Wednesday, March 26, 2008

SAHABAT-SAHABAT RASULULLAH YANG MENINGGAL DI SYRIA

Mungkin diantara sebab bumi Syam ini berkat, jasad para sahabat baginda Rasulullah ini disemadikan di sini.

1. Saidina Bilal Bin Rabah. Radhiallah anhu.
2. Saidina Abu Darda Radhiallah anhu
3. Saidina Khalid Bin Said Radhiallah anhu
4. Saidina Said Bin ‘Amir Radhiallah anhu
5. Saidina Nu’man Bin Bashir Radhiallah anhu
6. Saidina Sharahbil Bin Hasanah Radhiallah anhu
7. Saidina Abu Umamah Al-Bahili Radhiallah anhu
8. Saidina Dihyah Bin Khalifah Radhiallah anhu
9. Saidina Wabisah Bin Ma’bad Radhiallah anhu
10. Saidina Fadhalah Bin Abid Radhiallah anhu
11. Saidina Sauban Bin Bujdud, Radhiallah anhu Khadam Rasul
12. Saidina Hujr Bin ‘Adi Radhiallah anhu
13. Saidina Salamah Bin Hisham Radhiallah anhu
14. Saidina Auf Bin Malik Radhiallah anhu
15. Saidina ‘Iiyad Bin Ghanam Radhiallah anhu
16. Saidina Syamun Bin Yazid Radhiallah anhu
17. Saidina Wasilah Bin Al-Asqa’ Radhiallah anhu
18. Saidina Aus As-Saqafi Radhiallah anhu
19. Saidina Busr Bin Jihash Radhiallah anhu
20. Saidina Miqdam Bin Ma’diyakrib Radhiallah anhu
21. Saidina Lujaj Al-‘Amiri Radhiallah anhu
22. Saidina Mu’awiyah Bin Abi Sufyan Radhiallah anhu
23. Saidina Yazid Bin Abu Sufyan Radhiallah anhu
24. Saidina Saad Bin Ubadah Radhiallah anhu
25. Saidina Sahal Bin Hanzaliah Al-Ansari Radhiallah anhu
26. Saidina Wahshi Bin Harb Radhiallah anhu
27. Saidina ‘Irbad Bin Sariah Radhiallah anhu
28. Saidina Amr Bin ‘Abasah As-Salmi Radhiallah anhu
29. Saidina Abdullah Bin Busr Al-Mazini Radhiallah anhu
30. Saidina Safinah (Khadam Rasul) Radhiallah anhu
31. Saidina Syurahbil Bin Simt ((السمط Radhiallah anhu
32. Saidina Abu Marsad Al-Ghanawi Radhiallah anhu
33. Saidina Mutallib Bin Rabi’ah Radhiallah anhu
34. Saidina Saad Bin Tamim Radhiallah anhu
35. Saidina ‘Alqamah Bin ‘Ulasah Radhiallah anhu
36. Saidina Salamah Bin Nufail Radhiallah anhu
37. Saidina Shaddad Bin Syurahbil Radhiallah anhu
38. Saidina Syrahbil Bin Aus Radhiallah anhu
39. Saidina Abdur Rahman Bin Abi Umairah Radhiallah anhu
40. Saidina Mudrik Bin Ziyad Radhiallah anhu
41. Saidina ‘Ala Bin Wahab Radhiallah anhu
42. Saidina Abdullah Bin Sufyan Radhiallah anhu

Kepada Sesiapa yang mendoakan kesejahteraan saya sempena hari lahir saya dan ketika yang lain, saya juga berdoa aga segela urusan anda dipermudahkan Allah.

Wednesday, February 06, 2008

NAK JAWAB TAG

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih Puteri kerana mentag saya walaupun saya ni sebenarnya cukup liat bab-bab jawab tag ni.

Azam tahun 2008/ 1429.
Saya sebenarnya banyak azam yang ingin dicapai. Tapi, yang betul-betul ingin saya laksanakan pada tahun ini ialah menjadi orang yang beristiqamah di dalam setiap amalan, memperbanyakkan kebaikan dan lebih rajin.

Kenangan pahit tak boleh lupa di tahun 2007.
Ada, Tapi biar pahit ini saya seorang sahaja yang tahu. Minta maaf banyak-banyak kerana saya tak mampu cerita kepada anda semua.

Pengajaran dari tahun 2007.
Dalam keadaan sebagai pelajar ni, jangan sibuk nak buat benda lain. Lebih-lebih yang akan menggangu perhatian kepada pelajaran.

Pencapaian paling bermakna pada 2007.
Selepas beberapa kali menemui kegagalan pada tahun lepas, saya akihirnya dah belajar beberapa hikmah di sebalik kegagalan tersebut. mungkin ada lagi beberapa pencapaian lain, tapi yang paling bermakna bagi saya yang ini lah.

Kalau ada gambar menarik sila buboh paparkan kat di sini.


(gambar Atas: dengan seorang sahabat dari Syria. Bawah: dengan guru, Syeikh Fahmi Zam Zam)

Sebarkan virus kepada 8 orang rakan. (tapi saya tambah dua jadi 10)

Saya nak sebarkan virus ini kepada blogger dari Syria.

01- Bayu Senja

02- Adik

03- Cermin Diri

04- Bang Gugar

05- Uda

06- Kurma

07- Keramat

08- Achik

09- Nifie

10- Mizi

Hari ni, hari jadi saya. Tolong doakan kebaikan saya.

Thursday, January 24, 2008

AKHIRNYA ALLAH MAKBULKAN DOA MEREKA

Bismillahirrahmanirrahim
Kata orang hujan itu rahmat. Kami rasa hujan salji juga rahmat. Sejak 2004 lagi rahmat ini dinanti. Kelmarin ia turun. Kelmarin Allah makbulkan doa dan penantian mereka supaya Damascus dihujani salji.
Dan kami ini yang bertamu di sini hanya tumpang seronok dari rahmat ini.

