Monday, October 27, 2008

LAGI TENTANG RI

Semalam saya dapat tahu yang Ri sudah diberkas Polis sehari dua yang lepas.

16 kes samun dan 2 dua kes rogol adalah tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Mari sama-sama kita berdoa agar dia segera sedar.

Sunday, October 12, 2008

YA ALLAH, APA YANG BOLEH KUBANTU?

Semenjak saya pulang ke tanahair bulan lepas, saya selalu berjalan ke rumah kawan-kawan yang telah sekian lama kami terpisah. Masa itu kami sering bertanya khabar. jika kawan-kawan saya di sini akan bertanyalah tentang kawan-kawan di Syria. Saya pula, akan selidiklah tentang kawan dan sahabat yang saya belum jumpa. itu normal bukan? bertanya khabar.
Ini apa yang sebenarnya saya nak cerita,
Semasa sedang bersembang dengan beberapa orang sahabat, saya bertanya tentang seorang junior di sekolah lama saya kepada seorang sahabat yang kebetulan sekampung dengannya. katalah namanya Ri (bukan nama sebenar). Saya benar-benar terkejut bila saya dapat tahu kisah Ri. begini kisahnya:
Ri pada tahun 2003 kalau tak salah ingatan saya pernah tinggal sebilik dengan saya ketika kami bersama-sama di sekolah dahulu. ketika saya berumur 16 tahun dia baru berumur 13 tahun. kiranya saya ini agak rapat dengan Ri ketika itu. walaupun tak banyak tapi ada beberapa perkara dia ada juga mengadu kepada saya, mungkin ketika itu saya selaku ketua di bilik yang kami duduki. adakala, bila dia begurau dengan saya agak kasar, siaplah dia saya ketuk kepalanya.
Ri, dulu juga seorang yang sopan dan sangat lemah lembut. kalau dalam bermuamalat sesama kawan-kawanya saya yakin semua orang senang dengannya. guru-guru juga, jika ingin menghukum, biasanya kesalahan biasa-biasa sahaja yang Ri lakukan. Ya, anda tentu dah dapat bayangkan apa yang saya nak sampaikan bila saya ceritakan kisah lampau Ri.
Hari ini Ri bukan lagi Ri dahulu, dia bukan lagi apa yang saya pernah kenal. Jika dulu Ri adalah watak yang sangat-sangat disenangi, hari ini tidak lagi. Ri hari ini sering diburu dan dicerca oleh ramai orang, termasuk polis, samseng dan orang kampung. Saya hampir menangis bila saya mendengar kisah Ri.
Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar dari kisah Ri.
Saya dapat tahu, dua tahun lepas akibat dari ketagihan dadah Ri mengugut ibunya. Ri letakkan pisau di leher, dan hampir-hampir benar membunuh ibunya. memang kerja gila. polis kemudiannya membawa ke pusat pemulihan. itu bukan kali pertama dia dibawa oleh polis, tapi sudah beberapa kali.
Sebelum ini juga dia dicekup polis dek kes rogol anak dara orang. mungkin mereka ini lebih kepada zina, bukan rogol. tapi kerana ketika itu masih di bawah umur dia dikira kes rogol. Keluarga perempuan itu menarik balik laporan polis bila ayah Ri memujuk dan berjanji akan kawinkan Ri dengan perempuan tersebut. Ri, oh Ri. Ri pula enggan kawinkan budak perempuan itu dan akhirnya kes ini kembali menjadi kes polis. hingga hari ini juga, kes ini masih belum selesai.
Saya sentiasa bordoa agar Ri yang saya anggap sebagai adik ini segera bertaubat.
baru ini selepas adakan rumah terbuka sempena raya, makcik ini sedang berkemas di halaman rumah. Kemudian dia disapa oleh orang yang mengkui dari syarikat khemah yang disewa makcik itu. tapi tak sempat berbuat apa-apa makcik itu diragut dan mereka terus melarikan diri. Dari apa yang makcik itu ceritakan, dari watak dan pengenalan peragut itu, orang ramai menuding jari kepada Ri dalam kes ini. ini kes terbaru. baru seminggu dua ini.
Apa punca Ri jadi begini?
Kawan-kawan beritahu yang ayah si Ri ini terlalu manjakannya, sebut sahaja apa yang dia inginkan, mesti dituruti. ketika kes kes yang saya sebutkan di atas., ayahnya masih membelanya. masih percaya kepada anaknya ini.
Kawan-kawan juga ada beritahu yang di antara punca juga ialah pengaruh kawan-kawan yang yang liar. Saya pula tak sepenuhnya sama pendapat dengan mereka. Ada juga yang punya kawan yang liar dan punya keluarga yang sentiasa menuruti permintaan, tapi tak jadi macam ini pun. walaupon ada benar apa yang mereka katakan tetapi bagi saya kesalahan ini Ri perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Tak boleh salahkan sesiapa.
Ya Allah, apa yang boleh saya bantu dia.

