Thursday, December 27, 2007

RAYA KORBAN, TERBAKAR DAN PINDAH

Bismillahirrahmanirrahim.

salam sejahtera sahabat-sahabat sekelian. rindu benar rasanya. ya lah, dah berapa bulan tak kemaskini lansung blog ini. minta maaf bebanyak. ok saya akan cuba untuk kemaskini seupaya mungkin mula detik ni.
Sebelum itu saya nak ucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pengunjung yang secara sengaja datang untuk berkunjung atau kot-kot termasuk ke teratak Hakim Dirani ini.

Masih ingat saya ketika mula-mula saya berjinak dengan dunia blog ini, masa itu jumla blogger dari syria saya ingat seorang atau dua begitulah. itu yang saya tahu. hari ini blogger dari Syria dah banyak dan ramai macam cendawan tumbuh lepas hujan. seronok betul saya.

Saya dengan pindah rumah ni macam dah jadi adik beradik la pulak. bulan ini bakal nak pindah ke satu rumah baru yang berdekatan sahaja dengan rumah yang saya tinggal sekarang ini. pastu kami angkatlah barang ke rumah baru tu. saya punyabarang kira 50% tu dah angkat la. baju, pc dan berapa barang lagi. Kita merancang tuhan juga merancang. Nak dijadikan cerita rumah yang bakal kami duduki itu terbakar. Rasanya bukan kami yang akan pindah lepas ni, tapi kawan tu yang pindah mai ke rumah kami. Dah terbalik daaa.

Barang saya yang rosak monitor dan pakaian kena selut dari air bomba. sekarang kawan-kawan saya masih belum dibenarkan ambil barang mereka. Sehelai sepinggang kami.

Gambar sekitar Raya Korban baru-baru ini.


Tok, mak ngan abah.
Dengan Kawan-kawan ke rumah Pak Su, Pegawai Kedutaan

Dengan Humaidi


Ziarah rumah orang


Shahreeza sahabat yang akan ke Jordan sambung belajar
(berpisahlah ngan seorang sahabat)


Di makam seorang Sahabat Rasulullah Muawiyah bin Abi Sufyan. Tengok makam beliau buat hati kita tersentuh. macam sampah dilontarkan. pernah ditulis cercaan di kuburnya. itu sebab di pagai besi takut pelampau rosakkan kuburnya.

Dalam kubur beliau, tak terurus


Bersama Rakan Sekelas di MTID.

Thursday, July 26, 2007

DALAM BERJUANG

Rabu depan imtihan (periksa) baru habis.

Sekarang ini saya sekadar jenguk di blog kawan-kawan, tapi tak sempat tinggalkan perkataan. tak sabar pula rasanya..

Jangan lupakan saya ya!

Pakteh saya, Mukhtar bin Abdul Rahman telah kembali ke pangkuan Allah. Sama-samalah kita berdoa agar roh beliau dicucuri rahmat Allah.

Al-fatihah.

Sunday, May 13, 2007

SALAM HARI IBU. SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR UNTUK AYAH

Salam hari ibu untuk Mak saya. Saya doakan Mak umur panjang dan sentiasa dirahmati oleh Allah.

Tapi saya tak ada sajak atau lagu nak tulis di sini. macam mana ni?

Selamat Menyambut hari lahir untuk Ayah Saya Haji Mohammad Redzuan Bin Mohamad pada 10-05- baru -baru ni.

Tolong doakan saya lulus imtihan ya.

Saturday, May 05, 2007

PINDAH RUMAH

Bulan lepas, Hakim Dirani telah mencatat satu rekod kecil, iaitu tinggal dalam satu bulan sebanyak tiga rumah. Rekod ini saya doakan biarlah kami sahaja yang buat, orang lain jangan. Seksa!.

Bila difikirkan kembali sebenarnya ini hanyalah sedikit cabaran untuk penuntut ilmu seperti saya. Dalam makna yang lain kalau ujian banyak ini pun tak tertanggung macam mana nak menghadapi yang lebih berat lagi. Saya cuba lihat macam mana orang-orang dahulu menuntut ilmu, berganda lebih susah dari apa yang kita jangka.

Alhamdulillah saya syukur sekarang masalah ini sudah tiada. Nampak gayanya selepas ini saya boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk mengulang kaji pelajaran, memandangkan peperiksaan yang dah dekat ini.

Bagi saya juga, di mana juga kita belajar tentu ada susah senangnya. Mungkin di Syria begini masalahnya. Di tempat lain berbeza pula ujiannya. Yang pasti, dalam belajar perlu banyak bersabar. Itu yang terpenting.

Mohammad kawan saya ada beritahu ketika saya baru sampai di Syria “kalau tinggal di Syria wajib pindah rumah tiga kali” Nampak gayanya betullah tu apa yang dia katakan. Rumah yang saya tinggal sekarang ini sudah rumah yang keempat.

Habis cerita.

SAKIT MATA

Kepada sesiapa yang ingin datang ziarah atau belajar di sini saya beri peringatan atau nasihat kepada anda. Supaya sesiapa yang nak datang sini dapat membuat persediaan yang secukupnya. Persediaan Iman.