Kalau tahun-tahun lalu kami perlu ke tempat tertentu untuk bermain salji. tapi, tahun ini tak perlu lagi.

Gambar di bawah ialah sebahagian dari koleksi kami dalam memeriahkan suasana main salji dalam rumah kami. Ingat! di dalam rumah, bukan di luar.












Dan hari ini kami tidur di dalam kesejukan yang amat kuat. sejuk sangatttttt....

Monday, January 14, 2008

JALAN-JALAN KE BOSRA


Bismillahirrahmanirrahim.
Awas! Entri ini terlalu panjang.

Tiga hari yang lalu saya buat yang kesekian kalinya telah berjaya menjejakkan kaki di tanah Bosra, Sebuah kesan bandar Rom lama yang menjadi tumpuan setiap pengunjung yang datang ke Syria.

Kami memulakan perjalanan sejauh 110 km pada jam 7.30 pagi dari Damsyik. Destinasi pertama yang dirancang ialah Kesan Peninggalan Rom di sekitar Bosra iaitu sebuah perkampungan di Negeri Dara’a.

Sekitar jam 9.30 pagi kami tiba di sana dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk bersarapan.

Sebenarnya di Bosra terdapat banyak kesan Sejarah yang boleh dikunjungi, tetapi memandangkan masa tidak mencukupi kami hanya merancang untuk ke beberapa tempat yang kami rasakan agak penting. Tempat beribadat (gereja) Rahib Buhaira adalah destinasi pertama menjadi sasaran kami. Siapa Rahib Buhara? Beliau adalah seorang paderi yang bertemu dengan Baginda Rasulullah ketika Baginda datang bersama Abu Talib (bapa Saudara baginda) ke Syam untuk Berniaga (Syam ketika itu adalah gabungan 4 negara iaitu Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin). Ketika itu Baginda masih kecil dan Buhaira mengenali Baginda dengan melihat tanda-tanda kenabian iaitu awan yang melindungi nabi dari sinaran matahari. Buhaira ketika itu meminta supaya Abu Talib membawa baginda pulang kerana takutkan musuh akan menyakiti Rasul.
Antara laluan


Sekitar Kota lama Rom
Pintu ini juga ada sejarah tersendiri
Gereja Buhaira
Di dalam Gereja
Kediaman Buhaira

Seterusnya kami ke Masjid Mabrak An-Nakah. Jarak antara masjid ini dan gereja tadi hanya sekita 200 meter. Masjid ini dapat saya simpulkan mempunya empat kelebihannya:
1. Mempunyai kesan unta yang ditunggangi oleh Nabi Muhammad ketika Baginda datang ke Syam.
2. Rasul pernah bersolat di sini (mungkin Sembahyang ikut kaedah rasul sebelumnya kerana ketika ini Baginda masih belum diangkat menjadi Rasul).
3. Al-Quran pertama diletakkan disini untuk seketika sebelum dibawa ke Damascus.
4. Tempat Membesarnya seorang tokoh ilmuan terkenal Ibn Hajar.

Pintu masuk yang kecil

Kesan Unta Rasul

Pintu Kecil (mungkin Tingkap) untuk ke bilik Ibn Hajar


Ruang kesan unta tadi

Kemudian kami ke satu Banggunan Teater yang dibina sekitar 512-513 M oleh pemerintahan Rom. Rasa saya Banggunan Teater ini satu-satunya banggunan yang masih tidak rosak berbanding banggunan sekitarnya yang seakan-akan longgokan dan susunan batu-batu buruk. Banggunan Teater ini disusun dengan batu-batu satu mester persegi tanpa mengunakan sebarang pelekat. Ketika era Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, kubu ini diambil alih oleh kerajaan beliau di tangan adik Sultan sendiri iaitu Najmuddin. Kemudian beliau membaik pulih banggunan ini untuk dijadkani kubu tentera islam ketika itu. Kubu ini dilengkapi dengan dewan pementasan, Muzium, bilik air, bilik-bilik-bilik khas, tempat hukuman, dan lubang-lubang kecil sekitar kubu untuk diletakkan pemanah-pemanah.




Aziz sahabat yang turut serta.

Destinasi seterusnya ialah makam Rasulullah Ayyub alaihissalam. Perjalanan dari Bosra ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit. Kemudian kami berehat di situ dan bersembahyang Zuhur dan Asar secara jamak.

Makam Nabi Ayob

Perjalanan kami teruskan ke Makam Sahabat Rasulullah Saad bin Ubadah r.a. (ketua kepada kaum Khazraj ketika hidupnya. Dan beliau meninggal tahun 14 Hijrah). Sebenarnya kubur beliau di Syria ada dua satu di sini dan satu lagi di Damascus yang mana satu benar Allah lebih mengetahui.

Makam Abu Ubadah r.a

Kolam Nabi Ayub(bawah dan atas)

Berdekatan dengan Makam sahabat yang mulia itu terdapat satu kolam yang dipercayai kolam Nabi Ayub ketika ingin hilangkan penyakit yang menimpa baginda.kemudian baginda disuruh untuk menggunakan air kolam itu untuk membersihkan tubuh baginda (cerita ini juga diragui kebenarannya).

Makam Imam Nawawi ialah tempat tujuan kami yang terakhir. Ia terletak di perkampungan Nawa, tempat kelahiran beliau. Imam Nawawi ialah seorang tokoh ilmuan yang cukup terkenal. Beliau meninggal dunia ketika berusia lebih kurang 40 tahun. dikatakan kerana kesibukan beliau dengan ilmu sehingga tidak sempat berkahwin. Antara kitab karangan beliau ialah al-Azkar , Riadu as-Solihin dan Sharah Sohih Muslim.