Wednesday, October 08, 2008

KASIHAN DIA

Saya ada seorang kawan. Dia punya satu kelebihan dan mungkin boleh juga kita namakan kekurangan. ya, kelebihan kerana dia sangat suka jaga perasaan orang dan saya sebut kekurangan bila dia menjaga perasaan orang dia lupakan perasaan sendiri. hati dia sering dilukakan oleh diri sendiri dan orang lain. cuma satu puncanya, sifat baik hatinya itu lah.

Mungkin ada orang kata saya cerita tentang diri saya sendiri. tapi sebenarnya tidak. saya cuma nak kongsikan cerita ini.

Saya pula jenis yang sebahagian orang kata sangat pentingkan diri. itulah sebab saya masukkan entri tentang ini. mudah-mudahan saya juga menjadi orang yang sedikit terlibat terhadap kebaikan orang dengan mengorbankan kebahagian sendiri (jika perlu). ada orang bertanya kenapa perlu sampai perlu korbankan kebahagiaan sendiri. bukankah boleh dengan kita beri kebahagian tanpa kita menjadi korban.

Itulah masalahnya. mungkin ada jenis yang tek perlu kita menjadi korban. Adakala sebahagian pengorbanan tu memang menuntut kita menjadi korban. dia hanya perlu bersenyum dan berkata. ohh, gembiranya. dan saya sangat tahu hatinya. bagai bara dalam genggaman.

Pernah sekali kerana kes seperti ini. gara-gara nak meraikan orang, dia hampir tak boleh tidur malam. saya sebagai kawan, hanya boleh beri semangat. kata saya lagi, mungkin dengan pengorbanan yang dia beri hari ini, akan datang balasan yang setimpal akan dia perolehi. sekarang bersabarlah.

Dan pernah sekali dia ceritakan kepada saya tentang dia sukakan seorang gadis. tapi oleh kerana kawan kepada sahabat saya ini juga suka kepada gadis yang sama maka, dia terus senyap dan tak luahkan lansung perasaan dia. malah seorang pon tak tahu cerita ini kecuali kawan baik dia sahaja. ha ha saya la kawan baik dia tu.

Dan ini jawapan saya kepada dia, "Hang Bodo, haha. kalau ya pon nak berkorban jangan sampai hang terkoban" dan ayat seumpama ini yang saya selalu kata kepadanya.

Macam cerita dalam tivi la pulak. tapi ini la hakikat.

Keadaan menjadi lebih parah apabila dia seperti ada tekanan dan seperti menjadi cepat marah. dia lebih suka memilih termenung selepas seketika dia ditimpa masalah. tunggulah beberapa waktu pula untuk melihat dia kembali seperti biasa.

Saya sangat-sangat percaya yang ramai dari kalian macam sahabat saya yang sorang ni. Mungkin kalian juga punya alasan tersendiri berbuat begitu kan. saya pula mungkin ada cara tersendiri. ya, saya seperti sebahagian kawan saya akui, sangat pentingkan diri.

Mungkin, saya juga nak jadi macam sahabat saya itu. Dan nanti tu masih tak tahu bila.
Habis cerita.
Kenapa ntah, saya rasa keyakinan diri saya benar-benar merudum jatuh. ketika ini.

Wednesday, October 01, 2008

SALAM AIDIL FITRI

Selamat hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin jika saya ada melakukan sebarang kesalahan kepada kalian.

Sedih tak setelah ramadhan tinggalkan kita?

