lain, menara ini sehingga kini selamat dari semua malapetaka. Dan rekabentuk dan keseniannya diadaptasi oleh arkitek-arkitek di Afrika Utara dan Andalus.

Pintu-pintu Masjid Umawi

Terdapat empat pintu yang mewakili empat sudut di masjid ini. Pintu yang terbesar ialah Bab Naufarah (air pancut) yang terletak di bahagian timur Masjid antara nama lain bagi pintu ini dahulu ialah Bab Jiron dan Bab Labadin. Di sebelah salatan pula,dikenali sebagai Bab Qawafin. Bahagian utara pula dikenali sebagai Bab Amara atau dahulunya dikenali sebagai Bab al-Faradis atau Nafteen. Yang terakhir yang terletak di bahagian barat, iaitu Bab Barid.

Marshad

Marshad ialah dewan resepsi. Nama marshad ialah panggilah untuk empat dewan resepsi yang di dalam Masjid Umawi. Marshad-Marshad ini kedudukannya terpisah oleh pintu. Marshad Othman yang di sisi utara pintu yang digunakan sebagai dewan resepsi utama. Marshad yang kedua yang terletak di sudut tenggara pula dijadikan tempat berwuduk. Marshad ini dikenali sebagai Marshad Orwa. Marshad yang ketiga ialah Marshad Abu bakar yang hari ini ditempatkan sebagai Muzium Masjid Umawi. Bagaimanapun, hari ini Marshad ini masih tidak dibukan untuk kunjungan umum. Marshad al-Hussein ialah Marshad yang terletak di sebelah Bab Naufarah. Di dalam Marshad ini terdapat Makam kepala Saidina Hussein iaitu tempat letak kepala saidina Hussain bin Ali R.A yang dibawa datang ke sana selepas dibunuh di Karbala. Kepala beliau kemudiannya dibawa dan dikebumikan di Mesir.

Antara lain yang menarik boleh kita dapati di sekitar Masjid ini ialah Makam Nabi Yahya (kepala) yang terletak di ruang utama Masjid. Selain itu di luar bahagian timur masjid pula dikebumi pahlawan Islam Salahuddin al-Ayyubi. di bahagia hadapan masjid di dalam ruang solat juga terdapat empat mihrab sebagai tanda empat mazhab Ahli Sunnah.

Kata-kata khalifah Waleed kepada penduduk Damascus: “Penduduk Damascus, anda berbangga dengan empat perkara di sekitar anda: Cuaca, Buah-buahan, Air dan Hammam. Dengan ini aku ingin menambah yang kelima: MASJID INI”


Tuesday, March 08, 2011

QASR AL-AZEM / AZEM PALACE

Sekilas pandang:
Kedudukan: dalam Old City. Bersebelahan dengan Bazar Buzuriah.
Harga Masuk: 150 Lira Syira dan pelajar 10 lira.
Waktu operasi: 09.00 am- 4.00 pm. cuti hari selasa.
Kategori: Muzium dan Rumah Tradisonal.

Keterangan:
Azem Palace Atau lebih dikenali dikalangan penduduk setempat sebagai Qasr al-Azm. Dinamakan istana ini sebagai Al-Azm sebagai sandaran kepada pemiliknya Gabenor Uthmaniyyah di Damsyik, As'ad Basha Al-Azm. Istana tersebut diperintahkan binaannya sudut salatan Masjid besar Umawi (Ummayad Mosque) bersebelahan denga Suq Buzuriah. ada pendapat mengatakan istana tersebut dibina atas penjuru tapak Istana Saidina Mu'awiyah bin Abi Sufyan (khalifah Bani Umayyah yang pertama). binaan Azem Palace ini bermula pada tahun 1749 dan mengambil masa selama tiga tahun, 1752.


Ssetelah selesai pembinaanya, Azem Palace menjadi istana tercantik di Kota Damsyik pada ketika itu. Azem Palace ini terus menerima kunjugan dari pembesar-pembesar dan tidak pernah lekang dengan pujian kerana kecantikannya. Masakan tidak, Sultan As'ad menggunakan tukang binaan yang paling mahir ketika itu. sehingga ia diberi jolokan Dar az-Zahab, Istana Emas.


Istana ini, terbahagi kepada dua ruang utama, Saramlik dan Haramlik. Haramlik digunakan sebagai ruang keluarga, di dalamnya terdapat, ruang hamba, Hammam, dan bilik-bilik yang cantik dan menggunakan ukiran yang menarik. Ditambah dengan taman dan kolam di tengah ruangan ini membuatkan ia kelihatan tentang dan begitu mempesonakan. di Saramlik pula, Terdapat ruangan besar dan bilik hiburan untuk kegunaan tetamu. Manakala di satu sudut di halaman nya dibina satu kandang untuk kuda-guda sultan. Di satu sudut bersebelahan dengan Kandang tersebut, didirikan sebuah pentas kayu untuk menjalankan hukuman gantung bagi penjenayah yang dianggap merbahaya. pentas ini kekal sehingga ia hangus bencana kebakaran.


Senibina Istana ini menggunakan konsep tradisional Ablaq Damsyik. batu-batu yang berselang putih hitam dan kayu-yang diukir cantik mencantikkan lagi senibina istana ini. Istana ini juga boleh dijadikan panduan kepada pengunjung tentang konsep rumah tradisional Damsyik.


Istana ini masih mengekalkan keagungannya sehingga ketika jajahan Perancis. Ia telah menerima penderitaan yang tak tertanggung. separuh daripada keseniannya hangus dibaham lahap api marak. dan setelah puluhan tahun dibiarkan sebegitu, ia telah dibaikpulih pada 1925 dan sekarang telah dibuka untuk lawatan. dan sekarang ia dijadikan Muzium Kesenian Tradisi Syria.