Makam Imam Nawawi dibina sekitarnya tembok batu supaya menghalang sebahagian orang yang melakukan perkara bidah di kubur itu. Di tengah-tengah pusara ini tumbuhnya satu pokok besar yang tidak mempunyai daun.

Pernah diceritakan bahawa ada dua orang sahabat telah datang ke kubur Imam. Salah seorang dari mereka berdua lumpuh. Mereka berdoa supaya Allah menyembuhkan penyakitnya. Malam itu di dalam tidur orang yang berdoa itu nampak seorang lelaki datang mengubati kaki kawannya. Setelah terjaga dari tidur kaki kawannya benar-benar sembuh. Cerita ini tercatat di dinding tembok Pusara Imam.

Kubur beliau

Tuesday, January 08, 2008

KALAU ANDA DIJAMU, MAHU MAKAN TAK?

Bismillahirrahmanirrahim.




Selamat Tahun Baru Hijrah. Saya doakan azam anda semua akan tercapai. Pastikan diri kita menjadi lebih dekat dengan Allahberbanding tahun lalu.

Thursday, January 03, 2008

PERPISAHAN, PERTEMUAN DAN KETENTUAN ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim

Bulan lepas seorang sahabat saya terpaksa pulang ke Malaysia selepas pasport beliau telah dihilangkan oleh pegawai imigresen. Sedih betul hati ini, tidak tahu saya kenapa hati saya kerap tersentuh dan air di mata ini terlalu mudah untuk mengalir.

Walaupun saya dan dia mula bersahabat tidak terlalu lama, hanya lebih kurang setengah tahun yang lalu. Saya amat senang dengan sikap beliau yang tak banyak karenah, mudah dibawa berbincang dan amat memahami.

Hari ini kami perlu terima suratan bahawa perpisahan terkadang bersifat luar jangkaan. Siapa sangka yang benda begini akan berlaku. Nak minta pegawai Imigresen itu bertanggungjawab, jangan haraplah. Silap-silap kita juga akan dipersalahkan.

Dia juga terpaksa berhenti belajar kerana terpaksa pulang. ya lah, nak datang semula ke sini sekurang-kurangnya dua tahun kena berkurung dalam Malaysia (kerana jika pasport hilang begitu prosudernya, itu yang saya tahu) . tambahan pula tiket kapalterbang amatlah mahal.

Entah kenapa walaupun perpisahan ini hanya sementara, sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun nanti kami masih boleh bertemu, hati saya amat mudah tersentuh.

Di sini saya hanya boleh berdoa agar beliau teruskan pengajian tak kira di mana sahaja berada dan janganlah berputus asa biar agak berat dugaan ini melanda. Ini doa saya. aamin ya rabbi.

Noktah.


Asalnya memang kami bercadang nak pindah. seperti janggkaan saya kami tak jadi pindah dan masih menetap di rumah yang lama. jadi, kepada Saudari Hazwani, tekaan anda salah. he he.
Mudah-mudahan belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru. Mudah-mudahan kita akan menjadi lebih dekat dengan Pencipta berbanding tahun-tahun lalu.

Thursday, December 27, 2007

RAYA KORBAN, TERBAKAR DAN PINDAH

Bismillahirrahmanirrahim.

salam sejahtera sahabat-sahabat sekelian. rindu benar rasanya. ya lah, dah berapa bulan tak kemaskini lansung blog ini. minta maaf bebanyak. ok saya akan cuba untuk kemaskini seupaya mungkin mula detik ni.
Sebelum itu saya nak ucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung yang secara sengaja datang untuk berkunjung atau kot-kot termasuk ke teratak Hakim Dirani ini.

Masih ingat saya ketika mula-mula saya berjinak dengan dunia blog ini, masa itu jumla blogger dari syria saya ingat seorang atau dua begitulah. itu yang saya tahu. hari ini blogger dari Syria dah banyak dan ramai macam cendawan tumbuh lepas hujan. seronok betul saya.

Saya dengan pindah rumah ni macam dah jadi adik beradik la pulak. bulan ini bakal nak pindah ke satu rumah baru yang berdekatan sahaja dengan rumah yang saya tinggal sekarang ini. pastu kami angkatlah barang ke rumah baru tu. saya punyabarang kira 50% tu dah angkat la. baju, pc dan berapa barang lagi. Kita merancang tuhan juga merancang. Nak dijadikan cerita rumah yang bakal kami duduki itu terbakar. Rasanya bukan kami yang akan pindah lepas ni, tapi kawan tu yang pindah mai ke rumah kami. Dah terbalik daaa.

Barang saya yang rosak monitor dan pakaian kena selut dari air bomba. sekarang kawan-kawan saya masih belum dibenarkan ambil barang mereka. Sehelai sepinggang kami.

Gambar sekitar Raya Korban baru-baru ini.


Tok, mak ngan abah.
Dengan Kawan-kawan ke rumah Pak Su, Pegawai Kedutaan

Dengan Humaidi


Ziarah rumah orang


Shahreeza sahabat yang akan ke Jordan sambung belajar
(berpisahlah ngan seorang sahabat)


Di makam seorang Sahabat Rasulullah Muawiyah bin Abi Sufyan. Tengok makam beliau buat hati kita tersentuh. macam sampah dilontarkan. pernah ditulis cercaan di kuburnya. itu sebab di pagai besi takut pelampau rosakkan kuburnya.

Dalam kubur beliau, tak terurus


Bersama Rakan Sekelas di MTID.

Thursday, July 26, 2007

DALAM BERJUANG

Rabu depan imtihan (periksa) baru habis.

Sekarang ini saya sekadar jenguk di blog kawan-kawan, tapi tak sempat tinggalkan perkataan. tak sabar pula rasanya..

Jangan lupakan saya ya!