Sekarang ini musim panas dah bermula. Kerana sekarang musim panas, sebahagian gadis-gadis di sini sudah mula memakai pakaian yang agak keterlaluan kalau nak di nisbah dengan pakaian yang di benarkan oleh syariah. Sehinggakan ada seorang teman cakap musim panas ialah musim peraga fesyen atau peraga tubuh. Itu cakap seorang teman.

Tak cukup dengan pakaian yang ketat, ditambah dengan memperlihat sebahagian dari tubuh memang memeningkan kami yang ternampak. Itulah sebabnya saya minta sesiapa yang nak datang sini buat persediaan. Macam mana nak buat itu fikir sendiri, saya tak tahu.

Saya rasa masalah ini setiap negara ada, termasuk Malaysia sendiri. Jadi saya ceritakan ini sebenarnya bukan untuk pengetahuan sebenarnya, walaupun ada sedikit nak beritahu, tetapi untuk nak kurangkan sakit kepala saya dalam menghadapi masalah ini. Mudah-mudahan dengan sedikit saya ceritakan kepada anda, saya akan rasa masalah ini sedikit berkurang.

Friday, April 27, 2007

SOLEH


Baru-baru ini soleh kemalangan, terkejut betul saya. Mana tidaknya, kawan yang paling rapat dengan saya sedang dalam ujian. Dengar cerita sehingga patah paha. Saya doakan agar dia cepat sembuh.

Sekarang Soleh sudah balik rumah selepas seminggu di Hospital Seberang Jaya. sekarang masih di rumah. Alhamdulillah, dia selamat. Mak saya cakap dia dah nak sembuh. Nanti bolehlah dia teruskan persekolahannya. insya-Allah.


Anda semua, tolong doakan sama ya!

Saturday, April 21, 2007

TAG LAGI. (VERSI BUANG SAWANG)

Segak tak rupa Burok?
Pc saya nama "Burok"
Saya tak lanjutkan tag ini kepada sesiapa kerana saya pon dah tak tau sapa lagi yang tak kena.

Tuesday, April 10, 2007

ORANG NORMAL KENA TAG

Secara jujurnya saya ini seorang yang normal. Boleh dikatakan langsung tak ada keanehan pada diri saya. Sejak kena tag dengan baru-baru ini, saya mula mencari apa yang aneh, apa yang pelik yang ada pada diri.

Hanya ini yang saya jumpa,

1. Tulisan saya sangat hudoh berbanding orang lain. Sebenarnya saya juga tak perasan yang tulisan saya sangat teruk. Tetapi, setelah dinilai oleh beberapa orang kenalan dan guru, saya kena juga menerima hakikat yang tulisan saya agak teruk sehinggakan orang tak faham apa yang saya tulis. Yang lebih memeningkan saya juga terkadang tak jelas apa yang saya tulis. Celaru, celaru.


2. Jangan sekali-kali saya nyatakan yang saya ini hebat berbanding orang lain. Jika saya nyatakan yang saya lebih dari seseorang dari satu sudut, biasanya kelebihan itu Allah akan tarik dari saya serta merta. Sebagai contoh, saya minat bermain catur. Ramai kawan cakap saya ini pandai main catur. Itu tak jadi masalah. Katakanlah saya cakap saya ni memang pandai main, maka dengan serta merta perlawanan selepas ini saya akan kalah. Tak tahu kenapa. Hakikatnya ini kerja Allah. Satu lagi pengalaman di sekolah dahulu, saya cakap kepada seorang kawan yang di timpa demam yang saya ini hebat, jarang sekali terkena demam. Selepas beberapa hari terus saya di timpa demam yang agak kuat. Saya syukur Allah terus peringatkan saya.


3. Biasanya jika saya membuat suatu tekaan ia akan salah. Saya ingat ini kebetulan. Tetapi bila 20 kali tekaan, dua atau tiga kali sahaja yang betul saya rasa ini memang aneh. Sehinggakan jika nak buat satu tekaan saya akan pilih yang bukan pilihan.


4. Saya adalah pelajar agama dari kecil, dari baru nak tumbuh gigi. Tapi sayang sehingga hari ini kelihatan segala ilmu yang saya belajar sangat sedikit saya laksanankan dalam kehidupan. Sungguh mengecewakan.


5. Kawan-kawan terkadang menegur saya apabila melihat saya senyum sendiri. Tak ada apa yang lawak pun ketika itu. Ya, ini juga satu keanehan yang ada pada saya sebenarnya. Saya senyum kerana ada peristiwa-peristiwa lawak atau lucu yang singgah di benak ketika itu. Itu sebab saya senyum.


6. Saya sebenarnya agak tidak betah dengan perempuan (bukan mahram) yang saya kenali. Mungkin saya tak diajar bergaul dan bersembang dengan perempuan dari kecil lagi, sekarang saya agak kurang selesa kalau muamalat dengan sebahagian perempuan dengan lama.
Sebahagian manusia yang kurang mengenali diri saya akan nampak seperti biasa sahaja kelakuan saya yang aneh ini. Biasanya yang memerhati sahaja yang akan terperasan.
Anda jangan sangka saya segan bergaul hanya dengan perempuan yang memakai pakaian yang menjolok mata. Sebenarnya saya lebih segan dengan orang yang pakai pakaian yang tutup seluruh badan kecuali mata.