Saya pernah membaca satu tulisan berkenaaan istana ini, bertajuk (Qasr Al-Azm: Istana Airmata). sejak itu baru saya tahu bahawa pembinaan Istana ini atas tapak rumah rakyat ketika itu. dikatakan juga, batu binaan istana ini diambil dari runtuhan rumah yang diruntuhkan untuk digantikan dengan istana ini. tetapi saya tidak pasti samada rumah rakyat yang dirobohkan tersebut digantikan dengan rumah baharu atau tidak oleh pemerintah.


Seorang penulis sejarah berbangsa perancis ada menulis tentang istana ini " Azem Palace merupakan kediaman paling tua milik pemerintaha yang masih wujud hingga kini".

Di bawah ini sebahagian sudut Azem Palace. saya amik di internet ja.









Monday, March 07, 2011

Ugarit, Ras Shamra

Sekilas pandang:

Kedudukan: 6 Km arah timur Latakkia.

Kategori: Runtuhan Kota, Bandar Mati.

Waktu Operasi: 09.00 am- 06.00 pm Apr-Okt. 09.00 am -04.00 pm Nov-Mar. Tutup Pada hari Selasa.

Harga Tiket: Dewasa 150 LS. Pelajar 10.

Keterangan:



Ugarit adalah sebuah bandar mati yang mashur sebagai tempat kelahiran alphabet yang pertama ditemui di muka bumi. Selain itu bandar ini juga satu ketika dahulu pernah menjadi bandar paling penting di perairan Mediterranean. Di sini juga dijadikan pelabuhan antarabangsa yang pertama di dunia. Bukti-bukti juga mendapati terdapat perdangan dan perjanjian antara penduduk setempat (Ugarit) dengan beberapa kerajaan luar ketka itu seperti Cyprus dan Mesopotamia semenjak 3000 tahun Sebelum Masihi (BC).

Kemunculan Ugarit ketika Zaman Gangsa (Bronze Age). Terletak enam kilomiter utara Lattakia. Dijumpai oleh seorang petani seterusnya di teruskan oleh misi arkeologi perancis pada tahun 1929. Penemuan lebih bermakna dengan penemuan maklumat tentang agama Kanaan yang sangat signifikan bagi Kitab Ibrani / Perjanjian Lama kajian


Kemuncak kegemilangan Ugarit ialah sekitar 2000 BC hingga ke 1800 BC. Di mana mereka dapat menikmati kejayaan mengeksport timah yang menjadi trade mark bandar ini ke luar. Malah mereka juga pernah mengadakan perjanjian bertulis dalam perdagangan bersama firaun Mesir satu ketika dahulu.
Antara yang menkagumkan, hasil dari pelaburan dan pedagangan yang dijalankan, istana utama bandar ini menjadi istana yang paling dikagumi di Asia Barat ketika itu. Kejayaan dan kekayaan yang diperolehi oleh Ugarit sepadan dengan apa yang mereka belajar dan sepadan juga dengan pembaharuan yang mereka jalankan. Sebagai contoh, istana di sana sudah memiliki sistem paip air dan saluran air. Malah, rumah-rumah juga memiliki sistem yang sama.

Penggalian menemukan istana tersebut terdiri dari 90 bilik diletakkan sekitar lapan halaman tertutup, banyak rumah peribadi yang hebat, termasuk dua perpustakaan peribadi (satu milik seorang diplomat bernama Rapanu) yang mengandungi teks diplomatik, undang-undang, ekonomi, pentadbiran, skolastik, sastera dan agama

Apa pun, pencapaian yang paling bermakna penemuan alphabet Ugarit. Ia dibuktikan dengan penemuan batu bertulis yang menunjukkan bahawa ia adalah tulisan dan huruf-huruf yang tertua pernah diguna pakai satu ketika dahulu. Dua sistem bahasa yang dijumpai pernah digunakan oleh bangsa ini ialah, hiroglif (hieroglyphics: yang digunakan oleh orang Mesir) dan cuneiform (dari mesopotamia) penemuan menunjukkan secara am nya mereka menggunakan 30 simbol dan setiap satu mempunyai bunyi yang khas.
Pada tahun 1200 BC Ugarit telah jatuh di tangan Philistin. Kejatuhan mereka ketika itu bermakna hilangnya sinaran Ugarit dan saat kegemilangan mereka akan dilupai hingga ribuan tahun. Kehancuran Ugarit juga bermakna berakhirnya Zaman Gangsa dan permulaan Zaman Batu (Stone Age).

Saya yang tengah beri keterangan. (gambar atas dan bawah)





pintu masuk istana.
Ugarit, antara yang tersisa.

Ugarit, tinggal batu buruk.


Dulu tempat ini pernah menjadi satu kebanggaan

Kubu Salahuddin

Alhamdulillah tahun ini saya sempat untuk melawat ke Kubu salahuddin di Lattakia, satu negeri di Syria. Oleh sebab kunjungan Kubu Salahuddin atau dalam bahasa Arab dipanggil Qal'ah Salahuddin ini bersama pelajar-pelajar, saya diminta untuk mencari serba sedikit maklumat berkenaan kubu ini. jadi saya suka kongsi bersama dengan pengunjung blog ini.





QAL’AH SALAHUDDIN. (KUBU SALAHUDDIN)


Sekilas pandang:

Kedudukan: 30 Km arah timur Latakkia.
Ketegori: Kubu, Kota Kuno..
Waktu Operasi: 09.00 am- 06.00 pm Apr-Okt. 09.00 am -04.00 pm Nov-Mar. Tutup Pada hari Selasa.
Harga Tiket: Dewasa 300 LS. Pelajar 15.