Pakteh saya, Mukhtar bin Abdul Rahman telah kembali ke pangkuan Allah. Sama-samalah kita berdoa agar roh beliau dicucuri rahmat Allah.

Al-fatihah.

Sunday, May 13, 2007

SALAM HARI IBU. SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR UNTUK AYAH

Salam hari ibu untuk Mak saya. Saya doakan Mak umur panjang dan sentiasa dirahmati oleh Allah.

Tapi saya tak ada sajak atau lagu nak tulis di sini. macam mana ni?

Selamat Menyambut hari lahir untuk Ayah Saya Haji Mohammad Redzuan Bin Mohamad pada 10-05- baru -baru ni.

Tolong doakan saya lulus imtihan ya.

Saturday, May 05, 2007

PINDAH RUMAH

Bulan lepas, Hakim Dirani telah mencatat satu rekod kecil, iaitu tinggal dalam satu bulan sebanyak tiga rumah. Rekod ini saya doakan biarlah kami sahaja yang buat, orang lain jangan. Seksa!.

Bila difikirkan kembali sebenarnya ini hanyalah sedikit cabaran untuk penuntut ilmu seperti saya. Dalam makna yang lain kalau ujian banyak ini pun tak tertanggung macam mana nak menghadapi yang lebih berat lagi. Saya cuba lihat macam mana orang-orang dahulu menuntut ilmu, berganda lebih susah dari apa yang kita jangka.

Alhamdulillah saya syukur sekarang masalah ini sudah tiada. Nampak gayanya selepas ini saya boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk mengulang kaji pelajaran, memandangkan peperiksaan yang dah dekat ini.

Bagi saya juga, di mana juga kita belajar tentu ada susah senangnya. Mungkin di Syria begini masalahnya. Di tempat lain berbeza pula ujiannya. Yang pasti, dalam belajar perlu banyak bersabar. Itu yang terpenting.

Mohammad kawan saya ada beritahu ketika saya baru sampai di Syria “kalau tinggal di Syria wajib pindah rumah tiga kali” Nampak gayanya betullah tu apa yang dia katakan. Rumah yang saya tinggal sekarang ini sudah rumah yang keempat.

Habis cerita.

SAKIT MATA

Kepada sesiapa yang ingin datang ziarah atau belajar di sini saya beri peringatan atau nasihat kepada anda. Supaya sesiapa yang nak datang sini dapat membuat persediaan yang secukupnya. Persediaan Iman.

Sekarang ini musim panas dah bermula. Kerana sekarang musim panas, sebahagian gadis-gadis di sini sudah mula memakai pakaian yang agak keterlaluan kalau nak di nisbah dengan pakaian yang di benarkan oleh syariah. Sehinggakan ada seorang teman cakap musim panas ialah musim peraga fesyen atau peraga tubuh. Itu cakap seorang teman.

Tak cukup dengan pakaian yang ketat, ditambah dengan memperlihat sebahagian dari tubuh memang memeningkan kami yang ternampak. Itulah sebabnya saya minta sesiapa yang nak datang sini buat persediaan. Macam mana nak buat itu fikir sendiri, saya tak tahu.

Saya rasa masalah ini setiap negara ada, termasuk Malaysia sendiri. Jadi saya ceritakan ini sebenarnya bukan untuk pengetahuan sebenarnya, walaupun ada sedikit nak beritahu, tetapi untuk nak kurangkan sakit kepala saya dalam menghadapi masalah ini. Mudah-mudahan dengan sedikit saya ceritakan kepada anda, saya akan rasa masalah ini sedikit berkurang.

Friday, April 27, 2007

SOLEH


Baru-baru ini soleh kemalangan, terkejut betul saya. Mana tidaknya, kawan yang paling rapat dengan saya sedang dalam ujian. Dengar cerita sehingga patah paha. Saya doakan agar dia cepat sembuh.

Sekarang Soleh sudah balik rumah selepas seminggu di Hospital Seberang Jaya. sekarang masih di rumah. Alhamdulillah, dia selamat. Mak saya cakap dia dah nak sembuh. Nanti bolehlah dia teruskan persekolahannya. insya-Allah.


Anda semua, tolong doakan sama ya!

Saturday, April 21, 2007

TAG LAGI. (VERSI BUANG SAWANG)

Segak tak rupa Burok?
Pc saya nama "Burok"
Saya tak lanjutkan tag ini kepada sesiapa kerana saya pon dah tak tau sapa lagi yang tak kena.

Tuesday, April 10, 2007

ORANG NORMAL KENA TAG

Secara jujurnya saya ini seorang yang normal. Boleh dikatakan langsung tak ada keanehan pada diri saya. Sejak kena tag dengan baru-baru ini, saya mula mencari apa yang aneh, apa yang pelik yang ada pada diri.

Hanya ini yang saya jumpa,

1. Tulisan saya sangat hudoh berbanding orang lain. Sebenarnya saya juga tak perasan yang tulisan saya sangat teruk. Tetapi, setelah dinilai oleh beberapa orang kenalan dan guru, saya kena juga menerima hakikat yang tulisan saya agak teruk sehinggakan orang tak faham apa yang saya tulis. Yang lebih memeningkan saya juga terkadang tak jelas apa yang saya tulis. Celaru, celaru.


2. Jangan sekali-kali saya nyatakan yang saya ini hebat berbanding orang lain. Jika saya nyatakan yang saya lebih dari seseorang dari satu sudut, biasanya kelebihan itu Allah akan tarik dari saya serta merta. Sebagai contoh, saya minat bermain catur. Ramai kawan cakap saya ini pandai main catur. Itu tak jadi masalah. Katakanlah saya cakap saya ni memang pandai main, maka dengan serta merta perlawanan selepas ini saya akan kalah. Tak tahu kenapa. Hakikatnya ini kerja Allah. Satu lagi pengalaman di sekolah dahulu, saya cakap kepada seorang kawan yang di timpa demam yang saya ini hebat, jarang sekali terkena demam. Selepas beberapa hari terus saya di timpa demam yang agak kuat. Saya syukur Allah terus peringatkan saya.


