Saturday, December 16, 2006

SATU PERJALANAN, BANYAK KENANGAN

‘Ya, masih ada satu tempat kosong’ fuhh!! Ketika ini hanya Allah yang tahu perasaan saya. Betapa gembiranya saya kerana mendapat tahu yang saya boleh sertai rombongan malam ini.

Masakan tidak, apa yang saya dengar sebelum ini sudah penuh, jadi seperti sudah putus harapan pula. Nasib baik setelah diperingat oleh seorang sahabat supaya pastikan dahulu masih ada ruang atau tidak, saya turuti. Kalau tidak, tak berpeluanglah saya menyertai rombongan kali ini.

Menurut ketua rombongan, kami akan bertolak jam dua pagi. Saya ketika diberitahu boleh menyertai sudah jam 8.00 malam. Perjalanan kami dijangka hanya memakan masa sehari. Fikir saya tak perlu saya siapkan barang yang banyak, Mungkin sekdar benda asas seperti kamera sahaja.

Perjalanan kami bermula jam 3.00 pagi bertolak dari Damascus. Setelah mengambil tempat masing-masing. Sedikit taklimat diberikan oleh ketua rombongan tentang perjalanan yang sedang kami lalui ini.

Destinasi pertama kami ialah Masjid Saidina Khalid bin Walid, iaitu di negeri Homes. Daripada Damascus mungkin memakan masa hampir dua jam untuk sampai ke masjid ini. Antara tempat menarik yang ada di sekitar masjid ini ialah kubur tiga orang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu, Khalid bin al-Walid, Abdul al-Rahman bin Khalid bin al-Walid dan Abdullah bin Umar al-Khattab.
Masjid Saidina Khalid
Makam Saidina Khalid
Di hadapan masjid itu terdapat satu tugu yang tercatat kata-kata Saidina Khalid yang bermaksud,

Aku telah melihat (mengikuti) seratus peperangan dan tidak ada sejengkal pada badan ku kecuali padanya ada tetakan pedang, lontaran anak panah atau cucukan tombak, dan sekarang ini keadaanku sakit mati atas tilam dengan perasaanku, aku mati sebagai seorang pengecut.
Tempat ditulis kata-kata Saidina Khalid
Setelah selesai mengucapakan salam pada ketiga-tiga sahabat Rasulullah ini dan sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan kami. Destinasi yang seterusnya ialah negeri Hama, di situ ada dua tempat yang menarik yang akan kami lawati,
1. Kubur Saidina Umar bin Abdul Aziz, khadam dan isteri beliau.
2. Kincir air. Saya difahamkan bahawa sekitar kawasan itu adalah tempat terawal penempatan manusia. Tentang kesahihannya masih di dalam pencarian.

Makam Khalifah Umar bin Abdul Aziz, isteri dan khadamnya.
Pagi itu kami hanya sempat pergi ke makam Khalifah Agung itu dahulu. Mungkin kerana ada beberapa masalah teknikal jadi jika masa mengizinkan kami akan singgah ke kincir air itu.

Selepas betolak dari makam khalifah Bani Umayyah yang ke lapan itu, destinasi yang seterusnya ialah ke Negeri Aleppo atau dalam bahasa arabnya dipanggil Halab.
Halab terletak di utara Syria dengan jarak lebih kurang 350 kilometer. Penduduknya lebih kurang 3283000 penduduk dengan keluasan 16,142 kilometer persegi. Negeri ini juga banyak memainkan peranan penting dalam industri kapas, gandum dan Zaitun.
Halab juga terkenal dengan jame'-jame' dan gereja. Ia juga menjadi bandar Islam ketiga disebabkan banyak jame'-jame' dan sekolah-sekolah islam di sini.
Muziaum di sini memaparkan pelbagai penemuan arkeologi sejak dari zaman batu hingga sekarang.
Antara tempat pelancongan yang ada di Halab ialah, Kota Halab yang terbina di atas sebuah bukit setinggi 40 meter, ia merupakan benteng tertua dan terbesar serta meninggalkan monument (tugu peringatan) yang bersejarah di Halab. Masuk ke dalam kota itu memang mengkagumkan. Dengan senibina yang menarik dan seakan-akan satu pembinaan yang sempurna.
Kota Lama Halab Dalam kota
Kami juga berpeluang mengambil gambar bandar Halab dari atas menara yang berada di dalam kota lama tersebut.


Sayang sekali muzium yang berada di dalam kota itu ditutup. Sebabnya saya juga tak pasti.

Ketika itu badan saya sudah lesu, mungkin kerana tak tidur semalaman.

Saya tertarik kepada bayaran tiket untuk masuk ke kota itu iaitu RM 11.00 (setelah ditukar) tetapi oleh kerana kami memiliki kad pelajar kami hanya perlu bayar seorang RM 0.70. memang untung.

Setelah selesai sesi pusing Kota Halab, kami terus berjalan ke Suk Qadim (bazar kuno) yang bersebelahan dengan kota tadi. Oleh kerana saya tak fikir nak beli sesuatu saya hanya sekadar tinjau-tinjau sekitar bazar tersebut dan terus ke Jame' Umawi.

Sebahagaian tempat di Bazar Kuno
Suk Qadim (bazar kuno) memanglah menjadi tempat utama dan sasaran sejak berzaman lamanya sebagai destinasi membeli belah. Bazar sepanjang 10 km ini diliputi dengan lorong-lorong sempit dan bercabang dan semuanya dipenuhi dengan peniaga dan pembeli. Antara barangan yang popular yang terdapat di sini seperti cenderamata purba dan moden, mingak wangi, barangan kemas, pakaian dan sebagainya. Bazar ini dipercayai telah wujud sejak abad ke-15 lagi.
Jame' Umawi pula atau nama lain Jame' Kabir merupakan Masjid terbesar di Halab serta mempunyai seni ukiran halus dan unik sekali berbanding lebih 1000 jame' yang berada di sini. Dibina pada zaman Khalifah Umawi Sulaiman bin Abdul Malik( khalifah ke 7). Jame' ini dihiasi dengan menara empat segi yang kukuh. Manakala tempat berkhutbah dan mihrabnya pula dibuat daripada sejenis kayu hitam keras dan ditekap ke atasnya sejenis gading bagi menhasilkan corak hiasan yang cantik serta menawan. Didalam Jame' ini juga terdapat makam Nabi Zakariyya. tetapi kesahihannya masih bolem diketahui.
Jame' Umawi atau Jame Kabir (kabir= besar)

Kata ketua rombongan kami, jam 1.00 petang semua ahli rombongan perlu berkumpul (di tempat yang yang di janjikan). Mungkin kerana terpesona dengan jualan di Bazar Kuno itu, sebahagian dari ahli rombongan terlewat sehingga satu jam.

Antara yang menarik di Halab ini ialah tentang suasana islam yang masih di jaga. Perempuan yang membuka aurat hampir tiada. Saya benar-benar kagum dengan persekitaran Halab.

Setelah semua berkumpul dan menjamu selera, kami berangkat pulang. Ketika ini saya sangat lesu dan memerlukan rehat yang cukup. Mengikut jadual perjalanan, kami masih berbaki satu destinasi ketika perjalalanan balik iaitu di kincir air di Hama.

Sekitar 4.00 petang kami tiba di Hama, kawasan kincir air itu. Menurut ketua rombongan kami, kincir semuanya ada dua belas. Saya tak kira pula ada berapa tapi apa yang pastinya tempat itu tidak dijaga dengan baik dan keadaan di sana begitu teruk.


Kincir air, Hama
Jika anda seorang penggemar rancangan Jejak Rasul anda pasti pernah melihat kincir air itu. Saya pasti anda tentu rasa keadaan di sana begitu menarik. Tetapi hakikatnya…. Tidaklah begitu cantik, bukan tak cantik langsung.

