Thursday, August 31, 2006

HUJAN, DETIK YANG KU RINDU

Emak selalu berpesan jangan main hujan. Saya masih ingat emak akan marah-marah kalau melihat saya pulang ke rumah dalam keadaan basah lencun kerana main hujan. Lekas-lekas mak suruh saya ke pancur untuk mandi. Saya tahu mak bimbang anaknya seorang ini demam.

Kalau tak salah, saya ketika tu berumur empat tahun. Dari saat itulah saya dah berazam yang saya tidak akan main hujan lagi.

Ketika berumur tujuh tahun saya dihantar ke asrama. Hujan turun lagi. Kawan-kawan begitu riang bermain hujan. Saya terfikir ketika itu. Kenapa emak dan abah larang saya main hujan. Padahal kawan-kawan main hujan tak ada siapa pun yang melarang. Saya hanya mengurung diri dan melihat keseronokan kawan kawan. Beberapa hari kemudian hujan turun lagi. Saya tetap tak bersama kawan-kawan. Saya hanya boleh tadah air yang turun dari lereng-lereng zink. Fikir saya dari tak boleh main langsung, boleh juga main tadah-tadah air ini.

Seperti biasa hujan tetap turun beberapa hari selepasnya. Seperti diarah kawan-kawan pergi main dengan rahmat itu. Saya? Macam biasalah, mana tahan. sekali dengan kawan-kawanlah.

Saya hairan hujan seakan-akan memanggil kami ketika turun. “marilah marilah main bersama aku” kami agak segan. “Bukankah aku ini rahmat. Tak elok menolak rahmat”
Kami angguk. Segera kami berlari ke arah rahmat itu.

Mungkin mak dan abah larang saya mandi hujan ketika itu kerana risaukan saya demam. Betul. Saya biasanya demam jika selepas main hujan. ketika itu mak dan abahlah yang sibuk mencari ubat dan membuat segalanya supaya saya sembuh.jika saya demam mak dan abah tak marah-marah lagi.

Semasa di peringkat menengah, saya jarang sekali demam biarpun barmain hujan selama beberapa jam. Mak dan abah tak lagi marah marah. Tak tahu pulak kenapa. Kaedah fekah ada menyebut ‘diam itu tanda setuju.’

Hari ini. Di Syria, mak dan abah tak perlu lagi tegur saya tentang mandi dan main hujan (walaupun saya tahu mak dan abah tak akan larang saya). Kerana, saya tak mahu dan tak akan main hujan selama saya berada di sini dan kerana saya seorang anak yang patuh dan taat kepada ibu bapa.

Sebenarnya saya tak mandi dan tak main hujan kerana di sini biasanya hujan akan turun ketika musim sejuk. Hujan ketika itu akan tarun disusuli dengan salji dan ketulan ais yang keras. Siapalah yang sanggup main hujan ketika itu.

Kadangkala hujan turun juga ketika musim panas, tapi jarang sekali. Hujan turun membersihkan kotoran seperti kesan asap, tahi kuda, tahi kaldai dan segala kotoran yang ada di sini.

Ketika melihat hujan turun, saya rindu detik main hujan di Malaysia. Seronok sekali. Di sini, saya dah menjadi seorang perindu.

Salam merdeka!

6 comments:

Ted said...

happy MERDEKA too!singgah jap..ehe

rozais al-anamy said...

Salam Akhi,
Saya pun suka main hujan, namun kini setelah dewasa hanya menunggu gerimis di malam hari - gerimis yang turun dalam limpahan neon, amat cantik sekali.

Bunga Rampai said...

Menghulur salam ukhwah, jua salam merdeka :)

Teruskan cerita-ceritamu mengenai Syria dan para penghuninya. Menarik.

INDERA KENCANA said...

Salam.

Ini pertama kali saya melawat Blog anda. Hujan itu membawa seribu rahmat dan hujan juga membawa kenang-kenangan silam.

Saya tidak pernah berkesempatan melawat Syria walaupun suatu ketika dulu saya sudah menghampiri ke sempadannya. Teringin untuk bermalam di rumah tradisonal Syria yang berbentuk sarang lebah itu walau satu malam pun atau menunaikan solat di Masjid Umar walau setakat 2 rakaat.

ufukhati said...

Sdr.

Hujan memang menakjubkan. Saya banyak juga menulis puisi mengenai hujan atau peristiwa tatkala hujan.

Bila membacannya jadi asyik.

hakim dirani said...

Ted,
Ahlan wasahlan.

Ukhti Rozais,
Ukhti memang pandai berbahasa.

Tentu ada hikmahnya kita ditakdirkan begini.


bunga rampai,
Insya-Allah.

Indera Kencana,
Saya doakan anda akan sampai dan segala impian anda akan tercapai.

Pak Darma,
Saya ama teringin untuk membaca puisi Pak Darma