Keterangan:Kubu ini ialah salah satu dari tiga kubu tentera salib yang menjadi tumpuan dan terkenal yang dijumpai di Syria. Sekira-kira ia juga yang kedua antara yang paling dikunjungi dan diraikan selepas Qal’ah Hisn (Crac Des Chevaliers). TE Lawrence ketika datang untuk menulis tentang Qal’ah ini ada menyebut ‘bagiku, ia (Qal’ah Salahuddin) adalah kubu yang terbaik yang pernah dibina pernah kulihat’. Lawrence ketika menulis memanggil Qal’ah ini Saône (Arab: Sayhun) kerana dari zaman peperangan salib nama ini yang digunakan sehingga ia dipanggil secara rasmi pada tahun 1957 dengan nama penakluknya (Sultan Salahuddin).

Kubu ini menjadi terlalu penting kerana kedudukannya yang terletak di antara perjalanan Latakkia ke Aleppo. kerana kedudukan ini juga, Tentera Salib berusaha keras untuk mendapatkan Kubu ini.

Antara yang mengesankan pada kubu ini, kedudukan ia dibina di lereng bukit dan berlindung di sisinya dua jurang tajam. Sebahagian besar yang kita dapati pada kubu ini di bina oleh tentera Salib pada abad ke 12 pada tahun 1188 atau 1119M. Ketika peperangan Salib, Salahuddin dan tenteranya Berjaya menawan dan menjadikannya kubu pertahanan bagi tentera Islam ketika itu.

Yang paling menarik tentang benteng adalah ngarai buatan manusia yang dibina di sekitarnya. Gaung ini sekitar 150 meter dan lebar 20 meter, Dipotong dengan tangan untuk memisahkan Kubu dari dataran seberangnya. Ngarai ini dibina dengan tujuan untuk membuat ai lebih sukar bagi penyerang untuk masuk. Sekitar 30 meter dalam, ke kanan.sebahagian kiri pula sedalam 28 meter dan dulunya di antara keduanya tereletak jambatan tarik dan dijadikan antara keduanya sebagai penahan jambatan itu. Ngarai ini dibuat ketika era Byzantine dan dikatakan tentera salib yang menyempurnakan penggalian sehingga selesai.

Kembali kepada sejarah pembinaannya, kubu ini dibina sejak zaman purba lagi, sekitar kerajaan Phoenician atau pada millennium yang pertama sebelum BC. Kemudian sejarah mencatatkan bahawa pada Phoenician telah menerahkan Kubu ini kepada Alexander The Great pada tahun 334 BC. Pada era yang seterusnya, Maharaja Yohanis I, Tzimisces menguasai tempat ini selepas dinasti Hamdanid Aleppan dan membina struktur pertahanan awal pada benteng Kubu Salahuddin.

Setelah itu,Kubu ini jatuh ke tangan Tentera Salib pada kurun yang ke 12 pada 1119 M. Kubu ini dikuasai oleh Robert dari Saône yang diberi perintah kawalan oleh putera Antiokhia, Roger. Tentera Salib menguasai Kubu ini sehingga ia dikuasa oleh Salahuddin.

Selepas dikuasi oleh orang Islam, kita boleh dapati di kubu ini dibina Masjid dan istana. Juga terdapat tempat simpanan air.

Ini Ngarai yang dikatakan digali mengguna kan tangan, bukan mesin.


Dari Luar Kubu

Lagi ngarai, dulu antara dua curam ini di letakkan jambatan tarik.




Friday, April 10, 2009

SAMBUTAN MAULID RASUL DI DAMASCUS

Setiap negara mesti ada keunikan masing-masih. Termasuklah Syria ini. Kalau di sudut alam penduduk Syria sangat-sangat menkagumi cuaca seperti Negara kita, kami juga tidak kurangnya seronok bila dapat merasai cuaca 4 musim seperti di sini. Di sudut lain mereka sangat suka kehijauan yang dimiliki Malaysia dan kami juga sangat suka dengan pelbagai jenis buah-buahan mereka.

Allah, kami syukur dengan segala limpahan nikmat yg engkau berikan.

Sebenarnya saya Cuma ingin sebut sedikit tentang cara mereka menyambut kelahiran Junjungan besar Pesuruh Allah, Muhammad SAW. Ya, mungkin ada sebahagian tidak menanggap ini sebagai perkara yang menarik, tapi itu bagi mereka. Bagi saya pula ini topic ini agak menarik dan suka untuk saya letakkan di sini.

Muslim Syria (sebenarnya Damascus) bagi saya sangat sangat menyayangi Rasulullah. Tanpa lansung menafikan yang umat islam di Negara lain juga menyayangi baginda rasul. tapi jika di bandingkan dengan sebahagian tempat, saya percaya di sini ada kelebihan tersebut. contohnya berlaku pergaduhan di jalanan, jika seorang yg ingin meleraikan pergaduhan tersebut akan berkata ”selawat keatas nabi!” secara tidak disedari orang orang yang bergaduh tersebut seperti terkena kejutan elektrik dan segera sedar. Mereka terus berselawat. Kalau ingin melihat contoh nya boleh membaca novel Ayat-ayat Cinta. Disini juga kalau ada sahaja orang menyebut nama nabi tanpa selawat, orang yg mendengar akan berselawat ke atas baginda (kalau di sebahagian tempat di Malaysia kena sebut SAW baru akan mereka akan berselawat). Guru-guru pula jika mengajar tentang peribadi rasullah (seperti membaca kitab kitab as-Syifa) biasanya akan mengalir air mata, rindu dan kagum dengan shaksiah baginda.

kasih mereka terhadap baginda begitu mendalam, kita akan perhatikan hampir setiap Jame’ dan masjid di sini akan berusaha untuk adakan program dan majlis semepena tarikh kelahiran ini. Kalau di Malaysia tidak lah begitu ketara kerana setiap kampong biasanya hanya ada satu masjid. Tapi disini hampir setiap 500 meter ada masjid dan jika hampir setiap masjid adakan majlis, mesti meriah. Kalau di Malaysia tempoh buat rumah terbuka sempena raya sebulan di sini sambutan maulid juga begitu, seperti tempoh sebulan untuk masjid-masjid mencari malam yang sesuai untuk diadakan program. Dan setiap masjid akan adakan dengan cara yang berlainan tetapi hadaf (tujuan) yang satu, membuktikan cinta kepada Allah dan pesuruhnya, baginda Rasul Muhammad.