Saya minta maaf kerana lambat nak kemaskini blog ini. hari baru sempat buang sawang. puas hati rasanya. Sebenarnya sibuk pindah rumah, itu sebab tak sempat kemaskini. Ini alasan.

Friday, March 02, 2007

SUPAYA MENJADI TAULADAN

Suatu ketika,
Seseorang sedang bertanya kepada ustaz tentang suatu perkara. Ustaz menjawab. Kelihatan jawapan yang diberikan kurang memuaskan hatinya. Ditanya soalan tambahan yang berbentuk susulan dari soalan tadi. Nampaknya soalan susulan ini juga tidak memberi keselesaan kepadanya. Melihat dari raut wajahnya, kelihatan dia dalam keadaan yang resah. Entah mengapa. Kali ini dia bertekad ingin mengajukan soalan yang akan memperoleh jawapan yang diingini.

Dia hampa, jawapan yang ustaz berikan semuanya ironi belaka. Dia marah betul dengan Ustaz di masjid tadi. Dia hairan, mana mungkin tiada langsung pendapat ulama walaupun (pendapat) lemah yang memihak kepadanya. Satu lagi, mungkin ustaz itu memang tak sukakan peribadinya, maka ustaz cari jawapan yang tak diingini.

"Aku kena lancar juga projek ini. Biarkan apa orang akan kata. Aku tak peduli. Yang aku tahu, aku akan kaya dengan kejayaan projek ini." Sambungnya lagi "Aku tahu, orang akan bising tentang projek ini. Bertentang dengan agamalah, itulah, inilah. Tapi yang lebih penting aku tahu yang orang akan bising sekejap sahaja. Nanti, selepas berapa detik senyap kembali. Jadi ia tak akan memberi kesan yang besar kepada aku." Ujarnya dengan bangga.

Ketika beberapa orang kenalannya bertanya adakah dia membuat rujukan dahulu sebelum dia laksanakan projeknya. Dia dengan selamba menjawab "Ustaz tu, semuanya tak boleh. Itu haram, ini haram. Sampai aku tak tahu apa yang boleh bagi dia. Aku nak jual barang ini bukan untuk orang islam, tak mungkin itu juga haram" Ujarnya dengan begitu geram.

Untuk memendekkan cerita akhirnya ustaz itu dipecat daripada masjid. Dia begitu gembira. Puas hatinya. Bermacam perancangan dia usahakan untuk melihat kejatuhan ustaz itu. Bagaimana dia lakukan tak dapat di ceritakan kerana ia akan memanjangkan cerita ini.
Cerita habis.

Saya cuma bayangkan ini satu pengorbanan yang akan ahli agama hadapi. Ini bukan perkara kecil bagi saya memandangkan saya yang mendalami bidang syariah. Ini salah satu contoh yang sedang saya fikir di samping banyak lagi isu-isu yang akan dihadapi oleh para guru agama ekoran ummah hari ini mula menjauhkan diri dari landasan yang benar.

Kalau tak salah saya, kes-kes sebegini ada juga berlaku di sebahagian tempat. Tetapi tak pasti pula di mana. Jadi saya buatkan satu cerita yang umum supaya siapa yang makan akar seronton dialah yang rasa pahit.

Apa yang paling saya risau, contoh yang saya bayangkan di atas menimpa saya sendiri.
Wali’yazubillah.

KENAPA IBU

Jika orang bertanya kepada saya, siapa yang paling banyak berkorban? yang saya tahu ialah ibu dan ayah. Ini jawapan saya. Mungkin keadaan saya, persekitaran saya mengajar begitu. Anda pula bagaimana? Jika dari kecil tidak biasa dengan belaian dua ibu bapa, rasanya susah untuk sependapat dengan saya. Mungkin guru, nenek dan sebagainya.

Jika orang bertanya kepada saya, siapa manusia yang paling tak guna? Saya jawab seorang anak yang mendapat sepenuh kasih sayang dari dua ibu bapanya, tiba-tiba menjadi seorang anak yang derhaka kepada mereka. Anda pula bagaimana?

Dahulu, ketika saya masih di Malaysia, saya pernah mendengar cerita tentang anak durjana yang sanggup mencederakan kedua ibu bapanya. Ya, saya mengetahui cerita-cerita begini ketika terbaca surat khabar atau mendengar kaset ceramah dari guru-guru agama, atau dari kaca televisyen. Anda pula bagai mana?

Kalau nak cerita, memang terlalu banyak hadis-hadis dan ayat al-Quran yang mencerita sekaligus menyuruh supaya menyayangi ibu dan ayah. Cerita seorang sahabat Rasulullah yang tidak dapat menghembuskan nafas terakhir kerana pernah melukakan hati ibu. Bagi saya kisah yang cukup menginsafkan ini terlalu susah untuk dilupakan. Anda pula bagaimana?

Oh, tidak! Bukan sekadar di TIVI, kaset dan surat khabar sahaja saya dapat tahu cerita sebegini. Ada satu kisah benar yang berlaku. Bukan pada saya. Tetapi berlaku pada salah seorang sahabat ibu saya.