Tahun ini Walaupun saya beraya di Malaysia, tetap sunyi. kali ini kami beraya tanpa abah di sisi. Apa-apa pun kami perlu tabah kan?

Thursday, September 18, 2008

PULANG JUGA SAYA AKHIRNYA

Sedar atau tidak, rupanya dah tiga tahun atau 1131 hari saya di Syria. Alhamdulillah, khamis lepas saya telah selamat pulang ke Malaysia. Melepas juga rindu saya kat tanahair. Dan apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua kerana kerana mendoakan saya selama ini.

Waktu nak balik dahulu, 9 september gara-gara asyik dengan bersalaman dengan sahabat, kami teringgal kapal terbang. Haha. Punya la sedih waktu itu. Rujuk ke pejabat syarikat penerbangan, kami diberitahu bahawa 22 september adalah tarikh terawal yang dapat kami naik sebagai ganti kepada penerbangan kami yang lalu. Masalahnya ialah penerbangan dari Damascus ke Abu Dhabi, semuanya penuh. Dari Abu Dhabi ke KL tak ada masalah masih ada kosong. Hmm.. kami mengambil keputusan tunggu ja di airport Damascus pada 10 september kerana ada penerbangan yang nak ke Abu Dhabi walau penerbangan tu dah penuh. Manalah tahu kalau ada orang yang lambat juga kami akan ambil tempat mereka. Dan nasib kami baik kerana memang ada orang yang tak jadi datang. Syukur. Oh, anda jangan kata kami mendoakan supaya mereka tak jadi datang. Saya tak seteruk itu.

Ohh, ini adalah beberapa perkara yang nak saya komen selepas saya balik,

Satu, kalau dulu masa di Syria semua pertuturan adalah dalam bahasa Arab. Dan kesannya, ketika saya di kedai, atau tempat tertentu saya hamper nak gunakan bahasa arab. Nasib baik baru nak terkeluar. Kalau dah terkeluar, ternganga la penjaga kedai tu. Ha.. ha..y
Dua, saya terkejut sangat bila ramai juga yang pakai snow cap ketika matahari betul-betul di atas kepala. Mungkin, perinsip mereka “biar siksa asal bergaya” haha. Saya no komen.

Tiga, kalau dulu saya ni kalau jumpa orang melayu di Damascus akan menyapa mereka. Itu dah menjadi kebiasaan. Di sini, rasa pelik pula kerana saya seperti ada cenderung nak tegur sapa saja yang saya jumpa. Pelik la pula.

Empat, kata seorang sahabat saya, dia rasa lebih "sakit" jika “terlihat” perempuan Malaysia pakai seksi, beranding wanita arab. Kenapa? Saya tak tahu nak komen. Itu dia, bukan saya.
Selamat menyambut bulan Ramadhan. Harapnya kita berupaya menambah amalan kita di bulan mulia ini.
Saya tak mampu nak kemaskini atau nak komen di blog kalian kerana di Syria dulu ada masalah untuk berbuat demikian.

Saturday, July 19, 2008

ABAH DAN PERJALANAN ABADI



Bismillahhirrahmanirrahim..

08-07-2008 Abah dan mak selamat sampai di Bumi barakah Syria selepas singgah dua minggu di Mesir dan jordan. Waktu tu kami bersyukur kerana selamat masuk ke Syria yang sudah dikenali dengan susahnya nak masuk.

Ketika di Syria, penyakit lelah abah semakin menjadi-jadi. Ini merisaukan kami sekeluarga. 13-07-2008 kami bawa abah ke hospital untuk sedikit rawatan. biasanya di Malaysia jika dirawat begitu penyakit abah akan kebah. tapi kali ini ntah, kerana kehendak Allah jua Asma abah tak juga mahu surut.