Selepas itu, kami semua pulang dengan perasaan yang cukup puas dan saya rasa ni satu perjalanan yang seronok dan insya-Allah tak akan mudah hilang dari ingatan.
Nota Kaki,
1. Jame': Masjid
2. Suk: Bazar
3. Qadim: lama/kuno

Monday, November 27, 2006

TAG

Pertamanya saya nak minta maaf kepada AKMA kerana terlewat menjawab tag ini.

5 Benda atau Perkara yang saya lakukan jika saya seorang jutawan.
Kenapa apa yang saya fikir semua dah ditulis oleh orang lain?

  1. Bina banglo untuk ibu dan bapa saya dan sentiasa beri apa yang mereka ingin. Satu lagi banyak luangkan masa untuk mereka.
  2. Bayar semua hutang dan beri pula kepada sesiapa yang nak berhutang.
  3. Bantu pelajar-pelajar luar negara yang kurang berkemampuan tetapi masih nak belajar. Terutamanya negara yang tak dapat biasiswa seperti Syria.
  4. Bina satu Yayasan Hakim, lebih kurang macam Yayasan Al-Bukhari.
  5. Memberi bantuan kewangan untuk sekolah agama rakyat di seluruh negara. (Kecuali Maahad yang Iman Mawaddah bina kerana maahad itu sudah kaya kerana ditaja oleh beliau)

5 Tabiat buruk

  1. Seperti kata pepatah "hangat-hangat taik ayam"
  2. Mudah berasa apabila ditegur.
  3. Cepat marah tapi sekejap lepas itu ok balik.
  4. Tak tahan kena marah
  5. Degil

5 Perkara yang saya benci melakukannya

  1. Menurut "permintaan" orang ketika saya ada perancangan lain.
  2. Mencari jalan pulang setelah sesat dan berjumpa jalan mati.
  3. Makan tak habis.
  4. Tolong orang yang selalu mengumpat saya.
  5. tolong orang yang suka "masuk bakul"

5 Perkara yang tidak akan saya lakukan.

  1. Syirik.
  2. Menyakitkan hati ayah dan ibu.
  3. Hisap dadah.
  4. Lakukan dosa besar.
  5. Menendang orang tua yang memberi salam dan tak pernah buat salah kepada saya.

5 Perkara yang saya menyesal lakukan

  1. Pernah/selalu menyakitkan hati mak ngan abah.
  2. Ponteng kelas di Maahad dulu.
  3. Lastik kawan kemudian tak mengaku(juga di maahad)
  4. Tarik muka masam kepada guru biar dia berasa.
  5. Terlintas dalam hati nak pancitkan taya kereta orang.

5 Permata Hati Saya. (yang pertama Allah dan Rasulnya)

  1. Ibu dan ayah
  2. Abang dan adik
  3. Tok, dadi (nenek sebelah ayah) dan semua bapa/emak saudara.
  4. Guru-guru.
  5. Sesiapa yang mengenali diri saya secara langsung atau tak langsung.

5 Tempat yang saya sukai.

  1. Rumah Allah.
  2. Rumah sewa di Syria.
  3. Rumah di Malaysia.
  4. Taman permainan.
  5. Kolam renang.

5 Saat yang penuh bermakna

  1. Ketika saya dilahirkan.
  2. Ketika bersama mak dan abah di Malaysia.
  3. Ketika habis sekolah
  4. Mula-mula menjejaki kaki di Syria.
  5. Sembuh dari sakit. Walaupun tak begitu kronik tetapi ketika sakit itu yang saya tahu nikmat sihat.

5 Benda/Perkara yang saya sukai

  1. Kasih sayang mak dan abah.
  2. Apa yang mak dan abah beri.
  3. Semua hadiah yang saya dapat.
  4. Komputer.
  5. Semua harta yang Allah pinjamkan kepada saya.

5 Perkara tentang diri saya

  1. Suka senyum.
  2. Pakai cermin mata.
  3. Hati mudah Tersentuh.
  4. Mudah takabbur.
  5. Susah Mengalah.

5 Orang yang paling saya sukai di dalam Blog.

Sebenarnya banyak, saya sebut sebahagiannya sahaja,

  1. Indera Kencana, Tulisannya Tak pernah saya tinngal untuk dibaca.
  2. Zizie Ali, Puitis dan penulis yang kritis.
  3. Jiwa Rasa, Ulat buku. Saya suka setiap ulasan buku oleh beliau.
  4. Pak Darma, Beliau Sedang Bercuti, mudah-mudahan cepat kembali.
  5. Kak Azma, Sedang tekun menyiapkan tesis.

5 orang yang saya pilih untuk menyambung tag ini

  1. Senandung Malam, sinior saya di Takhassus Fatah Islami..
  2. Kak Iffah Humaira, Akak yang baru menyambut ulang tahun kelahiran.
  3. Kak Salsabila Kauthar, Orang lama di Syam, sekarang sedang menyambung pengajian di Malaysia.
  4. Nailofar, Saya rindu pada tulisan anda.
  5. Syauqah-el-Wardah , rakan sedaerah di Pulau Pinang.

Saturday, November 11, 2006

MUFTI PERAK ORANG KUAT


Baru-baru ini saya begitu terkejut mendengar penjelasan dari Mufti Perak tentang serangan akidah terhadap bangsa Melayu Malaysia. Daripada yang saya dengar itu bukannya sedikit mereka yang telah keluar dari Islam, tetapi satu jumlah yang terlalu besar.

Mungkin sesetengah dari kita yang tak percaya tentang jumlah itu. Mana bukti? Menurut samahatus Syeikh Mufti Perak memang tidak ada kenyataan yang bertulis kerana pejabat agama tidak mendaftarkan sesiapa yang keluar dari agama.

Selain itu Dato’ Mufti ada menyentuh tentang masalah sosial yang berlaku, antaranya 95% daripada pusat pemulihan dadah adalah melayu, 16 ribu (Saya tak berapa pasti) yang membawa HIV dan beberapa lagi kes yang kalau nak diikutkan itu sudah kami tahu, tetapi peringatan yang dibawa itu membuat kami sedar dan terjaga daripada mimpi.

Kasihan saya tengok Dato mufti, dia seperti seorang diri dalam melawan Gejala Murtad ini. Diserang berterusan. Kata beliau, semasa terbang ke sini beliau mendapat tahu polis sedang mencari beliau kerana isu SMS. Oleh kerana beliau berada di sini selamat sekejap, balik nanti siap!.

Islam Liberal juga satu yang membahayakan, mereka minta dimansuhkan hukum islam seperti poligami dan beberapa lagi hukum dalam Faraid, Ini boleh membuatkan keluar dari agama. Dato Mufti.

Hari ini, siapa yang cakap betul akan dimarahi, akan dikutuk dan akan diserang. Dahulu pula yang akan berbohong yang akan diserang dikutuk dan dimarahi. Sudah terbalik pula.

Fikir saya, ini cabaran dan tanggungjawab orang agama seperti Dato’ Mufti, saya, kita, dan sesiapa yang masih beragama islam dan masih menganggap islam sebagai satu-satunya agama yang benar.

Baru saya faham suruhan islam tentang amru bil ma’ruf wa nahyu ‘anil mungkar amat berat. Ini bukan kerja ringan. Hanya orang yang berprinsip dan kuat sahaja yang mampu memikulnya.

Satu lagi yang disentuh oleh Dato’ Mufti ialah tentang masalah furuk atau masalah cabang agama yang dibangkitkan ketika masalah usul yang kian meruncing. Bagi saya, sekarang ini tak perlulah kita nak berbalah tentang masalah furuk, ya lah jika kita berpecah ketika ini siapa yang untung? Anda? Saya? Mereka? Tidak, tetapi mereka yang ingin melihat Islam hancur sahaja.