Tentang kasih ibu,
Mak cik A sudah kematian suaminya. Maka segala tanggungjawab menjaga, menyara dan membiayai anak-anak terletak atas bahunya. Nasib baik arwah suaminya ada meninggalkan sedikit harta, ringanlah sedikit bebanan untuk membeli peralatan sekolah, membayar bil api dan sebagainya.
Kerana memikirkan masa depan, dia membuat pelbagai kerja untuk menampung kehidupan harian. Menjual kuih dan sebagainya. Saya masih ingat, ketika kami sekeluarga menziarahinya, dia menjamu kami dengan kuih-kuih jualannya itu.

Saya pasti mak cik A tak pernah terfikir salah seorang daripada anaknya yang dia tatang bagai minyak yang penuh itu akan melukakan hatinya. Tetapi saya tak pasti sama ada mak cik A sanggup menendang anaknya semasa kecil walau dia tahu anaknya akan mencederakan hatinya sekaligus jasad tuanya.

Alhamdulillah, Allah menjodohkan mak cik A dengan seorang lelaki yang menjadi suaminya sekarang. Ketika ini saya masih tak mendengar apa-apa berita tentangnya.

Satu hari mak cik A datang tempat saya menolong ayah dan ibu saya berniaga. Emak pergi berjumpa dengan mak cik A. Selepas mak cik A pulang, barulah saya dapat tahu segala-galanya. Mak cik A baru lepas dicederakan oleh anaknya. Sebabnya mudah sahaja, anak yang menganggur itu mahu wang. Dia itu menuntut semua harta peninggalan arwah ayah yang masih berbaki. Mana mungkin mak cik A akan memberi. Anaknya yang sedang belajar juga ada. Kalau diberi kepada anaknya yang seorang ini, akan susah baki anak-anaknya.

"Memang dasar kacang melupakan kulit" ada patut dia menuduh bapa tirinya itu akan membolot segala harta peninggalan itu. Jadi, kerana tak mahu ibunya terhasut dengan ayah tirinya jadi dia mahukan harta itu.

Emak cerita lagi, teruk juga luka badan mak cik A. Selepas kena pukul, anaknya tak keluar dari rumah itu. Mak cik A yang keluar cari rumah sewa baru. Terbalik pula. Saya fikir juga, kenapa sampai begitu sekali tindakannya.

Yang lebih menyedihkan, mak cik A sentiasa mengambil tahu tentang makan minum anaknya. Biarlah dia dipukul, tapi jangan anak sakit kelaparan. Dia tetap pergi menjenguk walaupun dari kejauhan atau dari anaknya yang lain. Biarlah dia yang cedera, tetapi jangan anaknya yang tercedera. Itulah kasih ibu, sudahlah anaknya itu tak langsung membalas jasanya malah mencederakannya pula.

Baru-baru ini, emak beritahu yang anaknya yang seorang itu sudah dapat pekerjaan. Tetapi saya tak pasti pula dia sudah taubat nasuha dan minta maaf kepada ibunya.
Saya sudah berdoa kepada Allah supaya dia taubat dan menjadi anak yang soleh. Anda pula bagaimana?

Wednesday, February 28, 2007

HUJAN DAN DIRI

“Alamak, tak sangka kena redah hujan pula hari ini.” Oleh kerana ketika ini penghujung musim sejuk, di tambah dengan cuaca yang begitu cerah ketika pagi, saya langsung tidak menjangka yang hujan akan turun. Seperti lagu itu .....hujan di tengah hari.

Jika hujan turun, selepas dua atau tiga hari selepasnya adalah hari-hari tersejuk di dalam musim yang sedia sejuk ini. Rasanya semua negeri yang mempunyai empat musim seperti di sini, selepas hujan ialah antara waktu yang tersejuk.

Sengaja saya redah hujan sejuk ini hanya kerana satu alasan, seronok. Sebenarnya boleh sahaja saya tunggu sehingga reda sedikit kemudian baru saya redah. Tetapi alang-alang dah teringin nak bermesra dengan hujan saya redah juga.

Biasanya selepas bermain dengan hujan, tambahan pula yang sejuk kita akan diserang Demam atau selesema. Inilah kebiasaan yang saya tahu. Kalau anda semua tak terjadi kebiasaan ini, tak tahulah saya.

Sebenarnya saya bukan mahu cerita tentang hujan di sini. Saya ingin cerita tentang keadaan saya. Cuma saya ingin mengaitkan cerita hujan tadi dengan keadaan sekarang ini.

Masuk Cerita.
Seperti kawan-kawan yang lain, saya datang ke bumi barakah ini untuk belajar, untuk menuntut ilmu, dan lain-lain lagi yang seerti dengannya. Sungguh! hanya untuk itu. Memang semua orang akan berpesan seperti ini sebelum saya datang sehingga selepas saya menjejakkan kaki di sini.

Pada detik-detik awal proses pembelajaran ini nampak berjalan lancar. Walaupun tak serajin dan tak sebanyak kawan-kawan yang lain(pengajian tadah kitab), tetapi sesi pengajian yang saya sertai memberi semangat untuk terus belajar, terus belajar dan terus belajar.

Ini bererti, walaupun tidak sebanyak kawan-kawan, tetapi segala persediaan dapat dibuat, natijahnya segala isi yang guru berikan akan terus masuk ke otak, tanpa melencong ke mana-mana.