Tentang aturcara, ada juga masjid yang selang-selikan antara bacaan qasidah burdah dan sedikit ucapan dari ulama yang hadir (biasanya setiap majlis ramai ulama yang akan turut serta), samaada tentang peribad rasul atau kepentingan mencintai rasul dan sebagainya. Dan ada juga yang membuat bacaan kitab serta sanad oleh syeikh tertentu. Caranya menkhatamkan sesebuah kitab (contoh Syamaiil Muhammadiah: kesempurnaan Nabi Muhammad) di dalam majlis tersebut dan diberi seperti ijazah yang mengandungi silsilah yang berterusan dari guru sehingga pengarang kitab. Ada juga masjid yang majlisnya lebih kepada ucapan para ulama dan disertai oleh selawat-selawat dan pujian kepada rasul.

Ini sebahagian dari apa yang sempat saya ikuti di sini. Mungkin ada pelbaga acara yang menarik tetapi tidak sempat diingati dan tak sempat nak dimasukkan. Jadi harap maaf.

Hakim, maaf lambat update. semangat nak menyambut maulid pon dah pudar. huhu

Monday, October 27, 2008

LAGI TENTANG RI

Semalam saya dapat tahu yang Ri sudah diberkas Polis sehari dua yang lepas.

16 kes samun dan 2 dua kes rogol adalah tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Mari sama-sama kita berdoa agar dia segera sedar.

Sunday, October 12, 2008

YA ALLAH, APA YANG BOLEH KUBANTU?

Semenjak saya pulang ke tanahair bulan lepas, saya selalu berjalan ke rumah kawan-kawan yang telah sekian lama kami terpisah. Masa itu kami sering bertanya khabar. jika kawan-kawan saya di sini akan bertanyalah tentang kawan-kawan di Syria. Saya pula, akan selidiklah tentang kawan dan sahabat yang saya belum jumpa. itu normal bukan? bertanya khabar.
Ini apa yang sebenarnya saya nak cerita,
Semasa sedang bersembang dengan beberapa orang sahabat, saya bertanya tentang seorang junior di sekolah lama saya kepada seorang sahabat yang kebetulan sekampung dengannya. katalah namanya Ri (bukan nama sebenar). Saya benar-benar terkejut bila saya dapat tahu kisah Ri. begini kisahnya:
Ri pada tahun 2003 kalau tak salah ingatan saya pernah tinggal sebilik dengan saya ketika kami bersama-sama di sekolah dahulu. ketika saya berumur 16 tahun dia baru berumur 13 tahun. kiranya saya ini agak rapat dengan Ri ketika itu. walaupun tak banyak tapi ada beberapa perkara dia ada juga mengadu kepada saya, mungkin ketika itu saya selaku ketua di bilik yang kami duduki. adakala, bila dia begurau dengan saya agak kasar, siaplah dia saya ketuk kepalanya.
Ri, dulu juga seorang yang sopan dan sangat lemah lembut. kalau dalam bermuamalat sesama kawan-kawanya saya yakin semua orang senang dengannya. guru-guru juga, jika ingin menghukum, biasanya kesalahan biasa-biasa sahaja yang Ri lakukan. Ya, anda tentu dah dapat bayangkan apa yang saya nak sampaikan bila saya ceritakan kisah lampau Ri.
Hari ini Ri bukan lagi Ri dahulu, dia bukan lagi apa yang saya pernah kenal. Jika dulu Ri adalah watak yang sangat-sangat disenangi, hari ini tidak lagi. Ri hari ini sering diburu dan dicerca oleh ramai orang, termasuk polis, samseng dan orang kampung. Saya hampir menangis bila saya mendengar kisah Ri.
Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar dari kisah Ri.
Saya dapat tahu, dua tahun lepas akibat dari ketagihan dadah Ri mengugut ibunya. Ri letakkan pisau di leher, dan hampir-hampir benar membunuh ibunya. memang kerja gila. polis kemudiannya membawa ke pusat pemulihan. itu bukan kali pertama dia dibawa oleh polis, tapi sudah beberapa kali.
Sebelum ini juga dia dicekup polis dek kes rogol anak dara orang. mungkin mereka ini lebih kepada zina, bukan rogol. tapi kerana ketika itu masih di bawah umur dia dikira kes rogol. Keluarga perempuan itu menarik balik laporan polis bila ayah Ri memujuk dan berjanji akan kawinkan Ri dengan perempuan tersebut. Ri, oh Ri. Ri pula enggan kawinkan budak perempuan itu dan akhirnya kes ini kembali menjadi kes polis. hingga hari ini juga, kes ini masih belum selesai.
Saya sentiasa bordoa agar Ri yang saya anggap sebagai adik ini segera bertaubat.
baru ini selepas adakan rumah terbuka sempena raya, makcik ini sedang berkemas di halaman rumah. Kemudian dia disapa oleh orang yang mengkui dari syarikat khemah yang disewa makcik itu. tapi tak sempat berbuat apa-apa makcik itu diragut dan mereka terus melarikan diri. Dari apa yang makcik itu ceritakan, dari watak dan pengenalan peragut itu, orang ramai menuding jari kepada Ri dalam kes ini. ini kes terbaru. baru seminggu dua ini.
Apa punca Ri jadi begini?
Kawan-kawan beritahu yang ayah si Ri ini terlalu manjakannya, sebut sahaja apa yang dia inginkan, mesti dituruti. ketika kes kes yang saya sebutkan di atas., ayahnya masih membelanya. masih percaya kepada anaknya ini.
Kawan-kawan juga ada beritahu yang di antara punca juga ialah pengaruh kawan-kawan yang yang liar. Saya pula tak sepenuhnya sama pendapat dengan mereka. Ada juga yang punya kawan yang liar dan punya keluarga yang sentiasa menuruti permintaan, tapi tak jadi macam ini pun. walaupon ada benar apa yang mereka katakan tetapi bagi saya kesalahan ini Ri perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Tak boleh salahkan sesiapa.
Ya Allah, apa yang boleh saya bantu dia.