Selepas makan tengahari 15-07-08 abah mengadu susah hendak bernafas. Abah minta saya pergi ke Hospital untuk meminta nasihat Doktor tentang Gas yang lebih baik kerana gas yang sedia ada, tidak begitu berkesan. Tapi ketika saya tiba di hospital. pembantu Doktor menyulitkan keadaan. Saya pulang ke rumah dan beritahu abah supaya kami ke Hospital. abah cakap abah tak larat. tunggulah surut sikit sakit abah baru abah mahu pergi. saya berlari ke hospital yang lain mencari Van Anbulance. tapi pihak hospital beritahu yang van tidak disediakan. saya cari pula teksi untuk bawa abah ke hospital. walau abah sudah beritahu yang abah tak mahu lagi ke hospital.

sesampainya saya ke rumah, saya dengar Mak sedang memanggil-manggil abah. rupanya abah dah tak edarkan diri. kami dukung abah ke hospital. dan ini juga yang dinamakan Qada dan Qadar. Doktor beritahu kami bahawa abah telah pergi selamnya.

Abah, ketika detik-detik terakhirya, masih lagi teringatkan solat. walau ketika mengadu susah bernafas dan susah untuk bergerak, masih lagi cuba untuk menunaikan solat. dan ketika abah mendengar Azan asar Abah menangis dan berkata "Dah habis dah waktu zohor" (abah masih tak sempat untuk solat Zohor kerana tak mampu untuk bergerak). Beberapa detik selepas itu, abah pergi bertemu tuhan dengan ingatan yang kuat kepada-Nya. Waktu itu, semasa ketiadaannya, hanya beberapa detik selepas Muazzin melaungkan Azan.

Abah pergi ketika benar-benar dekat dengan kami. Setelah tiga tahun tidak bertemu. abah datang untuk menziarah anaknya di Syria dan Mesir. dan saya besyukur sangat kami sempat bersama.

Abah pernah cerita yang sejak sepuluh tahun inilah kali pertama abah dan mak cuti dari berniaga (pekerjaan abah) paling lama, lebih kurang sebulan. Rupa-rupanya Allah lebih mengetahuhi. Abah akan berehat selamanya dan menemani saya di Syria. ini Perancangan Allah yang kita tak mampu tahu.

Ya Allah, Ampunkanlah segala dosa abah. kasihilah abah. Tempatkanlah abah di Syurga bersama para anbiya dan solihin. Jauhkan abah dari azab qubur dan azab Neraka. ya Allah, hanya kepadamu kami memohon.

Wednesday, March 26, 2008

SAHABAT-SAHABAT RASULULLAH YANG MENINGGAL DI SYRIA

Mungkin diantara sebab bumi Syam ini berkat, jasad para sahabat baginda Rasulullah ini disemadikan di sini.

1. Saidina Bilal Bin Rabah. Radhiallah anhu.
2. Saidina Abu Darda Radhiallah anhu
3. Saidina Khalid Bin Said Radhiallah anhu
4. Saidina Said Bin ‘Amir Radhiallah anhu
5. Saidina Nu’man Bin Bashir Radhiallah anhu
6. Saidina Sharahbil Bin Hasanah Radhiallah anhu
7. Saidina Abu Umamah Al-Bahili Radhiallah anhu
8. Saidina Dihyah Bin Khalifah Radhiallah anhu
9. Saidina Wabisah Bin Ma’bad Radhiallah anhu
10. Saidina Fadhalah Bin Abid Radhiallah anhu
11. Saidina Sauban Bin Bujdud, Radhiallah anhu Khadam Rasul
12. Saidina Hujr Bin ‘Adi Radhiallah anhu
13. Saidina Salamah Bin Hisham Radhiallah anhu
14. Saidina Auf Bin Malik Radhiallah anhu
15. Saidina ‘Iiyad Bin Ghanam Radhiallah anhu
16. Saidina Syamun Bin Yazid Radhiallah anhu
17. Saidina Wasilah Bin Al-Asqa’ Radhiallah anhu
18. Saidina Aus As-Saqafi Radhiallah anhu
19. Saidina Busr Bin Jihash Radhiallah anhu
20. Saidina Miqdam Bin Ma’diyakrib Radhiallah anhu
21. Saidina Lujaj Al-‘Amiri Radhiallah anhu
22. Saidina Mu’awiyah Bin Abi Sufyan Radhiallah anhu
23. Saidina Yazid Bin Abu Sufyan Radhiallah anhu
24. Saidina Saad Bin Ubadah Radhiallah anhu
25. Saidina Sahal Bin Hanzaliah Al-Ansari Radhiallah anhu
26. Saidina Wahshi Bin Harb Radhiallah anhu
27. Saidina ‘Irbad Bin Sariah Radhiallah anhu
28. Saidina Amr Bin ‘Abasah As-Salmi Radhiallah anhu
29. Saidina Abdullah Bin Busr Al-Mazini Radhiallah anhu
30. Saidina Safinah (Khadam Rasul) Radhiallah anhu
31. Saidina Syurahbil Bin Simt ((السمط Radhiallah anhu
32. Saidina Abu Marsad Al-Ghanawi Radhiallah anhu
33. Saidina Mutallib Bin Rabi’ah Radhiallah anhu
34. Saidina Saad Bin Tamim Radhiallah anhu
35. Saidina ‘Alqamah Bin ‘Ulasah Radhiallah anhu
36. Saidina Salamah Bin Nufail Radhiallah anhu
37. Saidina Shaddad Bin Syurahbil Radhiallah anhu
38. Saidina Syrahbil Bin Aus Radhiallah anhu
39. Saidina Abdur Rahman Bin Abi Umairah Radhiallah anhu
40. Saidina Mudrik Bin Ziyad Radhiallah anhu
41. Saidina ‘Ala Bin Wahab Radhiallah anhu
42. Saidina Abdullah Bin Sufyan Radhiallah anhu