Tetapi, selepas setahun yang mula itu, saya mula berjinak-jinak dengan persatuan pelajar. Saya terpilih dalam Pilihan Raya sebagai Exco Lembaga Eksekutif. Maka, secara tidak langsung ia memberi kesan walau tidak banyak kepada proses pembelajaran saya. Yang menjadi masalahnya, kesan yang baik atau sebaliknya.

Kata sebahagian orang, aktif dalam persatuan pelajar akan membantu pembelajaran sebenarnya. Malah ia sebenarnya belajar juga. Belajar cara memimpin, belajar cara bermasyarakat dan macam-macam lagi jenis belajar yang diterangkan kepada saya. Apa yang saya nampak ketika itu, perkara ini memang memerlukan pengorbanan dari saya.

Seperti meletakkan garam di luka yang parah, saya menyertai pula sebagai pembantu editor di jurnal Itqan (jurnal persatuan Pelajar Malaysia Syria) walaupun masih belum pandai menulis, tetapi belajar. Bukankah ini juga perlukan masa dan pengorbanan dari saya?.

Luka yang dah parah kemudian saya jatuhkan pula tangga di atasnya. Inilah keadaan saya. Pantang ada sebarang tawaran dan jawatan pasti saya sebat. Ini bukan bererti saya gila pangkat, tetapi saya melihat kebaikan di sebaliknya. Contohnya menghidupkan semula Ikatan Pelajar Pulau Pinang Syria dan sebagainya.

Anda mesti hairan, kenapa kalau sudah tahu membebankan kenapa mesti terima semua jawatan itu?

Jawapannya mudah sahaja, seperti yang kedua ibu bapa saya ajarkan sebelum ini, supaya tidak menghampakan harapan orang lain, maka segala permintaan yang saya terima semua saya setuju. Ataupun, saya ini lilin yang mencederakan diri sendiri untuk kebaikan orang lain.

(Alamak!, saya kelihatan begitu baik pula)

Seperti hujan, saya boleh sahaja tak menerima segala jawatan itu. Tetapi kerana saya seronok, maka segala-galanya saya terima.

Seperti hujan juga, saya tahu ia akan menyebabkan saya selesema dan demam. Tapi bagi saya tak semua orang akan sakit jika selepas balik terus mandi dan sebagainya.

Bagi saya dua atau tiga hari selepas hujan adalah hari yang tersejuk adalah sesuatu yang perlu diterima, mana boleh lari-lari. Yang perlu saya lakukan ialah menyediakan apa-apa yang patut seperti pemanas dan sebagainya. Anda nampak maksud saya kan?

Sebenarnya, segala yang saya terima ini (jawatan di atas) memberikan implikasi walaupun tidak dinafikan kebaikannya. Contohnya, terpaksa meninggalkan sebahagian pengajian, waktu untuk berehat kurang dan sebagainya.

Bila difikirkan kembali benar pula kata Abdul Muin sahabat saya yang seorang itu,
“Saya ini pelajar ZALIM” Kerana sepatutnya saya hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Tetapi aktiviti terpaksa saya kurangkan untuk aktiviti yang lain. Zalim bermaksud Saya tak menjalankan tanggungjawab saya yang utama sebagai pelajar sepenuhnya.

Saya nak minta tunjuk ajar dari anda semua berkenaan masalah saya ini. Perlukah saya terus bergiat dalam kokurikulum sehingga pelajaran yang lebih penting itu sedikit terganggu.
emelkan sahaja jika ianya panjang.
Terima kasih.

Sunday, February 25, 2007

TENTANG TUNTUT

Suatu hari ketika sedang menyusun buku.

"Aku rasa aku ni bukan thalib i'lim (pelajar ilmu)" ujar Abdul Muin. Sedang mengulangkaji.

"Kalau bukan, pelajar apa?" Tanya saya. ketika ini saya tak begitu ambil perhatian tentang kenyataan dia.

"Aku rasa aku ni pelajar ZALIM" Abdul Muin.

Ketika itu, saya betul-betul tersentak.

Betulkah?

Astaghfirullah....

Tuesday, February 20, 2007

SEORANG PENCURI YANG PERNAH KUKENAL

Sememangnya dia ialah pencuri yang mantap, kenyataan ini diakui oleh semua, kawan mahupun lawan. Jika dipandang pada luarannya, dia seperti seorang remaja yang lemah lembut, periang dan berbudi bahasa. Tetapi, di dalamnya siapa yang tahu apa yang difikirkan. Apa yang dirancang hanya dia sahaja yang tahu.

Kerana kehebatannya ini dia menjadi topik utama perbincangan ahli qariah setiap kali dia berjaya menjalankan tugasnya, mencuri. Apabila difikirkan kembali, bagus juga. Ketika ini barulah orang kampung akan lebih berhati-hati daripada kebiasaannya. Kalau dahulu, duit disimpan di tempat yang ala kadar sahaja, sekarang sudah pasti mereka akan lebih berhati-hati. Itu satu kebaikan daripada banyak keburukan yang ditanggung oleh orang kampung.