Wednesday, October 08, 2008

KASIHAN DIA

Saya ada seorang kawan. Dia punya satu kelebihan dan mungkin boleh juga kita namakan kekurangan. ya, kelebihan kerana dia sangat suka jaga perasaan orang dan saya sebut kekurangan bila dia menjaga perasaan orang dia lupakan perasaan sendiri. hati dia sering dilukakan oleh diri sendiri dan orang lain. cuma satu puncanya, sifat baik hatinya itu lah.

Mungkin ada orang kata saya cerita tentang diri saya sendiri. tapi sebenarnya tidak. saya cuma nak kongsikan cerita ini.

Saya pula jenis yang sebahagian orang kata sangat pentingkan diri. itulah sebab saya masukkan entri tentang ini. mudah-mudahan saya juga menjadi orang yang sedikit terlibat terhadap kebaikan orang dengan mengorbankan kebahagian sendiri (jika perlu). ada orang bertanya kenapa perlu sampai perlu korbankan kebahagiaan sendiri. bukankah boleh dengan kita beri kebahagian tanpa kita menjadi korban.

Itulah masalahnya. mungkin ada jenis yang tek perlu kita menjadi korban. Adakala sebahagian pengorbanan tu memang menuntut kita menjadi korban. dia hanya perlu bersenyum dan berkata. ohh, gembiranya. dan saya sangat tahu hatinya. bagai bara dalam genggaman.

Pernah sekali kerana kes seperti ini. gara-gara nak meraikan orang, dia hampir tak boleh tidur malam. saya sebagai kawan, hanya boleh beri semangat. kata saya lagi, mungkin dengan pengorbanan yang dia beri hari ini, akan datang balasan yang setimpal akan dia perolehi. sekarang bersabarlah.

Dan pernah sekali dia ceritakan kepada saya tentang dia sukakan seorang gadis. tapi oleh kerana kawan kepada sahabat saya ini juga suka kepada gadis yang sama maka, dia terus senyap dan tak luahkan lansung perasaan dia. malah seorang pon tak tahu cerita ini kecuali kawan baik dia sahaja. ha ha saya la kawan baik dia tu.

Dan ini jawapan saya kepada dia, "Hang Bodo, haha. kalau ya pon nak berkorban jangan sampai hang terkoban" dan ayat seumpama ini yang saya selalu kata kepadanya.

Macam cerita dalam tivi la pulak. tapi ini la hakikat.

Keadaan menjadi lebih parah apabila dia seperti ada tekanan dan seperti menjadi cepat marah. dia lebih suka memilih termenung selepas seketika dia ditimpa masalah. tunggulah beberapa waktu pula untuk melihat dia kembali seperti biasa.

Saya sangat-sangat percaya yang ramai dari kalian macam sahabat saya yang sorang ni. Mungkin kalian juga punya alasan tersendiri berbuat begitu kan. saya pula mungkin ada cara tersendiri. ya, saya seperti sebahagian kawan saya akui, sangat pentingkan diri.

Mungkin, saya juga nak jadi macam sahabat saya itu. Dan nanti tu masih tak tahu bila.
Habis cerita.
Kenapa ntah, saya rasa keyakinan diri saya benar-benar merudum jatuh. ketika ini.

Wednesday, October 01, 2008

SALAM AIDIL FITRI

Selamat hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin jika saya ada melakukan sebarang kesalahan kepada kalian.

Sedih tak setelah ramadhan tinggalkan kita?

Tahun ini Walaupun saya beraya di Malaysia, tetap sunyi. kali ini kami beraya tanpa abah di sisi. Apa-apa pun kami perlu tabah kan?

Thursday, September 18, 2008

PULANG JUGA SAYA AKHIRNYA

Sedar atau tidak, rupanya dah tiga tahun atau 1131 hari saya di Syria. Alhamdulillah, khamis lepas saya telah selamat pulang ke Malaysia. Melepas juga rindu saya kat tanahair. Dan apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua kerana kerana mendoakan saya selama ini.

Waktu nak balik dahulu, 9 september gara-gara asyik dengan bersalaman dengan sahabat, kami teringgal kapal terbang. Haha. Punya la sedih waktu itu. Rujuk ke pejabat syarikat penerbangan, kami diberitahu bahawa 22 september adalah tarikh terawal yang dapat kami naik sebagai ganti kepada penerbangan kami yang lalu. Masalahnya ialah penerbangan dari Damascus ke Abu Dhabi, semuanya penuh. Dari Abu Dhabi ke KL tak ada masalah masih ada kosong. Hmm.. kami mengambil keputusan tunggu ja di airport Damascus pada 10 september kerana ada penerbangan yang nak ke Abu Dhabi walau penerbangan tu dah penuh. Manalah tahu kalau ada orang yang lambat juga kami akan ambil tempat mereka. Dan nasib kami baik kerana memang ada orang yang tak jadi datang. Syukur. Oh, anda jangan kata kami mendoakan supaya mereka tak jadi datang. Saya tak seteruk itu.