Saat ini saya dah bertekad akan menggunakan segala peluang yang ada dalam belajar demi masa depan yang lebih baik. Sekurang-kurangnya jika saya tidak boleh memberi manfaat kepada orang ramai dapat saya memberi manfaat ini kepada diri sendiri dan keluarga.

Sunday, November 05, 2006

RAYA DAH BERLALU

Pengajian dah bermula. Suasana dan kemeriahan raya dah habis. Keadaan kembali seperti dahulu. Pusat permainan juga dah tutup. Kami juga dah kurangkan ziarah-menziarahi. Rumah terbuka juga dah tak ada lagi yang sudi membuka. Ya, keadaan seratus peratus seperti sebelum raya.

Hari ini, kami sudah mulakan pengajian selepas cuti panjang dari awal bulan Jun lalu. Saya dalam sepanjang minggu lalu bersuai kenal dengan pelajar lain di dalam kelas kami. Kerana kami semua pelajar baru dan saling tak kenal antara satu sama lain, Taaruf sudah pasti menjadi satu kewajipan.

Sebelum saya ceritakan tentang pengajian saya yang baru bermula ini, saya nak ambil sedikit kesempatan nak cerita tentang apa yang kebiasaan arab Syria lakukan pada awal bulan Syawal ini.

1. Aid atau raya adalah hari yang paling ditunggu dan paling disambut dengan meriah oleh kanak-kanak. Bukan bererti orang dewasa tak meraikannya, tetapi kanak bagi kanak-kanak ia lebih bererti. Seperti di Malaysia juga kanak-kanak yang paling seronok.

Mungkin kerana berjaya cukupkan puasa selama 30 hari masyarakat Syria seperti memberi ruang yang luas untuk kanak-kanak bergembira, dibuat tempat permainan, hampir di semua tempat lapang ada sahaja pusat permainan. Sepanjang hari raya pertama sehingga hari raya kelima saya dapati kanak-kanak akan berpusu-pusu ke sana dengan pakaian yang cantik-cantik. Memang seperti hari untuk bergembira.

Untuk pengetahuan anda polis begitu ramai di sini, saya rasa mungkin kerana kanak-kanak di sini ramai yang bercita-cita nak menjadi polis bila dewasa nanti. Lihat sahaja ketika hari raya ini, begitu ramai kanak-kanak yang bermain pistol berpeluru seperti manik-manik yang jika anda terkena tembakan mereka pasti mengerang kesakitan. Tentang cita-cita nak menjadi polis itu saya teka sahaja.

2. kanak-kanak dan remaja perempuan pula ketika ini akan memperagakan fesyen masing-masing. Ketika ini saya lihat begitu banyak fesyen yang dipakai oleh mereka. Seperti pesta fesyen pula. Dengan kasut tumit tinggi dan pakaian yang baru-baru ini mereka bersiar. Saya kadang-kadang sedih pula melihat mereka ini, sehingga nak jatuh dek tak biasa pakai kasut tumit tinggi. Kadang-kadang jalannya nampak pelik. Tapi kerana hari raya untuk bergembira biarlah sakit sikit asalkan fesyennya hebat, mungkin itu fikir mereka.

3. Kalau orang dewasa pula mereka akan ke restoran-restoran. Saya tak tahu pula sama ada setiap hari atau sehari sahaja dalam musim raya ni, tapi yang pasti hampir seluruh restoran di Damsyik ini dipenuhi oleh pasangan-pasangan arab. Memang meriah.

Kami pelajar Malaysia di musim perayaan ini mengambil kesempatan ziarah rumah sahabat-sahabat kami. Setiap rumah terbuka pasti akan penuh. Ketika ini kami rasa begitu seronok kerinduan kami sedikit terubat. Ada juga pelajar yang mengambil kesempatan menghubungi keluarga dan kawan-kawan. Tahun ini Persatuan pula mendapa peruntukan dari JPM (Jabatan Penuntut Malaysia) untuk membuat rumah terbuka, makan sakan kami tahun ini.

Ini sedikit cerita tentang raya di sini. Nasib baik di negara Islam, ada juga sambutan raya. Kalau di negara lain yang tak ada beza antara raya dan tidak, tak tahu saya macam mana.

Monday, October 23, 2006

SALAM AIDIL FITRI

Assalamualaikum,

Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada mak, abah, tok, ibu dan bapa saudara, guru-guru, kawan dan sesiapa yang mengenali diri saya.

Sebenarnya saya sedang seronok menikmati suasana raya. Sekarang ini saya baru pulang dari bertakbir di Rumah Persatuan Pelajar Malaysia Syria.

Sebenarnya di kesempatan ini saya hanya nak ucapkan selamat hari raya. tentang suasana yang meriah di sini akan saya ceritakan kemudian.

Kepada siapa yang mengenali saya atau yang saya kenali, saya ucapkan selamat hari raya, saya mohon berjuta kemaafan jika ada kesilapan dan kesalahan.

Di Malaysia jika bertemu orang akan ucapkan selamat hari raya. Di sini orang jika bertemu mereka akan ucapakan "كل عام وانتم بخير" jadi saya juga ingin mengambil sedikit kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan "كل عام وانتم بخير".

Tuesday, October 10, 2006

MAJLIS DI JAME UMAWI

Pengalaman solat Subuh di Masid Umawiyyah pada bulan Ramadhan memang menarik. Pada mulanya kami hanya melihat program-program yang dibuat melalui kaca television di rumah. Kemudian teringin pula untuk mengikutinya.

Sedikit pengenalan tentang Masjid Bani Umawi.

Masjid Bani Umawi ialah sebuah masjid yang paling terkenal di Damsyik (Ia seperti Masjid Negara di Malaysia). Ia merupakan pusat pemerintahan kerajaan Umawiyyah Masjid ini diasaskan semasa pemerintahan Abdul Malik bin Marwan sekitar tahun 86 hijrah.. Sebenarnya masjid ini asalnya gereja dan di buat masjid oleh Kerajaan Umawiyyah.

Di sekitar dan di dalam Masjid ini terdapat makam Solahuddinal-Ayyubi, Tempat ditanamnya kepala Nabi Allah Yahya A.S. dan tersimpanya Kepala Syadidina Hussain bin Ali bin Abi Talib K.W. Sebenarnya riwayat tentangnya belum diketahui kesahihannya memandangkan masih ada beberapa tempat yang didakwa tempat ditanamnya kepala Saydina Hussain.

Pada pagi jumaat lalu, sempat juga saya mengikuti solat Subuh di Masjid Bani Umawi. Ini merupakan pegalaman pertama saya bersolat subuh pada bulan Ramadhan di sana.

Program di sana bermula dengan bacaan al-Quran oleh seorang Syeikh dari maahad-maahad sekitar Damsyik. Orang ramai mengelilinginya. Kebetulan pula pagi itu Syekh yang membaca al-Quran dari Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro, tempat saya belajar diploma sebelum ini.

Kemudian majlis di teruskan dengan nasyid yang didendangkan oleh beberapa kumpulan juga dari sekitar Damsyik merdu betul suara mereka. Nasyid yang disampaikan tanpa diiringi oleh sebarang alat muzik. Selepas itu azan Imsak berkumandang.

Bacaan al-Quran kembali menyusul selepas azan sehingga masuk waktu Subuh.

Yang menariknya program ini diadakan sepanjang bulan Ramadhan. Sepanjang bulan ini jugalah orang ramai akan berkumpul bagi mengikutinya.

Selepas solat Subuh pula, ada kuliah dari Syeikh Fawwaz Namr, seorang guru di Maahad Fatah menyampaikan kuliah Subuh. Kemudian kuliah disampaikan oleh syeikh Abdul Razak al-Halabi yang merupakan Mudir Jame Umawi merangkap pengerusi Yayasan Fatah Islami.