3. Biasanya jika saya membuat suatu tekaan ia akan salah. Saya ingat ini kebetulan. Tetapi bila 20 kali tekaan, dua atau tiga kali sahaja yang betul saya rasa ini memang aneh. Sehinggakan jika nak buat satu tekaan saya akan pilih yang bukan pilihan.


4. Saya adalah pelajar agama dari kecil, dari baru nak tumbuh gigi. Tapi sayang sehingga hari ini kelihatan segala ilmu yang saya belajar sangat sedikit saya laksanankan dalam kehidupan. Sungguh mengecewakan.


5. Kawan-kawan terkadang menegur saya apabila melihat saya senyum sendiri. Tak ada apa yang lawak pun ketika itu. Ya, ini juga satu keanehan yang ada pada saya sebenarnya. Saya senyum kerana ada peristiwa-peristiwa lawak atau lucu yang singgah di benak ketika itu. Itu sebab saya senyum.


6. Saya sebenarnya agak tidak betah dengan perempuan (bukan mahram) yang saya kenali. Mungkin saya tak diajar bergaul dan bersembang dengan perempuan dari kecil lagi, sekarang saya agak kurang selesa kalau muamalat dengan sebahagian perempuan dengan lama.
Sebahagian manusia yang kurang mengenali diri saya akan nampak seperti biasa sahaja kelakuan saya yang aneh ini. Biasanya yang memerhati sahaja yang akan terperasan.
Anda jangan sangka saya segan bergaul hanya dengan perempuan yang memakai pakaian yang menjolok mata. Sebenarnya saya lebih segan dengan orang yang pakai pakaian yang tutup seluruh badan kecuali mata.

Saya minta maaf kerana lambat nak kemaskini blog ini. hari baru sempat buang sawang. puas hati rasanya. Sebenarnya sibuk pindah rumah, itu sebab tak sempat kemaskini. Ini alasan.

Friday, March 02, 2007

SUPAYA MENJADI TAULADAN

Suatu ketika,
Seseorang sedang bertanya kepada ustaz tentang suatu perkara. Ustaz menjawab. Kelihatan jawapan yang diberikan kurang memuaskan hatinya. Ditanya soalan tambahan yang berbentuk susulan dari soalan tadi. Nampaknya soalan susulan ini juga tidak memberi keselesaan kepadanya. Melihat dari raut wajahnya, kelihatan dia dalam keadaan yang resah. Entah mengapa. Kali ini dia bertekad ingin mengajukan soalan yang akan memperoleh jawapan yang diingini.

Dia hampa, jawapan yang ustaz berikan semuanya ironi belaka. Dia marah betul dengan Ustaz di masjid tadi. Dia hairan, mana mungkin tiada langsung pendapat ulama walaupun (pendapat) lemah yang memihak kepadanya. Satu lagi, mungkin ustaz itu memang tak sukakan peribadinya, maka ustaz cari jawapan yang tak diingini.

"Aku kena lancar juga projek ini. Biarkan apa orang akan kata. Aku tak peduli. Yang aku tahu, aku akan kaya dengan kejayaan projek ini." Sambungnya lagi "Aku tahu, orang akan bising tentang projek ini. Bertentang dengan agamalah, itulah, inilah. Tapi yang lebih penting aku tahu yang orang akan bising sekejap sahaja. Nanti, selepas berapa detik senyap kembali. Jadi ia tak akan memberi kesan yang besar kepada aku." Ujarnya dengan bangga.

Ketika beberapa orang kenalannya bertanya adakah dia membuat rujukan dahulu sebelum dia laksanakan projeknya. Dia dengan selamba menjawab "Ustaz tu, semuanya tak boleh. Itu haram, ini haram. Sampai aku tak tahu apa yang boleh bagi dia. Aku nak jual barang ini bukan untuk orang islam, tak mungkin itu juga haram" Ujarnya dengan begitu geram.

Untuk memendekkan cerita akhirnya ustaz itu dipecat daripada masjid. Dia begitu gembira. Puas hatinya. Bermacam perancangan dia usahakan untuk melihat kejatuhan ustaz itu. Bagaimana dia lakukan tak dapat di ceritakan kerana ia akan memanjangkan cerita ini.
Cerita habis.

Saya cuma bayangkan ini satu pengorbanan yang akan ahli agama hadapi. Ini bukan perkara kecil bagi saya memandangkan saya yang mendalami bidang syariah. Ini salah satu contoh yang sedang saya fikir di samping banyak lagi isu-isu yang akan dihadapi oleh para guru agama ekoran ummah hari ini mula menjauhkan diri dari landasan yang benar.

Kalau tak salah saya, kes-kes sebegini ada juga berlaku di sebahagian tempat. Tetapi tak pasti pula di mana. Jadi saya buatkan satu cerita yang umum supaya siapa yang makan akar seronton dialah yang rasa pahit.

Apa yang paling saya risau, contoh yang saya bayangkan di atas menimpa saya sendiri.
Wali’yazubillah.

KENAPA IBU

Jika orang bertanya kepada saya, siapa yang paling banyak berkorban? yang saya tahu ialah ibu dan ayah. Ini jawapan saya. Mungkin keadaan saya, persekitaran saya mengajar begitu. Anda pula bagaimana? Jika dari kecil tidak biasa dengan belaian dua ibu bapa, rasanya susah untuk sependapat dengan saya. Mungkin guru, nenek dan sebagainya.