Kepada Sesiapa yang mendoakan kesejahteraan saya sempena hari lahir saya dan ketika yang lain, saya juga berdoa aga segela urusan anda dipermudahkan Allah.

Wednesday, February 06, 2008

NAK JAWAB TAG

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih Puteri kerana mentag saya walaupun saya ni sebenarnya cukup liat bab-bab jawab tag ni.

Azam tahun 2008/ 1429.
Saya sebenarnya banyak azam yang ingin dicapai. Tapi, yang betul-betul ingin saya laksanakan pada tahun ini ialah menjadi orang yang beristiqamah di dalam setiap amalan, memperbanyakkan kebaikan dan lebih rajin.

Kenangan pahit tak boleh lupa di tahun 2007.
Ada, Tapi biar pahit ini saya seorang sahaja yang tahu. Minta maaf banyak-banyak kerana saya tak mampu cerita kepada anda semua.

Pengajaran dari tahun 2007.
Dalam keadaan sebagai pelajar ni, jangan sibuk nak buat benda lain. Lebih-lebih yang akan menggangu perhatian kepada pelajaran.

Pencapaian paling bermakna pada 2007.
Selepas beberapa kali menemui kegagalan pada tahun lepas, saya akihirnya dah belajar beberapa hikmah di sebalik kegagalan tersebut. mungkin ada lagi beberapa pencapaian lain, tapi yang paling bermakna bagi saya yang ini lah.

Kalau ada gambar menarik sila buboh paparkan kat di sini.


(gambar Atas: dengan seorang sahabat dari Syria. Bawah: dengan guru, Syeikh Fahmi Zam Zam)

Sebarkan virus kepada 8 orang rakan. (tapi saya tambah dua jadi 10)

Saya nak sebarkan virus ini kepada blogger dari Syria.

01- Bayu Senja

02- Adik

03- Cermin Diri

04- Bang Gugar

05- Uda

06- Kurma

07- Keramat

08- Achik

09- Nifie

10- Mizi

Hari ni, hari jadi saya. Tolong doakan kebaikan saya.

Thursday, January 24, 2008

AKHIRNYA ALLAH MAKBULKAN DOA MEREKA

Bismillahirrahmanirrahim
Kata orang hujan itu rahmat. Kami rasa hujan salji juga rahmat. Sejak 2004 lagi rahmat ini dinanti. Kelmarin ia turun. Kelmarin Allah makbulkan doa dan penantian mereka supaya Damascus dihujani salji.
Dan kami ini yang bertamu di sini hanya tumpang seronok dari rahmat ini.

Kalau tahun-tahun lalu kami perlu ke tempat tertentu untuk bermain salji. tapi, tahun ini tak perlu lagi.

Gambar di bawah ialah sebahagian dari koleksi kami dalam memeriahkan suasana main salji dalam rumah kami. Ingat! di dalam rumah, bukan di luar.












Dan hari ini kami tidur di dalam kesejukan yang amat kuat. sejuk sangatttttt....