Selepas Subuh, hampir di setiap tiang di dalam Jame itu ada beberapa bulatan pelajar yang berkumpul. Sebahagiannya membaca al-Quran dan yang lain pula ada yang berzikir dan ada yang bersembang. Yang menariknya setiap bulatan terdiri dari Negara Negara tertentu. Ada dari Pattani ada dari Rusia dan Ada juga dari Afrika. Saya toleh-toleh juga mungkin ada kelompok dari Malaysia, tapi sorang pun tiada. Saya dan Ustaz Rodhi sahaja Malaysia. Jadilah, ada juga wakil.

Seronok saya lihat ketika itu, ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka. Mungkin bagi membiasakan diri dengan majlis-majlis seperti itu. Ustaz Rodhi ada menceritakan kepada saya tentang seorang budak perempuan yang sentiasa mengikuti majlis pada setiap pagi Ramadhan itu. Saya lihat pagi itu kanak-kanak perempuan itu masih ada. Ini bererti dah lebih dua tahun dia istiqamah di tempat nya itu ( di tempat paling hadapan ) sambil memegang tasbih. Kagum saya melihatnya.

Program Di Jame Bani Umawi sepanjang Ramadhan ini ditayang secara langsung di kaca television Syria. Dua kali sehari, pertama sewaktu subuh seperti yang saya cerita tadi dan yang kedua ketika berbuka. Majlis lebih kurang sama pengisiannya dengan program pada subuh seperti nasyid berdoa dan bacaan al-Quran.

Sebenarnya Masjid Bani Umawi ini mempunyai kelainan pada menunaikan Solat Tarawih, iaitu mereka menunaikan sebanyak dua pusingan. Pertama solat Tarawih dibuat dengan bacaan yang pendek dan yang kedua dengan bacaan yang panjang. Keduanya sebanyak 20 rakaat Jadi orang sini boleh pilih waktu mana meraka ingin Solat Tarawih, yang pendek atau yang panjang. Kebiasaannya yang pendek lah menjadi tumpuan.
Ada sedikit gambar sempat saya ambil. Sila tekan di sini.

Thursday, September 28, 2006

RAMADHAN KAREEM

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa.

Telah menjadi kewajipan kepada kita sebagai umat Islam akan beramal ibadat demi memenuhi tuntutan Islam yang kita cintai. Bukankah Rasulullah pernah bersabda (maksudnya), Siapa yang membangunkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu. Takkan kita yang membaca hadis yang masyhur ini tak rasa teringin untuk memperbanyakkan ibadah dan amalan kita.

Kalau nak di ceritakan, tak terkira banyaknya kelebihan dan keutamaan bagi yang menghidupkan bulan barakah ini. Apa pun ini terletak di atas bahu sendiri. Tak ada orang yang boleh memaksa.

Sebenarnya hari ini saya ingin berkongsi pengalaman berpuasa di bumi anbiya ini. Saya ingin menumpukan pada cara mereka menghidupkan bulan Ramadhan. Mungkin sebahagian tempat sama dengan apa yang saya akan ceritakan dan sebahagian yang lain tak mempunyi persamaan. Jadi saya cerita semua sekali.

Perkara yang pertama yang saya ingin ceritakan ialah solat. Di Malaysia jika di bulan selain Ramadhan, sesetengah masjid cuma ada sepuluh orang, maka di bulan Ramadhan akan mencecah satu atau dua saf. Ini solat fardu yang lima, bukan solat Tarawih. Tetapi lain pula di Syria. Di bulan selain Ramadhan biasanya hampir seratus orang dan pada bulan Ramadhan pula akan orang yang bersolat akan memenuhi masjid. Teringat saya ketika baru merasai bulan Ramadhan di sini, saya terpaksa solat Subuh di luar masjid kerana dipenuhi oleh jemaah yang lain.

Begitulah solat yang cukup diutamakan oleh masyarakat di sini. Kalau solat Tarawih pula lagi lah bersungguh arab-arab sini. Di Syria masjid begitu banyak dan berdekatan. Solat Tarawih akan menyebabkan setiap masjid dan jami' di sini penuh. Lagi banyak daripada solat fardu yang lima.

Yang kedua yang lebih dan menarik pada Ramadhan ialah mereka memperbanyakkan sedekah. Kami panggil tabarruk. Seikhlasnya arab Syria ini sangat suka menderma. Oleh kerana tabung di setiap masjid di sini berwarna jernih, amat mudah untuk saya melihat duit-duit yang disedekah. Susahlah nak melihat duit yang syiling. Yang kelihatan duit besar-besar sahaja.

Jika di bulan barakah ini selain disedekah di masjid mereka akan mencari pelajar-pelajar agama untuk ditabarruk. Kalau mereka terserempak dengan pelajar-pelajar terus di'paksa' untuk menerima tabarruk mereka itu. Ada juga yang pergi kerumah pelajar untuk di berikan tabarruk. Biasanya 1000 LS (lebih kurang RM 70). Sesetengah yang lain pula menyerahkan kepada masjid untuk diedarkan kepada pelajar. Ada sesetengah masjid lebih senang memberi kepada pelajar Malaysia. Mungkin kerana pelajar kita yang rajin dan kelihatan sopan santun. Mungkin.

Ramai juga yang menyediakan makanan di masjid atau di maahad. Jika di maahad, pelajar akan membawa bungkusan yang siap untuk dibawa pulang. Masjid pula akan membuat jamuan berbuka. Yang saya hairan setiap jamuan yang saya sertai semuanya nasi. Padahal nasi bukan makanan asasi mereka. Makanan asasi mereka ialah roti.

Dulu ketika masih kecil, saya terfikir tentu tak seronok belajar di luar negara kerana tak dapat duit raya. Hari ini saya baru tahu bahawa belajar di sini ada dan dapat duit raya. Setiap pelajar Maahad Tahzib akan mendapat 'duit raya' yang akan diberi sebelum cuti raya.

Satu lagi. Sepuluh malam terakhir masjid tidak dikunci kerana memberi ruang kepada orang-orang yang nak beribadat. Masjid biasanya memang dikunci. Tak tahu pula saya kenapa. Yang pasti bukan kerana pasangan berasmara seperti sesetengah tempat di luar Syria. Ketika itu (10 terakhir bulan Ramadhan) memang seronok sekali. Sejuk ja mata memandang.

Apapun setiap tempat yang kita tinggal tentu ada keseronokan atau cara tersendiri. Yang penting ianya selari dengan tuntutan Islam.


PERKEMBANGAN ADIK SAYA DAN RAKAN-RAKAN.

Mungkin kerana doa anda semua mereka sekarang sudah berada di Mesir. Dan sebahagian daripada mereka akan ke sini sabagai percubaan. Dan sebahagian yang lain akan menyusul. Ini perancangan mereka tetapi perancangan Allah siapa yang tahu?

Kita doakan sama-sama agar cita-cita mereka akan terlaksana. Kelmarin kawan kami yang berada di Mesir yang menguruskan mereka, Farhan dan Mat Jeng ada memberitahu yang mereka ini terdapat 'sedikit' masalah.

Mulanya semasa mereka sampai di Mesir, alhamdulillah tak ada sebarang masalah. Pada keesokannya pula mereka dipanggil oleh kedutaan untuk berbincang. Selepas itu berita sampai kepada saya yang mereka ada 'sedikit' masalah. Kata Farhan mereka mungkin akan kena balik.

Apa-apa pun syukur kepada Allah kerana segalanya dah selesai. Seperti saya ceritakan tadi, mungkin sebelum raya ini sebahagian dari mereka akan ke sini.