Tetapi masalah dan keburukan yang menimpa berganda lebih banyak daripada baiknya. Harta saya sahaja sudah berapa kali menjadi darah dagingnya. Nak kata simpan di tempat yang kurang selamat, memang sudah cukup selamat. Ya lah, memang tak sampai hingga ke dalam peti besi (setebal tiga cm), tapi sudah boleh di kira sebagai tempat yang agak munasabah. Kiranya, kalau barang saya itu hilang, memang orang itu nak mencuri, bukan salah ambil atau sebagainya.

Walaupun dia seorang pencuri yang handal, tetapi dia masih kurang satu teknik utama dalam mencuri, iaitu mengelak diri daripada tuduhan. Hampir setiap kecurian yang disedari kehilangannya, orang akan memanggilnya untuk sesi perbicaraan. Dan hampir setiap kali dipanggil itulah dia akan mengakuinya. Pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’ adalah tidak secocok dengannya kerana, setiap kali lompat dia akan jatuh.

Dalam salah satu siasatan yang dijalankan ke atasnya, kami dapat tahu bahawa hanya satu rumah sahaja yang masih belum dicerobohinya. Saya tak pasti pula rumah siapa. Yang pasti rumah yang satu itu bukan bilik saya. Kerana bilik saya sudah dua kali menjadi sasaranya.

Ahli qariah semuanya sudah menjadi bingung. Nak pukul, dah hampir semua tempat dah menjadi sasaran. Bagi kaunseling juga tak nampak kesannya. Nak potong tangan, risau pula dia baru berumur 14 tahun (ketika itu) dan ahli qariah pula tak ada hak. Kita di negara yang tak menjalankan hukum Allah memang susah. Kalau nak dibiarkan samalah seperti melepaskan musang menghabiskan ayam mereka. Memang ahli qariah sudah menjadi bingung.

Bila difikirkan kembali saya juga salah. Sepatutnya ketika barang saya dicuri, saya tak sepatutnya berdoa supaya dia mendapat kecelakaan (ketika itu saya telah dikawal oleh nafsu ammarah bissuk) saya seharusnya berdoa agar dia insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Yang lebih menyedihkan, selepas agak selesa dengan mencuri, dia terjerumus pula dengan kawan-kawan yang bermasalah. Lepak, buli kanak, buat aksi dengan motosikal (seperti angkat taya) dan macam-macam lagi karenah yang memeningkan kepala.
Satu ketika kami mendapat tahu yang dia memperolehi antara tempat yang terbaik di dalam peperiksaan. Ketika penyampaian hadiah semua mata pejam celik tak percaya dia mendapat tempat sebegitu. Walaupun tidak dinafikan dia seorang yang cerdik, tetapi mengikut keadaannya tak mungkin dia memperolehi keputusan sedemikian. Saya langsung tak terkejut selepas beberapa ketika dia mengaku bahawa kertas soalan itu dicurinya.

Saya tak cenderung ingin meletakkan beban ini kepada keluarga. Bukan kerana dia mempunyai seorang kakak yang sangat cantik, bukan. Sebenarnya saya kenal sangat keluarganya. Dia diberi didikan agama semenjak kecil. Di beri kasih sayang kemungkinan ia berpunca daripada pengaruh kawan-kawan (Bukankah ini ialah alasan yang selalu digunakan).

Saya tak pasti berapa rakaat ayahnya sembahyang hajat setiap malam. Saya tak tahu sudah berapa besin ayahnya mengeluarkan air mata memohon kepada Allah. Tapi, yang saya tahu ayahnya sering menangis, merayu kepada kawan-kawan agar jangan membawa dia ke arah kejahatan, kemaksiatan dan segala yang seerti dengannya.

Saya dapat rasa yang ayahnya berasa sangat malu dengan sikapnya. Masakan tidak, Mempunyai seorang anak baru menjejak 15 tahun sudah menjadi seorang yang begitu digeruni dalam dunia pencurian.

Saya tahu perasaan ayahnya pasti seperti dihiris sembilu setiap kali diberitahu orang kampung yang anaknya mencuri. Saya yang tiada langsung mempunyai pertalian darah dengannya, juga berasa sedih. Sudah pasti ayahnya berganda lebih derita dari saya. Seperti kata pepatah, seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Pernah satu malam, sekitar 1.30 pagi (kalau tak salah ingatan saya) ayahnya datang mencari beliau di masjid. Seorang kawan saya pergi bertanya kalau-kalau ada masalah yang boleh dibantu. Terus ayahnya, bercerita dan teresak-esak menangis kepada kenalan saya itu. Apa yang saya tahu bukan hanya semalam ayahnya datang, tetapi sudah beberapa kali. Apa saya buat tengah malam di dalam masjid? Saya tak akan menceritakan kebalikan saya kepada anda, kerana takut akan ditarik balik pahala.

Hari ini, setelah datang belajar di Syria, saya tidak lagi mendengar khabar dia, adakah dia masih mencuri, atau sudah insaf. Apa pun saya berdoa agar dia insaf dan kembali ke jalan yang benar (ini doa orang yang dizalimi, insya-Allah makbul). Dan segala harta saya yang dah menjadi darah daging beliau saya halalkan.

Friday, February 09, 2007

SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR

Hari ini saya bersyukur kepada Allah kerana memberi saya nikmat hidup dan memberi peluang saya menuntut ilmu.

Hari ni adalah hari lahir saya.

Mudah-mudahan tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. amin.