Jika orang bertanya kepada saya, siapa manusia yang paling tak guna? Saya jawab seorang anak yang mendapat sepenuh kasih sayang dari dua ibu bapanya, tiba-tiba menjadi seorang anak yang derhaka kepada mereka. Anda pula bagaimana?

Dahulu, ketika saya masih di Malaysia, saya pernah mendengar cerita tentang anak durjana yang sanggup mencederakan kedua ibu bapanya. Ya, saya mengetahui cerita-cerita begini ketika terbaca surat khabar atau mendengar kaset ceramah dari guru-guru agama, atau dari kaca televisyen. Anda pula bagai mana?

Kalau nak cerita, memang terlalu banyak hadis-hadis dan ayat al-Quran yang mencerita sekaligus menyuruh supaya menyayangi ibu dan ayah. Cerita seorang sahabat Rasulullah yang tidak dapat menghembuskan nafas terakhir kerana pernah melukakan hati ibu. Bagi saya kisah yang cukup menginsafkan ini terlalu susah untuk dilupakan. Anda pula bagaimana?

Oh, tidak! Bukan sekadar di TIVI, kaset dan surat khabar sahaja saya dapat tahu cerita sebegini. Ada satu kisah benar yang berlaku. Bukan pada saya. Tetapi berlaku pada salah seorang sahabat ibu saya.

Tentang kasih ibu,
Mak cik A sudah kematian suaminya. Maka segala tanggungjawab menjaga, menyara dan membiayai anak-anak terletak atas bahunya. Nasib baik arwah suaminya ada meninggalkan sedikit harta, ringanlah sedikit bebanan untuk membeli peralatan sekolah, membayar bil api dan sebagainya.
Kerana memikirkan masa depan, dia membuat pelbagai kerja untuk menampung kehidupan harian. Menjual kuih dan sebagainya. Saya masih ingat, ketika kami sekeluarga menziarahinya, dia menjamu kami dengan kuih-kuih jualannya itu.

Saya pasti mak cik A tak pernah terfikir salah seorang daripada anaknya yang dia tatang bagai minyak yang penuh itu akan melukakan hatinya. Tetapi saya tak pasti sama ada mak cik A sanggup menendang anaknya semasa kecil walau dia tahu anaknya akan mencederakan hatinya sekaligus jasad tuanya.

Alhamdulillah, Allah menjodohkan mak cik A dengan seorang lelaki yang menjadi suaminya sekarang. Ketika ini saya masih tak mendengar apa-apa berita tentangnya.

Satu hari mak cik A datang tempat saya menolong ayah dan ibu saya berniaga. Emak pergi berjumpa dengan mak cik A. Selepas mak cik A pulang, barulah saya dapat tahu segala-galanya. Mak cik A baru lepas dicederakan oleh anaknya. Sebabnya mudah sahaja, anak yang menganggur itu mahu wang. Dia itu menuntut semua harta peninggalan arwah ayah yang masih berbaki. Mana mungkin mak cik A akan memberi. Anaknya yang sedang belajar juga ada. Kalau diberi kepada anaknya yang seorang ini, akan susah baki anak-anaknya.

"Memang dasar kacang melupakan kulit" ada patut dia menuduh bapa tirinya itu akan membolot segala harta peninggalan itu. Jadi, kerana tak mahu ibunya terhasut dengan ayah tirinya jadi dia mahukan harta itu.

Emak cerita lagi, teruk juga luka badan mak cik A. Selepas kena pukul, anaknya tak keluar dari rumah itu. Mak cik A yang keluar cari rumah sewa baru. Terbalik pula. Saya fikir juga, kenapa sampai begitu sekali tindakannya.

Yang lebih menyedihkan, mak cik A sentiasa mengambil tahu tentang makan minum anaknya. Biarlah dia dipukul, tapi jangan anak sakit kelaparan. Dia tetap pergi menjenguk walaupun dari kejauhan atau dari anaknya yang lain. Biarlah dia yang cedera, tetapi jangan anaknya yang tercedera. Itulah kasih ibu, sudahlah anaknya itu tak langsung membalas jasanya malah mencederakannya pula.

Baru-baru ini, emak beritahu yang anaknya yang seorang itu sudah dapat pekerjaan. Tetapi saya tak pasti pula dia sudah taubat nasuha dan minta maaf kepada ibunya.
Saya sudah berdoa kepada Allah supaya dia taubat dan menjadi anak yang soleh. Anda pula bagaimana?

Wednesday, February 28, 2007

HUJAN DAN DIRI

“Alamak, tak sangka kena redah hujan pula hari ini.” Oleh kerana ketika ini penghujung musim sejuk, di tambah dengan cuaca yang begitu cerah ketika pagi, saya langsung tidak menjangka yang hujan akan turun. Seperti lagu itu .....hujan di tengah hari.

Jika hujan turun, selepas dua atau tiga hari selepasnya adalah hari-hari tersejuk di dalam musim yang sedia sejuk ini. Rasanya semua negeri yang mempunyai empat musim seperti di sini, selepas hujan ialah antara waktu yang tersejuk.

Sengaja saya redah hujan sejuk ini hanya kerana satu alasan, seronok. Sebenarnya boleh sahaja saya tunggu sehingga reda sedikit kemudian baru saya redah. Tetapi alang-alang dah teringin nak bermesra dengan hujan saya redah juga.

Biasanya selepas bermain dengan hujan, tambahan pula yang sejuk kita akan diserang Demam atau selesema. Inilah kebiasaan yang saya tahu. Kalau anda semua tak terjadi kebiasaan ini, tak tahulah saya.

Sebenarnya saya bukan mahu cerita tentang hujan di sini. Saya ingin cerita tentang keadaan saya. Cuma saya ingin mengaitkan cerita hujan tadi dengan keadaan sekarang ini.