Rehlah ilmiah musim ini: Senandung Malam

Wednesday, September 20, 2006

KERANA INI SUATU TAKDIR

Apa perasaan anda apabila mendengar arahan supaya keluar dari bumi asing dalam masa dua belas hari. Ketika itu anda datang ke situ hanya untuk belajar. ya. Hanya untuk melihat Islam bangun dan maju. hanya untuk menyedarkan masyarakat yang kian tersasar dari jalan sebenar.

Itulah nasib mereka yang datang pada sembilan september baru-baru ini. Selepas membuat perbincangan beberapa kali dengan kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) keputusan yang diterima hari ini ialah mereka harus keluar dari bumi Syam ini sebelum 24 september 2006.

Pada asalnya mereka diarahkan keluar dari Syria terus pulang ke Malaysia. Tadi semua pelajar tersebut telah bersepakat ingin pergi ke Mesir. Kata mereka daripada pulang ke Malaysia yang memakan kos yang tinggi lebih baik ke Mesir. Tambangnya murah tempat mengaji juga banyak.

Saya, ketika mendengar mereka perlu pulang, terasa amat pedih nak menerima hakikat ini. Masakan tidak, ibu dan bapa mereka yang telah menghabiskan ribuan ringgit untuk melihat anak-anak mereka menuntut ilmu di sini pasti amat perit untuk menerima berita ini.

Tambahan di antara ayah dan ibu yang terpaksa menerima berita perit ini ayah dan ibu saya sendiri. Tak sampai hati pula nak menceritakan segala yang telah berlaku di sini. Bila difikirkan segala pengorbanan yang ayah dan ibu gadaikan, saya jadi buntu.

Ingat lagi pesanan mak sebelum adik tiba di sini. "Angah, jaga adik elok-elok. Pastikan adik selamat disana."

Ketika ini mak dan abah masih tak tahu yang adik akan keluar dari sini. Jika ditanya kepada saya bagaimana keadaan di sini, saya jawab semuanya selamat. Ketika itu PPMS mempunyai beberapa perancangan untuk mengatasi masalah ini. Sekarang jalannya cuma satu, keluaran mereka ke Mesir.

Hari ini pesanan mak itu terpaksa saya tolak dan mungkin 24 september ini saya akan berpisah lagi dengan satu-satu adik saya itu. Ini cabaran kami. Saya perlu kuat dan tabah untuk menerima segala ujian yang Allah beri sebelum mengecapi rahmat dan nikmatnya.

Sekarang, Persatuan Pelajar Malaysia Syria akan mengutip dari ahlinya bantuan untuk mebiayai pelajar-pelajar ini ke Mesir. Mudah-mudahan cukuplah duit yang di kutip untuk membantu serba sedikit perjalanan mereka sebelum 24 haribulan ini.

Ini cabaran untuk mereka. Allah dah tetapkan dari A'zali lagi. Yang perlu kita lakukan, menerima dengan hati yang rela dan terbuka.

Kepada abah dan mak angah minta maaf kerana tak dapat tunaikan permintaan abah dan mak untuk menjaga adik dengan baik.

Mudah-mudahan esok mak dan abah dapat terima berita ini seadanya kerana kita merancang, Allah juga merancang. sebaik-baik perancangan itu dari Allah.

Sebab mengapa mereka perlu keluar dari Syria:Daripada satu sumber yang saya juga tak pasti mengatakan bahawa ini daripada kesan peperangan antara Lubnan dan Israel. Jadi kerajaan Syria tak mahu lagi menerima pelajar baru ke sini. Jadi kaitannya saya juga tak jelas.

Seorang daripada pelajar yang akan dipulangkan itu ada memberitahu saya yang dia tak tahu prosuder nak belajar di sini. Mungkin salahnya. Saya cakap kepadanya "ini bukan salah anta, anta dah buat segala yang perlu tapi kerajaan Syria tak mahu terima. Nak buat macam mana."

Ya Allah, bantulah Kami!

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN BUAT BONDA

Kepada bondaku Hajah Zainab binti Abdur rahman, selamat menyambut ulang tahun keliharan yang ke 50 pada sembilan september lalu. anakanda doakan bonda panjang umur dan sentiasa berada di bawah rahmat Allah.

Segala Pengorbanan yang bonda curahkan kepada anakanda akan terus tersemat di dada dan insya-Allah anakanda akan membalas jasa bonda dengan sedaya yang mungkin. ini janji anakanda.

Bonda, anakanda Janji akan membalas segala pengorbanan yang telah diberikan selagi termampu. Walaupun anakanda tak mampu membalas sedikit dari pengorbananmu tapi anakanda akan cuba sedaya upaya. insya-Allah.

Izinkan Anakanda mengecap nikmat syurga yang berada di bawah tapak kakimu bonda.

Tuesday, September 12, 2006

KITA HANYA MERANCANG....

3.30 petang: "Alamak! mereka tiba lewat setengah jam dari yang di tetapkan." Rungut saya.

4.00 petang: "Alhamdulillah, sampai juga mereka." Reaksi kami apabila menerima makluman yang rombongan dah sampai. Ketika itu bilangan kami yang menunggu seramai hampir 30 orang.

5.00 petang: "Lama juga ya mereka nak keluar" Kami masih menuggu. kami dah mula merasa hairan dan gelisah.

5.30 petang: Keluar Shahrizal (pelajar yang pulang bercuti) ke tempat kami menunggu. Kami terus menerpa Shahrizal.

Kata Shahrizal semua dua belas pelajar baru tak dapat keluar. Mereka ditahan. Mereka masih menunggu di dalam. Wadi Anuar masih uruskan mereka.

6.00 petang: Ibu bapa Wadi Anuar keluar menemui kami. Kata pak cik itu, dia dapat keluar kerana dia membeli tiket pergi dan balik. pak cik dan mak cik pulang ke Damsyik. Dia tak tahu di mana dia akan tinggal kerana anaknya masih di dalam menguruskan pelajar baru yang dua belas orang itu.

Selain Wadi Anuar masih ada seorang pelajar yang pulang bercuti namanya Nazir Pawan Zainal. Turut ditahan.

Kami hubungi presiden PPMS Abu Bakr bin Sidik. Dia baru balik dari belajar. Dia amat letih ketika itu.

7.00 senja: Bilangan kami semakin berkurangan. kami hanya tinggal 15 orang(kalau tak salah).

Abu Bakr tiba di Lapangan Terbang Damascus. Abu Bakr menuju ke arah kami. Abu Bakr tanya apa perkembangan pelajar yang ditahan, yang tak dibenarkan keluar, yang termasuk daripada mereka Mohd Farid Hamdi bin Redzuan iaitu adik saya. Abu Bakr menghubungi Kedutaan Malaysia Di Syria memohon kejasama mereka menguruskan pelajar yang masih tak dapat keluar, yang masih ditahan, yang salah seorang daripada mereka adik saya.

selepas itu Abu Bakr menghubungi Mr Samir. saya tak jelas apa jawatan dan hubungan dia dengan Kerajaan Malaysia, tetapi saya beranggapan yang Encik Samir amat diperlukan khidmatnya. Dia seperti dapat menolong.

Kami yang masih di Balai Menunggu, sudah pasti amat risau. Kami Berdoa agar Allah permudahkan urusan mereka.

7.15. senja: Hari sudah malam. Mereka masih belum keluar. Kami masih menuggu apa-apa berita dari dalam. kami cuba hubungi mereka.

Ustazah Maryam Jamilah Yusuf yang mengetuai pelajar perempuan masih menunggu tiga orang pelajar perempuan yang masih ditahan bersama rombongan Wadi Anuar.

8.00 malam: Wadi Anuar keluar menemui kami. katanya, pelajar yang ditahan memang susah nak dilepaskan. Tambah Wadi, mereka seperti tak mahu pelajar luar datang belajar di sini.