Friday, January 26, 2007

AZAM

Antara azam tahun baru,
55. ........
56. Nak rajin kemaskini blog.
57. .......

Tapi masih tak dapat laksanakan. Ada berapa perkara penting yang menuntut lebih segera diselesaiakan. Tak apa, sekarang saya sudah hampir bersedia untuk laksanakan azam ini.

Tuesday, January 02, 2007

SALAM AIDUL ADHA DAN SELAMAT TAHUN BARU

Majlis ramah mesra bersama Ketua Polis Negara
Selamat menyambut hari raya Aidil Adha kepada anda semua yang pernah berkunjung ke blog ini, atau yang mengenali saya di selain alam maya ini atau sesiapa yang mengenali saya dengan cara apa sekali.

Selamat menyambut tahun baru 2007 kepada anda semua yang pernah berkunjung ke blog ini atau yang mengenali saya di selain alam maya ini atau sesiapa yang mengenali saya dengan cara apa sekali.

"Kullu 'am wa antum bi khair"
Kepada kawan-kawan yang menhidap penyakit darah tinggi atau sebagainya, saya nasihatkan jangan terlalu banyak makan daging, kerana saya risaukan kesihatan anda. :)
Kenapa ya ? saya sekarang ini ditimpa penyakit malas yang agak kritikal tolong doakan saya sembuh ya.

Saturday, December 16, 2006

SATU PERJALANAN, BANYAK KENANGAN

‘Ya, masih ada satu tempat kosong’ fuhh!! Ketika ini hanya Allah yang tahu perasaan saya. Betapa gembiranya saya kerana mendapat tahu yang saya boleh sertai rombongan malam ini.

Masakan tidak, apa yang saya dengar sebelum ini sudah penuh, jadi seperti sudah putus harapan pula. Nasib baik setelah diperingat oleh seorang sahabat supaya pastikan dahulu masih ada ruang atau tidak, saya turuti. Kalau tidak, tak berpeluanglah saya menyertai rombongan kali ini.

Menurut ketua rombongan, kami akan bertolak jam dua pagi. Saya ketika diberitahu boleh menyertai sudah jam 8.00 malam. Perjalanan kami dijangka hanya memakan masa sehari. Fikir saya tak perlu saya siapkan barang yang banyak, Mungkin sekdar benda asas seperti kamera sahaja.

Perjalanan kami bermula jam 3.00 pagi bertolak dari Damascus. Setelah mengambil tempat masing-masing. Sedikit taklimat diberikan oleh ketua rombongan tentang perjalanan yang sedang kami lalui ini.

Destinasi pertama kami ialah Masjid Saidina Khalid bin Walid, iaitu di negeri Homes. Daripada Damascus mungkin memakan masa hampir dua jam untuk sampai ke masjid ini. Antara tempat menarik yang ada di sekitar masjid ini ialah kubur tiga orang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu, Khalid bin al-Walid, Abdul al-Rahman bin Khalid bin al-Walid dan Abdullah bin Umar al-Khattab.
Masjid Saidina Khalid
Makam Saidina Khalid
Di hadapan masjid itu terdapat satu tugu yang tercatat kata-kata Saidina Khalid yang bermaksud,

Aku telah melihat (mengikuti) seratus peperangan dan tidak ada sejengkal pada badan ku kecuali padanya ada tetakan pedang, lontaran anak panah atau cucukan tombak, dan sekarang ini keadaanku sakit mati atas tilam dengan perasaanku, aku mati sebagai seorang pengecut.
Tempat ditulis kata-kata Saidina Khalid
Setelah selesai mengucapakan salam pada ketiga-tiga sahabat Rasulullah ini dan sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan kami. Destinasi yang seterusnya ialah negeri Hama, di situ ada dua tempat yang menarik yang akan kami lawati,
1. Kubur Saidina Umar bin Abdul Aziz, khadam dan isteri beliau.
2. Kincir air. Saya difahamkan bahawa sekitar kawasan itu adalah tempat terawal penempatan manusia. Tentang kesahihannya masih di dalam pencarian.

Makam Khalifah Umar bin Abdul Aziz, isteri dan khadamnya.
Pagi itu kami hanya sempat pergi ke makam Khalifah Agung itu dahulu. Mungkin kerana ada beberapa masalah teknikal jadi jika masa mengizinkan kami akan singgah ke kincir air itu.

Selepas betolak dari makam khalifah Bani Umayyah yang ke lapan itu, destinasi yang seterusnya ialah ke Negeri Aleppo atau dalam bahasa arabnya dipanggil Halab.
Halab terletak di utara Syria dengan jarak lebih kurang 350 kilometer. Penduduknya lebih kurang 3283000 penduduk dengan keluasan 16,142 kilometer persegi. Negeri ini juga banyak memainkan peranan penting dalam industri kapas, gandum dan Zaitun.
Halab juga terkenal dengan jame'-jame' dan gereja. Ia juga menjadi bandar Islam ketiga disebabkan banyak jame'-jame' dan sekolah-sekolah islam di sini.
Muziaum di sini memaparkan pelbagai penemuan arkeologi sejak dari zaman batu hingga sekarang.
Antara tempat pelancongan yang ada di Halab ialah, Kota Halab yang terbina di atas sebuah bukit setinggi 40 meter, ia merupakan benteng tertua dan terbesar serta meninggalkan monument (tugu peringatan) yang bersejarah di Halab. Masuk ke dalam kota itu memang mengkagumkan. Dengan senibina yang menarik dan seakan-akan satu pembinaan yang sempurna.
Kota Lama Halab Dalam kota
Kami juga berpeluang mengambil gambar bandar Halab dari atas menara yang berada di dalam kota lama tersebut.