Monday, January 14, 2008

JALAN-JALAN KE BOSRA


Bismillahirrahmanirrahim.
Awas! Entri ini terlalu panjang.

Tiga hari yang lalu saya buat yang kesekian kalinya telah berjaya menjejakkan kaki di tanah Bosra, Sebuah kesan bandar Rom lama yang menjadi tumpuan setiap pengunjung yang datang ke Syria.

Kami memulakan perjalanan sejauh 110 km pada jam 7.30 pagi dari Damsyik. Destinasi pertama yang dirancang ialah Kesan Peninggalan Rom di sekitar Bosra iaitu sebuah perkampungan di Negeri Dara’a.

Sekitar jam 9.30 pagi kami tiba di sana dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk bersarapan.

Sebenarnya di Bosra terdapat banyak kesan Sejarah yang boleh dikunjungi, tetapi memandangkan masa tidak mencukupi kami hanya merancang untuk ke beberapa tempat yang kami rasakan agak penting. Tempat beribadat (gereja) Rahib Buhaira adalah destinasi pertama menjadi sasaran kami. Siapa Rahib Buhara? Beliau adalah seorang paderi yang bertemu dengan Baginda Rasulullah ketika Baginda datang bersama Abu Talib (bapa Saudara baginda) ke Syam untuk Berniaga (Syam ketika itu adalah gabungan 4 negara iaitu Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin). Ketika itu Baginda masih kecil dan Buhaira mengenali Baginda dengan melihat tanda-tanda kenabian iaitu awan yang melindungi nabi dari sinaran matahari. Buhaira ketika itu meminta supaya Abu Talib membawa baginda pulang kerana takutkan musuh akan menyakiti Rasul.
Antara laluan


Sekitar Kota lama Rom
Pintu ini juga ada sejarah tersendiri
Gereja Buhaira
Di dalam Gereja
Kediaman Buhaira

Seterusnya kami ke Masjid Mabrak An-Nakah. Jarak antara masjid ini dan gereja tadi hanya sekita 200 meter. Masjid ini dapat saya simpulkan mempunya empat kelebihannya:
1. Mempunyai kesan unta yang ditunggangi oleh Nabi Muhammad ketika Baginda datang ke Syam.
2. Rasul pernah bersolat di sini (mungkin Sembahyang ikut kaedah rasul sebelumnya kerana ketika ini Baginda masih belum diangkat menjadi Rasul).
3. Al-Quran pertama diletakkan disini untuk seketika sebelum dibawa ke Damascus.
4. Tempat Membesarnya seorang tokoh ilmuan terkenal Ibn Hajar.

Pintu masuk yang kecil

Kesan Unta Rasul

Pintu Kecil (mungkin Tingkap) untuk ke bilik Ibn Hajar


Ruang kesan unta tadi

Kemudian kami ke satu Banggunan Teater yang dibina sekitar 512-513 M oleh pemerintahan Rom. Rasa saya Banggunan Teater ini satu-satunya banggunan yang masih tidak rosak berbanding banggunan sekitarnya yang seakan-akan longgokan dan susunan batu-batu buruk. Banggunan Teater ini disusun dengan batu-batu satu mester persegi tanpa mengunakan sebarang pelekat. Ketika era Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, kubu ini diambil alih oleh kerajaan beliau di tangan adik Sultan sendiri iaitu Najmuddin. Kemudian beliau membaik pulih banggunan ini untuk dijadkani kubu tentera islam ketika itu. Kubu ini dilengkapi dengan dewan pementasan, Muzium, bilik air, bilik-bilik-bilik khas, tempat hukuman, dan lubang-lubang kecil sekitar kubu untuk diletakkan pemanah-pemanah.




Aziz sahabat yang turut serta.

Destinasi seterusnya ialah makam Rasulullah Ayyub alaihissalam. Perjalanan dari Bosra ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit. Kemudian kami berehat di situ dan bersembahyang Zuhur dan Asar secara jamak.

Makam Nabi Ayob

Perjalanan kami teruskan ke Makam Sahabat Rasulullah Saad bin Ubadah r.a. (ketua kepada kaum Khazraj ketika hidupnya. Dan beliau meninggal tahun 14 Hijrah). Sebenarnya kubur beliau di Syria ada dua satu di sini dan satu lagi di Damascus yang mana satu benar Allah lebih mengetahui.