9.00 malam: Oleh kerana keadaan masih tak di menentu kami minta Ustazah Maryam dan kawan-kawannya pulang dahulu. Nanti kami yang akan uruskan semua. mereka menurut. Hafiz Ahmad yang diprtanggungjawabkan untuk menemani Ustazah Maryam dan rakan-rakannya pulang.

Dalam tempoh ini segala percubaan demi percubaan kami buat untuk permudahkan urusan.


12.00 pagi: Kami merasa sedikit gembira kerana wakil Kedutaan datang terus berjumpa pegawai yang bertanggungjawab. Kami seperti mendapat sedikit harapan.

1.00 pagi: Datang seorang lagi pegawai kedutaan. Dia terus bertemu pegawai Lapangan Terbang, sama seperti pegawai kedutaan yang pertama tadi.

Pihak kedutaan banyak berhubung dengan Abu Bakr. Segala perkembangan mereka saling berkongsi.

Mr Samir juga datang di juga seperti pegawai kedutaan terus masuk ke dalam.

1.30 pagi: kata pegawai kedutaan bahawa pelajar yang ditahan akan keluar dalam tempoh setengah jam selepas itu. mereka minta kami cari kenderaan untuk pulang. Kami menarik nafas lega.

2.30 pagi: pihak kedutaan memaklumkan yang mereka akan keluar dalam tempoh 20 minit kemudian. kami dimaklumkan yang pelajar yang ditahan akan dihantar pulang ke tanahair selepas dua minggu.

Saya ketika itu dah tak tahu nak cakap apa. Saya hanya mampu berdoa dan bertawakkal.

3.00 pagi: Alhamdulillah. Mereka Keluar juga Akhirnya. Pegawai Kedutaan iringi mereka. Pegawai Kedutaan maklumkan yang mereka akan adakan perjumpaan tentang dua belas pelajar ini. pasport mereka akan dipegang dan dijaga oleh Kedutaan. PPMS perlu Tunggu panggilan dari Kedutaan.

Sedih saya lihat mereka. letih semuanya. Kami segera mencari kenderaan untuk ke Damsyik. Mereka perlu direhatkan segera.

Hari ini. ketika ini. pelajar masih dihantui dengan berita yang mereka akan dihantar pulang dalam tempoh dua minggu.

Kedutaan masih belum menghubungi kami. Segala maklumat terkini kami hanya masih menunggu.

ketika ini juga seorang pelajar yang baru ke sini masih ditahan. Saya berdoa agar Allah mempermudahkan urusan.

Tadi, ketika saya ke sebuah kedai. saya dengar dari penjaga kedai itu yang Pemerintah Syria sekarang ini ditekan supaya menutup sekolah aliran agama (Islam) di sini. Kita sama-sama lah berdoa.

Saya juga Berharap agar anda semua tolong berdoa agar Maahad Syarie di sini beroperasi dan akan terus beroperasi. marilah kita sama-sama berdoa agar pelajar yang akan ke sini tidak lagi menghadapi rintangan seperti yang sebelum ini.

Kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Friday, September 08, 2006

ADIK DAH NAK SAMPAI

Alhamdulillah, adik dah bertolak dari Malaysia. kalau tak ada aral melintang esok sampailah dia. Mak cakap yang adik bertolak dari Bayan Lepas jam 9.30 malam dan dari KLIA pukul jam 3.00 pagi dan insya-Allah jam 3.30 petang esok waktu Syria sampailah.

Berdebar pula rasa ketika ini. Mudah-mudahan perjalanan mereka sampai ke sini dengan selamat.

saya betul-betul berasa seronok apabila mendengar yang adik akan ke sini. Bukan sekadar kerana saya akan berjumpa dengan adik tapi, kerana bila mengenangkan pecubaannya nak ke sini beberapa kali gagal.

Pada asalnya adik nak ke sini dengan ustaz Abdul Khair tetapi terpaksa ditangguhkan kerana risaukan perang (antara Israel dan Hizbullah). Saya melihat mak dan abah ketika itu cukup risau. masakan tidak, sepatutunya adik ke INSANIAH, tetapi atas beberapa sebab berlaku perubahan dan adik bercadangan ke sini. Jika adik tak jadi ke sini maka dalam tempoh ini hingga pendaftaran akan datang dia tak masuk mana-mana pusat pengajian. jadi rugi lah.

Selepas ustaz Abdul Khair menangguhkan perjalanan, mak ada dengar yang seorang pelajar dari sini yang balik bercuti. Mak terus minta no telefon Wadi Annuar(pelajar yang pulang bercuti) dari saya. Mak tentu risau ketika tu. Adik saya tahu, dia akan buat tak tahu sahaja kerana dia tahu mak akan uruskan semua.

Selepas itu, timbul pula satu masalah sijil belum dicop. Tak selesai lagi rupanya. Mak dan abah jenuh telefon kesana kemari untuk selesaikan masalah cop ini. dan seperti biasa selesai juga masalah cop. sekarang ini sijil mereka dah sampai dan tunggu untuk di selesaikan. Adik macam biasa tak risau punya.

Hari ini saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Adik ketika ini dah bertolak ke sini. Saya berdoa agar perjalanan mereka bersama rahmat Allah. mudah-mudahan malaikat menghamparkan sayapnya kepada mereka.

Alhamdulillah segala urusan mereka di sini dah selesai walaupun ada sedikit kecelaruan. segalanya dah disediakan, mudah-mudahan esok segalanya berjalan dengan lancar dan seperti apa yang dirancang.

Esok bermulalah kisah seorang yang bergelar sinior memberi "tunjuk ajar" kepada adik-adik junior.

Thursday, August 31, 2006

HUJAN, DETIK YANG KU RINDU

Emak selalu berpesan jangan main hujan. Saya masih ingat emak akan marah-marah kalau melihat saya pulang ke rumah dalam keadaan basah lencun kerana main hujan. Lekas-lekas mak suruh saya ke pancur untuk mandi. Saya tahu mak bimbang anaknya seorang ini demam.

Kalau tak salah, saya ketika tu berumur empat tahun. Dari saat itulah saya dah berazam yang saya tidak akan main hujan lagi.

Ketika berumur tujuh tahun saya dihantar ke asrama. Hujan turun lagi. Kawan-kawan begitu riang bermain hujan. Saya terfikir ketika itu. Kenapa emak dan abah larang saya main hujan. Padahal kawan-kawan main hujan tak ada siapa pun yang melarang. Saya hanya mengurung diri dan melihat keseronokan kawan kawan. Beberapa hari kemudian hujan turun lagi. Saya tetap tak bersama kawan-kawan. Saya hanya boleh tadah air yang turun dari lereng-lereng zink. Fikir saya dari tak boleh main langsung, boleh juga main tadah-tadah air ini.

Seperti biasa hujan tetap turun beberapa hari selepasnya. Seperti diarah kawan-kawan pergi main dengan rahmat itu. Saya? Macam biasalah, mana tahan. sekali dengan kawan-kawanlah.

Saya hairan hujan seakan-akan memanggil kami ketika turun. “marilah marilah main bersama aku” kami agak segan. “Bukankah aku ini rahmat. Tak elok menolak rahmat”
Kami angguk. Segera kami berlari ke arah rahmat itu.

Mungkin mak dan abah larang saya mandi hujan ketika itu kerana risaukan saya demam. Betul. Saya biasanya demam jika selepas main hujan. ketika itu mak dan abahlah yang sibuk mencari ubat dan membuat segalanya supaya saya sembuh.jika saya demam mak dan abah tak marah-marah lagi.

Semasa di peringkat menengah, saya jarang sekali demam biarpun barmain hujan selama beberapa jam. Mak dan abah tak lagi marah marah. Tak tahu pulak kenapa. Kaedah fekah ada menyebut ‘diam itu tanda setuju.’