Masuk Cerita.
Seperti kawan-kawan yang lain, saya datang ke bumi barakah ini untuk belajar, untuk menuntut ilmu, dan lain-lain lagi yang seerti dengannya. Sungguh! hanya untuk itu. Memang semua orang akan berpesan seperti ini sebelum saya datang sehingga selepas saya menjejakkan kaki di sini.

Pada detik-detik awal proses pembelajaran ini nampak berjalan lancar. Walaupun tak serajin dan tak sebanyak kawan-kawan yang lain(pengajian tadah kitab), tetapi sesi pengajian yang saya sertai memberi semangat untuk terus belajar, terus belajar dan terus belajar.

Ini bererti, walaupun tidak sebanyak kawan-kawan, tetapi segala persediaan dapat dibuat, natijahnya segala isi yang guru berikan akan terus masuk ke otak, tanpa melencong ke mana-mana.

Tetapi, selepas setahun yang mula itu, saya mula berjinak-jinak dengan persatuan pelajar. Saya terpilih dalam Pilihan Raya sebagai Exco Lembaga Eksekutif. Maka, secara tidak langsung ia memberi kesan walau tidak banyak kepada proses pembelajaran saya. Yang menjadi masalahnya, kesan yang baik atau sebaliknya.

Kata sebahagian orang, aktif dalam persatuan pelajar akan membantu pembelajaran sebenarnya. Malah ia sebenarnya belajar juga. Belajar cara memimpin, belajar cara bermasyarakat dan macam-macam lagi jenis belajar yang diterangkan kepada saya. Apa yang saya nampak ketika itu, perkara ini memang memerlukan pengorbanan dari saya.

Seperti meletakkan garam di luka yang parah, saya menyertai pula sebagai pembantu editor di jurnal Itqan (jurnal persatuan Pelajar Malaysia Syria) walaupun masih belum pandai menulis, tetapi belajar. Bukankah ini juga perlukan masa dan pengorbanan dari saya?.

Luka yang dah parah kemudian saya jatuhkan pula tangga di atasnya. Inilah keadaan saya. Pantang ada sebarang tawaran dan jawatan pasti saya sebat. Ini bukan bererti saya gila pangkat, tetapi saya melihat kebaikan di sebaliknya. Contohnya menghidupkan semula Ikatan Pelajar Pulau Pinang Syria dan sebagainya.

Anda mesti hairan, kenapa kalau sudah tahu membebankan kenapa mesti terima semua jawatan itu?

Jawapannya mudah sahaja, seperti yang kedua ibu bapa saya ajarkan sebelum ini, supaya tidak menghampakan harapan orang lain, maka segala permintaan yang saya terima semua saya setuju. Ataupun, saya ini lilin yang mencederakan diri sendiri untuk kebaikan orang lain.

(Alamak!, saya kelihatan begitu baik pula)

Seperti hujan, saya boleh sahaja tak menerima segala jawatan itu. Tetapi kerana saya seronok, maka segala-galanya saya terima.

Seperti hujan juga, saya tahu ia akan menyebabkan saya selesema dan demam. Tapi bagi saya tak semua orang akan sakit jika selepas balik terus mandi dan sebagainya.

Bagi saya dua atau tiga hari selepas hujan adalah hari yang tersejuk adalah sesuatu yang perlu diterima, mana boleh lari-lari. Yang perlu saya lakukan ialah menyediakan apa-apa yang patut seperti pemanas dan sebagainya. Anda nampak maksud saya kan?

Sebenarnya, segala yang saya terima ini (jawatan di atas) memberikan implikasi walaupun tidak dinafikan kebaikannya. Contohnya, terpaksa meninggalkan sebahagian pengajian, waktu untuk berehat kurang dan sebagainya.

Bila difikirkan kembali benar pula kata Abdul Muin sahabat saya yang seorang itu,
“Saya ini pelajar ZALIM” Kerana sepatutnya saya hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Tetapi aktiviti terpaksa saya kurangkan untuk aktiviti yang lain. Zalim bermaksud Saya tak menjalankan tanggungjawab saya yang utama sebagai pelajar sepenuhnya.

Saya nak minta tunjuk ajar dari anda semua berkenaan masalah saya ini. Perlukah saya terus bergiat dalam kokurikulum sehingga pelajaran yang lebih penting itu sedikit terganggu.
emelkan sahaja jika ianya panjang.
Terima kasih.

Sunday, February 25, 2007

TENTANG TUNTUT

Suatu hari ketika sedang menyusun buku.

"Aku rasa aku ni bukan thalib i'lim (pelajar ilmu)" ujar Abdul Muin. Sedang mengulangkaji.

"Kalau bukan, pelajar apa?" Tanya saya. ketika ini saya tak begitu ambil perhatian tentang kenyataan dia.

"Aku rasa aku ni pelajar ZALIM" Abdul Muin.

Ketika itu, saya betul-betul tersentak.

Betulkah?

Astaghfirullah....

Tuesday, February 20, 2007

SEORANG PENCURI YANG PERNAH KUKENAL

Sememangnya dia ialah pencuri yang mantap, kenyataan ini diakui oleh semua, kawan mahupun lawan. Jika dipandang pada luarannya, dia seperti seorang remaja yang lemah lembut, periang dan berbudi bahasa. Tetapi, di dalamnya siapa yang tahu apa yang difikirkan. Apa yang dirancang hanya dia sahaja yang tahu.

Kerana kehebatannya ini dia menjadi topik utama perbincangan ahli qariah setiap kali dia berjaya menjalankan tugasnya, mencuri. Apabila difikirkan kembali, bagus juga. Ketika ini barulah orang kampung akan lebih berhati-hati daripada kebiasaannya. Kalau dahulu, duit disimpan di tempat yang ala kadar sahaja, sekarang sudah pasti mereka akan lebih berhati-hati. Itu satu kebaikan daripada banyak keburukan yang ditanggung oleh orang kampung.