Makam Abu Ubadah r.a

Kolam Nabi Ayub(bawah dan atas)

Berdekatan dengan Makam sahabat yang mulia itu terdapat satu kolam yang dipercayai kolam Nabi Ayub ketika ingin hilangkan penyakit yang menimpa baginda.kemudian baginda disuruh untuk menggunakan air kolam itu untuk membersihkan tubuh baginda (cerita ini juga diragui kebenarannya).

Makam Imam Nawawi ialah tempat tujuan kami yang terakhir. Ia terletak di perkampungan Nawa, tempat kelahiran beliau. Imam Nawawi ialah seorang tokoh ilmuan yang cukup terkenal. Beliau meninggal dunia ketika berusia lebih kurang 40 tahun. dikatakan kerana kesibukan beliau dengan ilmu sehingga tidak sempat berkahwin. Antara kitab karangan beliau ialah al-Azkar , Riadu as-Solihin dan Sharah Sohih Muslim.

Makam Imam Nawawi dibina sekitarnya tembok batu supaya menghalang sebahagian orang yang melakukan perkara bidah di kubur itu. Di tengah-tengah pusara ini tumbuhnya satu pokok besar yang tidak mempunyai daun.

Pernah diceritakan bahawa ada dua orang sahabat telah datang ke kubur Imam. Salah seorang dari mereka berdua lumpuh. Mereka berdoa supaya Allah menyembuhkan penyakitnya. Malam itu di dalam tidur orang yang berdoa itu nampak seorang lelaki datang mengubati kaki kawannya. Setelah terjaga dari tidur kaki kawannya benar-benar sembuh. Cerita ini tercatat di dinding tembok Pusara Imam.

Kubur beliau

Tuesday, January 08, 2008

KALAU ANDA DIJAMU, MAHU MAKAN TAK?

Bismillahirrahmanirrahim.




Selamat Tahun Baru Hijrah. Saya doakan azam anda semua akan tercapai. Pastikan diri kita menjadi lebih dekat dengan Allahberbanding tahun lalu.

Thursday, January 03, 2008

PERPISAHAN, PERTEMUAN DAN KETENTUAN ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim

Bulan lepas seorang sahabat saya terpaksa pulang ke Malaysia selepas pasport beliau telah dihilangkan oleh pegawai imigresen. Sedih betul hati ini, tidak tahu saya kenapa hati saya kerap tersentuh dan air di mata ini terlalu mudah untuk mengalir.

Walaupun saya dan dia mula bersahabat tidak terlalu lama, hanya lebih kurang setengah tahun yang lalu. Saya amat senang dengan sikap beliau yang tak banyak karenah, mudah dibawa berbincang dan amat memahami.

Hari ini kami perlu terima suratan bahawa perpisahan terkadang bersifat luar jangkaan. Siapa sangka yang benda begini akan berlaku. Nak minta pegawai Imigresen itu bertanggungjawab, jangan haraplah. Silap-silap kita juga akan dipersalahkan.

Dia juga terpaksa berhenti belajar kerana terpaksa pulang. ya lah, nak datang semula ke sini sekurang-kurangnya dua tahun kena berkurung dalam Malaysia (kerana jika pasport hilang begitu prosudernya, itu yang saya tahu) . tambahan pula tiket kapalterbang amatlah mahal.

Entah kenapa walaupun perpisahan ini hanya sementara, sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun nanti kami masih boleh bertemu, hati saya amat mudah tersentuh.

Di sini saya hanya boleh berdoa agar beliau teruskan pengajian tak kira di mana sahaja berada dan janganlah berputus asa biar agak berat dugaan ini melanda. Ini doa saya. aamin ya rabbi.

Noktah.


Asalnya memang kami bercadang nak pindah. seperti janggkaan saya kami tak jadi pindah dan masih menetap di rumah yang lama. jadi, kepada Saudari Hazwani, tekaan anda salah. he he.
Mudah-mudahan belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru. Mudah-mudahan kita akan menjadi lebih dekat dengan Pencipta berbanding tahun-tahun lalu.