Hari ini. Di Syria, mak dan abah tak perlu lagi tegur saya tentang mandi dan main hujan (walaupun saya tahu mak dan abah tak akan larang saya). Kerana, saya tak mahu dan tak akan main hujan selama saya berada di sini dan kerana saya seorang anak yang patuh dan taat kepada ibu bapa.

Sebenarnya saya tak mandi dan tak main hujan kerana di sini biasanya hujan akan turun ketika musim sejuk. Hujan ketika itu akan tarun disusuli dengan salji dan ketulan ais yang keras. Siapalah yang sanggup main hujan ketika itu.

Kadangkala hujan turun juga ketika musim panas, tapi jarang sekali. Hujan turun membersihkan kotoran seperti kesan asap, tahi kuda, tahi kaldai dan segala kotoran yang ada di sini.

Ketika melihat hujan turun, saya rindu detik main hujan di Malaysia. Seronok sekali. Di sini, saya dah menjadi seorang perindu.

Salam merdeka!

Wednesday, August 23, 2006

PEREMPUAN

Saya amat bersyukur kerana saya dipilih oleh Allah untuk belajar dan merasai hidup di negara ini. Sudah pasti kehidupan di negara orang ini mempunyai kelainan yang agak banyak dari Malaysia. Hari ini saya ingin menyentuh sedikit tentang perempuan di negara ini. Mungkin kita boleh dapati sedikit kelebihan perempuan di sini. Ini sekadar apa yang saya tahu dan saya lihat secara menyeluruh.

Apa yang saya tahu tentang perempuan arab Syria.

1. Berpakaian menutup aurat sapenuhnya.
Sekarang ni sudah agak ramai yang bertudung tapi berpakaian ketat. Kalau nak ikut peratus saya rasa Malaysia lebih ramai. Ada juga yang tak bertudung dan berpakaian sendat tapi biasanya bukan muslim.

2. Akhlaknya masih terjaga.
Saya tidak pernah melihat perempuan arab meninggikan suara, terhegeh-hegeh, terlompat-lompat, atau membuat bising di dalam kenderaan awam. Amat jarang sekali saya melihat perempuan arab berjalan dengan seorang lelaki yang bukan mahram. Jika anda melihat seorang perempuan arab berkepit dengan lelaki, biasanya itu abang atau adiknya.

3. Tiada yang berjalan di tengah malam.
Saya juga jarang melihat perempuan arab berjalan seorang diri di waktu malam.Paling kurang dia akan berjalan dua orang, tiga orang atau lebih.

4. Rupa paras yang cantik
Ramai perempuan di sini cantik-cantik. Ini perkara yang semua orang akan akui. Tak percaya? Datang lah dan lihat dengan mata sendiri. Itulah sebab nya pelajar lelaki di sini amat takut jika ada perempuan yang cantik dan berpakaian seksi. Perempuan Malaysia di sini 99% memakai furdah. Bagi saya perempuan arab lebih afdhal memakai hijab.

Jika ada seorang perempuan arab yang berpakaian seksi lalu di hadapan, lelaki di sini (muda dan tua.) Tak termasuk saya tak lepas pandang seperti melihat bidadari turun dari syurga.

Daripada apa yang saya dengar dari kawan kawan yang kulit perempuan Syria yang paling cantik. Saya tak pasti pula kerana saya tak pandai menilai antara kulit yang baik atau tidak.

Yang menariknya peminta sedekah juga cantik-cantik dan masih muda. Tentang peniaga jangan ditanya, itu sudah pasti. Satu lagi tentang peminta sedekah, mereka tidak hodoh tapi ada yang sengaja menghodohkan diri sendiri. Comot dan selekeh.

5. Selalu diutamakan.
Dalam banyak perkara perempuan diutamakan, jika seorang perempuan naik bas yang penuh akan ada orang yang beri tempat duduk kepadanya. Satu contoh saya rasa dah memadai. Apa jua urusan perempuan amat diutamakan.

6. Tiada yang bekerja diwaktu malam.
Tidak ada perempuan bekerja di waktu malam secara umum nya., mungkin ada pekerjaan yang memerlukan perempuan sahaja. Seperti jururawat, doktor dan sebagai nya.

Dan jika diperhatikan tidak banyak perempuan yang berkerja. Kerana di sini perempuan lebih banyak tinggal di rumah dari bekerja.

7. Tidak keluar jika ada tetamu lelaki di rumah.
Jika anda ke rumah arab, anda tidak akan lihat anak perempuan arab atau isterinya keluar ke kawasan anda berada. Apatah lagi dalam berkeadaan berkemban. Kerana adalah menjadi aib kepada keluarga tersebut jika anak perempuan atau isteri tuan rumah berkelakuan begitu.

8. Kos perkahwinan yang tinggi.
Kos yang tinggi termasuk: kenduri, apa yang saya tahu kenduri kena buat tiga kali. Mahar: saya pernah sekali ikuti majlis akad disini. Lebih kurang RM 20,000. Tapi baru sekali saya ikut.

Jadi siapa yang rasa tak berkemampuan simpanlah angan-angan untuk berkahwin dengan perempuan arab. Tapi bukan lah semua orang mahar nya tinggi, cuma sebahagian.

9. Berkahwin dengan kerabat.
Keluarga arab lebih suka jika anak perempuan mereka berkahwin dengan yang ada hubungan persaudaraan. Ini adalah untuk menjaga keselamatan daripada malah kahwin lari dan sebagainya.

10. Tak guna wangian yang keterlaluan.
Hidung saya tak pernah “ditumbuk” oleh minyak wangi perempuan di sini. Saya tak pasti mereka memakai minyak wangi atau tidak.tetapi yang saya pasti tak bau apa-apa apabila berdekatan dengan mereka.

Hari ini dalam pemerhatian saya sudah ramai yang terpengaruh dengan budaya barat. Jika tidak kepada mereka, dibiarkan anak-anak mereka berpakaian ala barat. Jadi tidak hairan lah jika kita melihat seorang ibu yang berpakaian mengikut islam bersama anak yang berpakaian ala barat di sini.

Hari ini mungkin masih kurang, tetapi pada masa hadapan perkara ini akan menjadi lebih parah jika ia dibiarkan dan tidak diambil perhatian yang serius.

Monday, August 14, 2006

PERANG DAH BERHENTI, BETUL?

Allah dah makbulkan doa kita. marilah sama-sama kita sujud syukur!!!

VISA YANG SAYA NANTI


Siapa yang tak gembira kalau sesuatu yang ditunggu dan dinanti dengan penuh kesabaran telah berada di tangan. Itulah yang saya rasa ketika ini apabila saya telah mendapat visa daripada pihak universiti pagi tadi. Selama enam bulan saya menanti penuh sabar alhamdulillah hari ini Allah menunaikan permintaan saya selama ini.

Anda mungkin hairan kepada saya, kenapa perkara begini pun nak hebohkan?. Semua orang akan mendapat visa jika menuntut atau bekerja di sebuah negara asing. Ya tapi jika negara itu selain Syria saya rasa.

Sebenarnya saya tidak lah begitu jelas dengan status visa di mana-mana negara juga. Oleh kerana saya belajar di Syria, saya agak tahu serba sedikit tentang kedudukan visa bagi pelajar yang menuntut di sini. Entah lah tapi apa yang saya dengar dari kawan-kawan untuk mendapatkan visa bagi pelajar baru di negara yang mereka belajar amatlah mudah.

Tidak terdetik di hati ini untuk mempertikaikan sistem sebuah negara, apatah lagi menuduh mereka sengaja melambatkan urusan visa kepada pelajar. Mungkin ini adalah protokol nya. Oleh itu saya tidak mahu menyangka buruk terhadap sistem mereka.