Tetapi masalah dan keburukan yang menimpa berganda lebih banyak daripada baiknya. Harta saya sahaja sudah berapa kali menjadi darah dagingnya. Nak kata simpan di tempat yang kurang selamat, memang sudah cukup selamat. Ya lah, memang tak sampai hingga ke dalam peti besi (setebal tiga cm), tapi sudah boleh di kira sebagai tempat yang agak munasabah. Kiranya, kalau barang saya itu hilang, memang orang itu nak mencuri, bukan salah ambil atau sebagainya.

Walaupun dia seorang pencuri yang handal, tetapi dia masih kurang satu teknik utama dalam mencuri, iaitu mengelak diri daripada tuduhan. Hampir setiap kecurian yang disedari kehilangannya, orang akan memanggilnya untuk sesi perbicaraan. Dan hampir setiap kali dipanggil itulah dia akan mengakuinya. Pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’ adalah tidak secocok dengannya kerana, setiap kali lompat dia akan jatuh.

Dalam salah satu siasatan yang dijalankan ke atasnya, kami dapat tahu bahawa hanya satu rumah sahaja yang masih belum dicerobohinya. Saya tak pasti pula rumah siapa. Yang pasti rumah yang satu itu bukan bilik saya. Kerana bilik saya sudah dua kali menjadi sasaranya.

Ahli qariah semuanya sudah menjadi bingung. Nak pukul, dah hampir semua tempat dah menjadi sasaran. Bagi kaunseling juga tak nampak kesannya. Nak potong tangan, risau pula dia baru berumur 14 tahun (ketika itu) dan ahli qariah pula tak ada hak. Kita di negara yang tak menjalankan hukum Allah memang susah. Kalau nak dibiarkan samalah seperti melepaskan musang menghabiskan ayam mereka. Memang ahli qariah sudah menjadi bingung.

Bila difikirkan kembali saya juga salah. Sepatutnya ketika barang saya dicuri, saya tak sepatutnya berdoa supaya dia mendapat kecelakaan (ketika itu saya telah dikawal oleh nafsu ammarah bissuk) saya seharusnya berdoa agar dia insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Yang lebih menyedihkan, selepas agak selesa dengan mencuri, dia terjerumus pula dengan kawan-kawan yang bermasalah. Lepak, buli kanak, buat aksi dengan motosikal (seperti angkat taya) dan macam-macam lagi karenah yang memeningkan kepala.
Satu ketika kami mendapat tahu yang dia memperolehi antara tempat yang terbaik di dalam peperiksaan. Ketika penyampaian hadiah semua mata pejam celik tak percaya dia mendapat tempat sebegitu. Walaupun tidak dinafikan dia seorang yang cerdik, tetapi mengikut keadaannya tak mungkin dia memperolehi keputusan sedemikian. Saya langsung tak terkejut selepas beberapa ketika dia mengaku bahawa kertas soalan itu dicurinya.

Saya tak cenderung ingin meletakkan beban ini kepada keluarga. Bukan kerana dia mempunyai seorang kakak yang sangat cantik, bukan. Sebenarnya saya kenal sangat keluarganya. Dia diberi didikan agama semenjak kecil. Di beri kasih sayang kemungkinan ia berpunca daripada pengaruh kawan-kawan (Bukankah ini ialah alasan yang selalu digunakan).

Saya tak pasti berapa rakaat ayahnya sembahyang hajat setiap malam. Saya tak tahu sudah berapa besin ayahnya mengeluarkan air mata memohon kepada Allah. Tapi, yang saya tahu ayahnya sering menangis, merayu kepada kawan-kawan agar jangan membawa dia ke arah kejahatan, kemaksiatan dan segala yang seerti dengannya.

Saya dapat rasa yang ayahnya berasa sangat malu dengan sikapnya. Masakan tidak, Mempunyai seorang anak baru menjejak 15 tahun sudah menjadi seorang yang begitu digeruni dalam dunia pencurian.

Saya tahu perasaan ayahnya pasti seperti dihiris sembilu setiap kali diberitahu orang kampung yang anaknya mencuri. Saya yang tiada langsung mempunyai pertalian darah dengannya, juga berasa sedih. Sudah pasti ayahnya berganda lebih derita dari saya. Seperti kata pepatah, seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Pernah satu malam, sekitar 1.30 pagi (kalau tak salah ingatan saya) ayahnya datang mencari beliau di masjid. Seorang kawan saya pergi bertanya kalau-kalau ada masalah yang boleh dibantu. Terus ayahnya, bercerita dan teresak-esak menangis kepada kenalan saya itu. Apa yang saya tahu bukan hanya semalam ayahnya datang, tetapi sudah beberapa kali. Apa saya buat tengah malam di dalam masjid? Saya tak akan menceritakan kebalikan saya kepada anda, kerana takut akan ditarik balik pahala.

Hari ini, setelah datang belajar di Syria, saya tidak lagi mendengar khabar dia, adakah dia masih mencuri, atau sudah insaf. Apa pun saya berdoa agar dia insaf dan kembali ke jalan yang benar (ini doa orang yang dizalimi, insya-Allah makbul). Dan segala harta saya yang dah menjadi darah daging beliau saya halalkan.

Friday, February 09, 2007

SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR

Hari ini saya bersyukur kepada Allah kerana memberi saya nikmat hidup dan memberi peluang saya menuntut ilmu.

Hari ni adalah hari lahir saya.

Mudah-mudahan tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. amin.

Friday, January 26, 2007

AZAM

Antara azam tahun baru,
55. ........
56. Nak rajin kemaskini blog.
57. .......

Tapi masih tak dapat laksanakan. Ada berapa perkara penting yang menuntut lebih segera diselesaiakan. Tak apa, sekarang saya sudah hampir bersedia untuk laksanakan azam ini.