Ohh, ini adalah beberapa perkara yang nak saya komen selepas saya balik,

Satu, kalau dulu masa di Syria semua pertuturan adalah dalam bahasa Arab. Dan kesannya, ketika saya di kedai, atau tempat tertentu saya hamper nak gunakan bahasa arab. Nasib baik baru nak terkeluar. Kalau dah terkeluar, ternganga la penjaga kedai tu. Ha.. ha..y
Dua, saya terkejut sangat bila ramai juga yang pakai snow cap ketika matahari betul-betul di atas kepala. Mungkin, perinsip mereka “biar siksa asal bergaya” haha. Saya no komen.

Tiga, kalau dulu saya ni kalau jumpa orang melayu di Damascus akan menyapa mereka. Itu dah menjadi kebiasaan. Di sini, rasa pelik pula kerana saya seperti ada cenderung nak tegur sapa saja yang saya jumpa. Pelik la pula.

Empat, kata seorang sahabat saya, dia rasa lebih "sakit" jika “terlihat” perempuan Malaysia pakai seksi, beranding wanita arab. Kenapa? Saya tak tahu nak komen. Itu dia, bukan saya.
Selamat menyambut bulan Ramadhan. Harapnya kita berupaya menambah amalan kita di bulan mulia ini.
Saya tak mampu nak kemaskini atau nak komen di blog kalian kerana di Syria dulu ada masalah untuk berbuat demikian.

Saturday, July 19, 2008

ABAH DAN PERJALANAN ABADI



Bismillahhirrahmanirrahim..

08-07-2008 Abah dan mak selamat sampai di Bumi barakah Syria selepas singgah dua minggu di Mesir dan jordan. Waktu tu kami bersyukur kerana selamat masuk ke Syria yang sudah dikenali dengan susahnya nak masuk.

Ketika di Syria, penyakit lelah abah semakin menjadi-jadi. Ini merisaukan kami sekeluarga. 13-07-2008 kami bawa abah ke hospital untuk sedikit rawatan. biasanya di Malaysia jika dirawat begitu penyakit abah akan kebah. tapi kali ini ntah, kerana kehendak Allah jua Asma abah tak juga mahu surut.

Selepas makan tengahari 15-07-08 abah mengadu susah hendak bernafas. Abah minta saya pergi ke Hospital untuk meminta nasihat Doktor tentang Gas yang lebih baik kerana gas yang sedia ada, tidak begitu berkesan. Tapi ketika saya tiba di hospital. pembantu Doktor menyulitkan keadaan. Saya pulang ke rumah dan beritahu abah supaya kami ke Hospital. abah cakap abah tak larat. tunggulah surut sikit sakit abah baru abah mahu pergi. saya berlari ke hospital yang lain mencari Van Anbulance. tapi pihak hospital beritahu yang van tidak disediakan. saya cari pula teksi untuk bawa abah ke hospital. walau abah sudah beritahu yang abah tak mahu lagi ke hospital.

sesampainya saya ke rumah, saya dengar Mak sedang memanggil-manggil abah. rupanya abah dah tak edarkan diri. kami dukung abah ke hospital. dan ini juga yang dinamakan Qada dan Qadar. Doktor beritahu kami bahawa abah telah pergi selamnya.

Abah, ketika detik-detik terakhirya, masih lagi teringatkan solat. walau ketika mengadu susah bernafas dan susah untuk bergerak, masih lagi cuba untuk menunaikan solat. dan ketika abah mendengar Azan asar Abah menangis dan berkata "Dah habis dah waktu zohor" (abah masih tak sempat untuk solat Zohor kerana tak mampu untuk bergerak). Beberapa detik selepas itu, abah pergi bertemu tuhan dengan ingatan yang kuat kepada-Nya. Waktu itu, semasa ketiadaannya, hanya beberapa detik selepas Muazzin melaungkan Azan.

Abah pergi ketika benar-benar dekat dengan kami. Setelah tiga tahun tidak bertemu. abah datang untuk menziarah anaknya di Syria dan Mesir. dan saya besyukur sangat kami sempat bersama.

Abah pernah cerita yang sejak sepuluh tahun inilah kali pertama abah dan mak cuti dari berniaga (pekerjaan abah) paling lama, lebih kurang sebulan. Rupa-rupanya Allah lebih mengetahuhi. Abah akan berehat selamanya dan menemani saya di Syria. ini Perancangan Allah yang kita tak mampu tahu.

Ya Allah, Ampunkanlah segala dosa abah. kasihilah abah. Tempatkanlah abah di Syurga bersama para anbiya dan solihin. Jauhkan abah dari azab qubur dan azab Neraka. ya Allah, hanya kepadamu kami memohon.

Wednesday, March 26, 2008

SAHABAT-SAHABAT RASULULLAH YANG MENINGGAL DI SYRIA

Mungkin diantara sebab bumi Syam ini berkat, jasad para sahabat baginda Rasulullah ini disemadikan di sini.