Saya agak gembira kerana saya di antara pelajar yang awal mendapat visa di antara yang datang pada tahun 2005. Walaupun saya menyerahkan permohonan untuk mendapatkan visa agak lewat dari kawan-kawan tetapi saya di antara mereka yang agak terdahulu memperoleh visa. Saya syukur kerana ini adalah takdir yang Allah tentu sejak ‘azali lagi.

“Pelajar yang datang tahun 2005 dan 2006 tidak akan mendapat visa.” Ujar kawan saya tiga bulan lalu. Ketika itu kami yang baru sudah pasti amat terkejut dengan khabar angin ini. Ketika itu kami memperbanyakkan doa di samping mencari ikhtiar untuk masalah ini. Pihak Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) juga telah meminta bantuan dari Kedutaan merayu agar mempermudah urusan visa ini. Kami bertambah bingung dengan berita perang antara negara jiran dan Rejim Israel. Pihak Kedutaan nasihatkan agar dokumen perjalanan sentiasa bersama kami(kerana kemungkinan jika berlaku perang lebih yang serius kami akan dipindahkan dari Syria). Jadi seperti kami, yang perlu menyerahkan pasport kepada pihak universiti (pihak universiti yang membuat urusan visa.) tentu lah amat bimbang. Ketika itu, hanya Allah yang tahu apa yang perasaan kami.
Kelmarin apabila saya ke pejabat universiti, saya dikhabarkan yang visa saya sudah siap dan boleh diambil. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana Allah memakbulkan doa saya selama ini. Hari ini peperangan insya-Allah Akan ditamatkan. Walaupun sebahagian kawan saya masih belum mendapat visa saya doakan semoga Allah mempermudah segala urusan mereka.

Ada juga kawan-kawan yang dah menyerahkan dokumen permohonan untuk dapatkan visa dua tahun lalu hingga kini hanya mampu menanti.

Thursday, August 10, 2006

CERITA BIASA DI SINI

Saya lihat seorang polis menahan pemandu teksi. Dikeluarkan buku saman dari poketnya, benar-benar mahu menyaman pemandu teksi itu.

"bohong" ujar saya seraya tersenyum.

Seperti yang saya jangka pemandu teksi cepat-cepat menarik tangan polis yang pegang buku saman, belaku sedikit pertengkaran. polis itu seperti meminta sesuatu dari pemandu teksi. pemandu teksi seperti mencari sesuatu di dalam keretanya, kemudian diserahkan kepada polis yang masih pegang buku saman.

Terus sahaja saya berlalu dari mereka, adegan seterusnya sudah diketahui.

Polis itu memeriksa lesen memandu. tanpa sedikitpun memaniskan muka dia mengambil "sesuatu" dari lesen itu dengan segera memasukkannya ke dalam poket. dengan muka tak bersalah dia nasihatkan si pemandu agar jangan melanggar undang-undang jalanraya.
pemandu teksi mengangguk seperti anak yang berlakon di hadapan ayahnya.

Kejadian seperti tadi terlalu biasa di sini. Ho.. ho.. saya tak mahu kerana 50 lera ( 3.60 sen) saya menjadi ahli neraka. Tak berbaloi.

Mudah-mudahan kita sama berasa insaf.

MUSIM PANAS INI

Sekarang ini musim buah anggur, silalah ke rumah saya untuk menjamu selera.

Tuesday, August 08, 2006

KAMI YANG TINGGAL DI SYRIA

Mak terlau risaukan saya di sini. Adik pun ada tanya tentang keadaan di sini (adik sebenarnya risau kerana dia nak datang sini), abah juga selalu tanya keadaan di syria. Makcik dah tenttu runsing teringatkan saya yang tinggal di di sini. Siapa sahaja yang mengenali saya tentu risaukan keselamatan saya.

Saya juga tahu siapa saja akan risau jika mereka ada saudara, anak saudara, anak, ayah, tok wan, nenek, cucu menakan dan siapa sahaja yang ada hubungan dengan mereka. malah orang senegara juga akan risau apabila dengar ada rakyat malaysia di "negara perang" ini.

Mereka tentu terkejut apabila mendegar yang jet Israel dah melintasi istana Presiden republik Syria ini. malah mereka juga akan telompat dari tempat duduk apabila mendengar yang Syria akan diserang Israel dalam tempoh 72 jam. memang menakutkan apabila mendengar berita sebegini.

Saya juga ketika di tanahair amat takut apabila mendengar yang Syria akan diserang, bagaimana keadaan kawan kawan di sana, berperang ka, dan macam- macam gambaran dan persoalan yg lahir dari berita amat menakutkan itu.

Sekarang, apabila saya sendiri berada di sini rupanya keadaan amat berlainan dengan apa yang dirasai oleh yang berada di Malaysia. Alhamdulillah setakat hari ini saya rasa tekanan dari bahang peperangan di negara jiran masih terkawal di sini.

Saya amat harapkan keamanan di bumi Anbiya ini. Syria bagaikan lautan ilmu, saya amat takut ulama-ulama di sini dilukai, kerana mereka bagaikan intan yang amat berharga. Saya baru sedikit bendapat ilmu dari mereka. Jika berlaku peperangan sudah tentu kami akan dihantar pulang ke Malaysia. dan perjalan ilmu di sini sudah pasti akan tergendala.

Rasulullah juga pernah berdoa tentang keberkatan bumi Sham ini. Saya juga selalu dengar ( saya masih belum pasti sumbernya) yang Nabi Isa akan akan turun di Damsyik. Bermacam-macam lagi tentang keamanan bumi Syam ini. InsyaAllah Syam (Damsyik) ini akan dijaga olehNYA.

Walaupun bahang perang kami rasai di sini tetapi tidaklah sekuat mana. Sebagai ajanib* di sini rutin kami berjalan sepeti biasa. Saya rasa untuk masa terdekat ini mungkin Syria masih tidak berperang. Pihak Kedutaan juga ada memberitahu yang keadaan di sini insyaAllah selamat.

Sama-samalah kita berdoa agar keselamatan umat Islam, ulama dan siapa sahaja agar berada di bawah jagaan Allah subhanahu wa taala.

Wallahu a'lam

Masyaikh: Ulama
Ajanib: warganegara asing

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU BUAT HAKIM

"Selamat menyambut Tahun Baru untuk awak Hakim Dirani. kerana hari ini dah cukup setahun kau tinggal di bumi Syria yang bertuah ini" ujarku kepada diri sendiri. Seperti yang dijangka saya sedikit pun tak rasa seronok untuk membuat ucapan seumpama ini. siapa yang seronok kan?

Hari ini saya akan buat muhasabah untuk tempoh setahun belajar di Syria. bagaimana harapan dan cita-cita yang menggunung sebelum tiba di bumi anbiya ini. kononnya nak belajar sepenuh masa, nak tumpukan perhatian kepada pelajaran, main sikit, nak tumpu pada pengajian Talaqqi dan macam-macam lagi gambaran sebelum menjejakkan kaki di sini.

Hari ini saya mengambil iktibar yang saya perlu meletakkan harapan biar setimpal dengan kemampuan bahu yang memikul. Dan apabila saya perhatikan banyak di antara harapan saya hanya tinggal harapan dan cita-cita dah bertukan menjadi angan-angan.

Hari ini akan menjadi saksi yang saya akan sekali lagi berangan-angan dan sekali lagi menaruh harapan untuk belajar bersungguh dan tak akan membuang masa. saya tak mahu masuk ke dalam "lubang" untuk kedua kalinya. ini janji saya.

Ya Allah ya tuhanku sesungguhnya aku menzalimi diriku, engkau tak mengampuniku nescaya aku tergolong dari golongan yang rugi

Sunday, August 06, 2006

HARI INI AKU DAH ADA BLOG

Aku dah ada blog. lepas ini aku nak tulis apa saja yang aku nak tulis. aku tak kisah pon kalau ada orang nak kata apa-apa. syoknya aku kerana aku dah ada blog.