1. Saidina Bilal Bin Rabah. Radhiallah anhu.
2. Saidina Abu Darda Radhiallah anhu
3. Saidina Khalid Bin Said Radhiallah anhu
4. Saidina Said Bin ‘Amir Radhiallah anhu
5. Saidina Nu’man Bin Bashir Radhiallah anhu
6. Saidina Sharahbil Bin Hasanah Radhiallah anhu
7. Saidina Abu Umamah Al-Bahili Radhiallah anhu
8. Saidina Dihyah Bin Khalifah Radhiallah anhu
9. Saidina Wabisah Bin Ma’bad Radhiallah anhu
10. Saidina Fadhalah Bin Abid Radhiallah anhu
11. Saidina Sauban Bin Bujdud, Radhiallah anhu Khadam Rasul
12. Saidina Hujr Bin ‘Adi Radhiallah anhu
13. Saidina Salamah Bin Hisham Radhiallah anhu
14. Saidina Auf Bin Malik Radhiallah anhu
15. Saidina ‘Iiyad Bin Ghanam Radhiallah anhu
16. Saidina Syamun Bin Yazid Radhiallah anhu
17. Saidina Wasilah Bin Al-Asqa’ Radhiallah anhu
18. Saidina Aus As-Saqafi Radhiallah anhu
19. Saidina Busr Bin Jihash Radhiallah anhu
20. Saidina Miqdam Bin Ma’diyakrib Radhiallah anhu
21. Saidina Lujaj Al-‘Amiri Radhiallah anhu
22. Saidina Mu’awiyah Bin Abi Sufyan Radhiallah anhu
23. Saidina Yazid Bin Abu Sufyan Radhiallah anhu
24. Saidina Saad Bin Ubadah Radhiallah anhu
25. Saidina Sahal Bin Hanzaliah Al-Ansari Radhiallah anhu
26. Saidina Wahshi Bin Harb Radhiallah anhu
27. Saidina ‘Irbad Bin Sariah Radhiallah anhu
28. Saidina Amr Bin ‘Abasah As-Salmi Radhiallah anhu
29. Saidina Abdullah Bin Busr Al-Mazini Radhiallah anhu
30. Saidina Safinah (Khadam Rasul) Radhiallah anhu
31. Saidina Syurahbil Bin Simt ((السمط Radhiallah anhu
32. Saidina Abu Marsad Al-Ghanawi Radhiallah anhu
33. Saidina Mutallib Bin Rabi’ah Radhiallah anhu
34. Saidina Saad Bin Tamim Radhiallah anhu
35. Saidina ‘Alqamah Bin ‘Ulasah Radhiallah anhu
36. Saidina Salamah Bin Nufail Radhiallah anhu
37. Saidina Shaddad Bin Syurahbil Radhiallah anhu
38. Saidina Syrahbil Bin Aus Radhiallah anhu
39. Saidina Abdur Rahman Bin Abi Umairah Radhiallah anhu
40. Saidina Mudrik Bin Ziyad Radhiallah anhu
41. Saidina ‘Ala Bin Wahab Radhiallah anhu
42. Saidina Abdullah Bin Sufyan Radhiallah anhu

Kepada Sesiapa yang mendoakan kesejahteraan saya sempena hari lahir saya dan ketika yang lain, saya juga berdoa aga segela urusan anda dipermudahkan Allah.

Wednesday, February 06, 2008

NAK JAWAB TAG

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih Puteri kerana mentag saya walaupun saya ni sebenarnya cukup liat bab-bab jawab tag ni.

Azam tahun 2008/ 1429.
Saya sebenarnya banyak azam yang ingin dicapai. Tapi, yang betul-betul ingin saya laksanakan pada tahun ini ialah menjadi orang yang beristiqamah di dalam setiap amalan, memperbanyakkan kebaikan dan lebih rajin.

Kenangan pahit tak boleh lupa di tahun 2007.
Ada, Tapi biar pahit ini saya seorang sahaja yang tahu. Minta maaf banyak-banyak kerana saya tak mampu cerita kepada anda semua.

Pengajaran dari tahun 2007.
Dalam keadaan sebagai pelajar ni, jangan sibuk nak buat benda lain. Lebih-lebih yang akan menggangu perhatian kepada pelajaran.

Pencapaian paling bermakna pada 2007.
Selepas beberapa kali menemui kegagalan pada tahun lepas, saya akihirnya dah belajar beberapa hikmah di sebalik kegagalan tersebut. mungkin ada lagi beberapa pencapaian lain, tapi yang paling bermakna bagi saya yang ini lah.

Kalau ada gambar menarik sila buboh paparkan kat di sini.


(gambar Atas: dengan seorang sahabat dari Syria. Bawah: dengan guru, Syeikh Fahmi Zam Zam)

Sebarkan virus kepada 8 orang rakan. (tapi saya tambah dua jadi 10)

Saya nak sebarkan virus ini kepada blogger dari Syria.

01- Bayu Senja

02- Adik

03- Cermin Diri

04- Bang Gugar

05- Uda

06- Kurma

07- Keramat

08- Achik

09- Nifie

10- Mizi

Hari ni, hari jadi saya. Tolong doakan kebaikan saya.

Thursday, January 24, 2008

AKHIRNYA ALLAH MAKBULKAN DOA MEREKA

Bismillahirrahmanirrahim
Kata orang hujan itu rahmat. Kami rasa hujan salji juga rahmat. Sejak 2004 lagi rahmat ini dinanti. Kelmarin ia turun. Kelmarin Allah makbulkan doa dan penantian mereka supaya Damascus dihujani salji.
Dan kami ini yang bertamu di sini hanya tumpang seronok dari rahmat ini.

Kalau tahun-tahun lalu kami perlu ke tempat tertentu untuk bermain salji. tapi, tahun ini tak perlu lagi.

Gambar di bawah ialah sebahagian dari koleksi kami dalam memeriahkan suasana main salji dalam rumah kami. Ingat! di dalam rumah, bukan di luar.












Dan hari ini kami tidur di dalam kesejukan yang amat kuat. sejuk sangatttttt....

Monday, January 14, 2008

JALAN-JALAN KE BOSRA


Bismillahirrahmanirrahim.
Awas! Entri ini terlalu panjang.

Tiga hari yang lalu saya buat yang kesekian kalinya telah berjaya menjejakkan kaki di tanah Bosra, Sebuah kesan bandar Rom lama yang menjadi tumpuan setiap pengunjung yang datang ke Syria.

Kami memulakan perjalanan sejauh 110 km pada jam 7.30 pagi dari Damsyik. Destinasi pertama yang dirancang ialah Kesan Peninggalan Rom di sekitar Bosra iaitu sebuah perkampungan di Negeri Dara’a.

Sekitar jam 9.30 pagi kami tiba di sana dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk bersarapan.

Sebenarnya di Bosra terdapat banyak kesan Sejarah yang boleh dikunjungi, tetapi memandangkan masa tidak mencukupi kami hanya merancang untuk ke beberapa tempat yang kami rasakan agak penting. Tempat beribadat (gereja) Rahib Buhaira adalah destinasi pertama menjadi sasaran kami. Siapa Rahib Buhara? Beliau adalah seorang paderi yang bertemu dengan Baginda Rasulullah ketika Baginda datang bersama Abu Talib (bapa Saudara baginda) ke Syam untuk Berniaga (Syam ketika itu adalah gabungan 4 negara iaitu Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin). Ketika itu Baginda masih kecil dan Buhaira mengenali Baginda dengan melihat tanda-tanda kenabian iaitu awan yang melindungi nabi dari sinaran matahari. Buhaira ketika itu meminta supaya Abu Talib membawa baginda pulang kerana takutkan musuh akan menyakiti Rasul.
Antara laluan


Sekitar Kota lama Rom
Pintu ini juga ada sejarah tersendiri
Gereja Buhaira
Di dalam Gereja
Kediaman Buhaira

Seterusnya kami ke Masjid Mabrak An-Nakah. Jarak antara masjid ini dan gereja tadi hanya sekita 200 meter. Masjid ini dapat saya simpulkan mempunya empat kelebihannya:
1. Mempunyai kesan unta yang ditunggangi oleh Nabi Muhammad ketika Baginda datang ke Syam.
2. Rasul pernah bersolat di sini (mungkin Sembahyang ikut kaedah rasul sebelumnya kerana ketika ini Baginda masih belum diangkat menjadi Rasul).
3. Al-Quran pertama diletakkan disini untuk seketika sebelum dibawa ke Damascus.
4. Tempat Membesarnya seorang tokoh ilmuan terkenal Ibn Hajar.

Pintu masuk yang kecil

Kesan Unta Rasul

Pintu Kecil (mungkin Tingkap) untuk ke bilik Ibn Hajar


Ruang kesan unta tadi

Kemudian kami ke satu Banggunan Teater yang dibina sekitar 512-513 M oleh pemerintahan Rom. Rasa saya Banggunan Teater ini satu-satunya banggunan yang masih tidak rosak berbanding banggunan sekitarnya yang seakan-akan longgokan dan susunan batu-batu buruk. Banggunan Teater ini disusun dengan batu-batu satu mester persegi tanpa mengunakan sebarang pelekat. Ketika era Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, kubu ini diambil alih oleh kerajaan beliau di tangan adik Sultan sendiri iaitu Najmuddin. Kemudian beliau membaik pulih banggunan ini untuk dijadkani kubu tentera islam ketika itu. Kubu ini dilengkapi dengan dewan pementasan, Muzium, bilik air, bilik-bilik-bilik khas, tempat hukuman, dan lubang-lubang kecil sekitar kubu untuk diletakkan pemanah-pemanah.




Aziz sahabat yang turut serta.

Destinasi seterusnya ialah makam Rasulullah Ayyub alaihissalam. Perjalanan dari Bosra ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit. Kemudian kami berehat di situ dan bersembahyang Zuhur dan Asar secara jamak.

Makam Nabi Ayob

Perjalanan kami teruskan ke Makam Sahabat Rasulullah Saad bin Ubadah r.a. (ketua kepada kaum Khazraj ketika hidupnya. Dan beliau meninggal tahun 14 Hijrah). Sebenarnya kubur beliau di Syria ada dua satu di sini dan satu lagi di Damascus yang mana satu benar Allah lebih mengetahui.

Makam Abu Ubadah r.a

Kolam Nabi Ayub(bawah dan atas)

Berdekatan dengan Makam sahabat yang mulia itu terdapat satu kolam yang dipercayai kolam Nabi Ayub ketika ingin hilangkan penyakit yang menimpa baginda.kemudian baginda disuruh untuk menggunakan air kolam itu untuk membersihkan tubuh baginda (cerita ini juga diragui kebenarannya).

Makam Imam Nawawi ialah tempat tujuan kami yang terakhir. Ia terletak di perkampungan Nawa, tempat kelahiran beliau. Imam Nawawi ialah seorang tokoh ilmuan yang cukup terkenal. Beliau meninggal dunia ketika berusia lebih kurang 40 tahun. dikatakan kerana kesibukan beliau dengan ilmu sehingga tidak sempat berkahwin. Antara kitab karangan beliau ialah al-Azkar , Riadu as-Solihin dan Sharah Sohih Muslim.

Makam Imam Nawawi dibina sekitarnya tembok batu supaya menghalang sebahagian orang yang melakukan perkara bidah di kubur itu. Di tengah-tengah pusara ini tumbuhnya satu pokok besar yang tidak mempunyai daun.

Pernah diceritakan bahawa ada dua orang sahabat telah datang ke kubur Imam. Salah seorang dari mereka berdua lumpuh. Mereka berdoa supaya Allah menyembuhkan penyakitnya. Malam itu di dalam tidur orang yang berdoa itu nampak seorang lelaki datang mengubati kaki kawannya. Setelah terjaga dari tidur kaki kawannya benar-benar sembuh. Cerita ini tercatat di dinding tembok Pusara Imam.

Kubur beliau