Sayang sekali muzium yang berada di dalam kota itu ditutup. Sebabnya saya juga tak pasti.

Ketika itu badan saya sudah lesu, mungkin kerana tak tidur semalaman.

Saya tertarik kepada bayaran tiket untuk masuk ke kota itu iaitu RM 11.00 (setelah ditukar) tetapi oleh kerana kami memiliki kad pelajar kami hanya perlu bayar seorang RM 0.70. memang untung.

Setelah selesai sesi pusing Kota Halab, kami terus berjalan ke Suk Qadim (bazar kuno) yang bersebelahan dengan kota tadi. Oleh kerana saya tak fikir nak beli sesuatu saya hanya sekadar tinjau-tinjau sekitar bazar tersebut dan terus ke Jame' Umawi.

Sebahagaian tempat di Bazar Kuno
Suk Qadim (bazar kuno) memanglah menjadi tempat utama dan sasaran sejak berzaman lamanya sebagai destinasi membeli belah. Bazar sepanjang 10 km ini diliputi dengan lorong-lorong sempit dan bercabang dan semuanya dipenuhi dengan peniaga dan pembeli. Antara barangan yang popular yang terdapat di sini seperti cenderamata purba dan moden, mingak wangi, barangan kemas, pakaian dan sebagainya. Bazar ini dipercayai telah wujud sejak abad ke-15 lagi.
Jame' Umawi pula atau nama lain Jame' Kabir merupakan Masjid terbesar di Halab serta mempunyai seni ukiran halus dan unik sekali berbanding lebih 1000 jame' yang berada di sini. Dibina pada zaman Khalifah Umawi Sulaiman bin Abdul Malik( khalifah ke 7). Jame' ini dihiasi dengan menara empat segi yang kukuh. Manakala tempat berkhutbah dan mihrabnya pula dibuat daripada sejenis kayu hitam keras dan ditekap ke atasnya sejenis gading bagi menhasilkan corak hiasan yang cantik serta menawan. Didalam Jame' ini juga terdapat makam Nabi Zakariyya. tetapi kesahihannya masih bolem diketahui.
Jame' Umawi atau Jame Kabir (kabir= besar)

Kata ketua rombongan kami, jam 1.00 petang semua ahli rombongan perlu berkumpul (di tempat yang yang di janjikan). Mungkin kerana terpesona dengan jualan di Bazar Kuno itu, sebahagian dari ahli rombongan terlewat sehingga satu jam.

Antara yang menarik di Halab ini ialah tentang suasana islam yang masih di jaga. Perempuan yang membuka aurat hampir tiada. Saya benar-benar kagum dengan persekitaran Halab.

Setelah semua berkumpul dan menjamu selera, kami berangkat pulang. Ketika ini saya sangat lesu dan memerlukan rehat yang cukup. Mengikut jadual perjalanan, kami masih berbaki satu destinasi ketika perjalalanan balik iaitu di kincir air di Hama.

Sekitar 4.00 petang kami tiba di Hama, kawasan kincir air itu. Menurut ketua rombongan kami, kincir semuanya ada dua belas. Saya tak kira pula ada berapa tapi apa yang pastinya tempat itu tidak dijaga dengan baik dan keadaan di sana begitu teruk.


Kincir air, Hama
Jika anda seorang penggemar rancangan Jejak Rasul anda pasti pernah melihat kincir air itu. Saya pasti anda tentu rasa keadaan di sana begitu menarik. Tetapi hakikatnya…. Tidaklah begitu cantik, bukan tak cantik langsung.

Selepas itu, kami semua pulang dengan perasaan yang cukup puas dan saya rasa ni satu perjalanan yang seronok dan insya-Allah tak akan mudah hilang dari ingatan.
Nota Kaki,
1. Jame': Masjid
2. Suk: Bazar
3. Qadim: lama/kuno

Monday, November 27, 2006

TAG

Pertamanya saya nak minta maaf kepada AKMA kerana terlewat menjawab tag ini.

5 Benda atau Perkara yang saya lakukan jika saya seorang jutawan.
Kenapa apa yang saya fikir semua dah ditulis oleh orang lain?

  1. Bina banglo untuk ibu dan bapa saya dan sentiasa beri apa yang mereka ingin. Satu lagi banyak luangkan masa untuk mereka.
  2. Bayar semua hutang dan beri pula kepada sesiapa yang nak berhutang.
  3. Bantu pelajar-pelajar luar negara yang kurang berkemampuan tetapi masih nak belajar. Terutamanya negara yang tak dapat biasiswa seperti Syria.
  4. Bina satu Yayasan Hakim, lebih kurang macam Yayasan Al-Bukhari.
  5. Memberi bantuan kewangan untuk sekolah agama rakyat di seluruh negara. (Kecuali Maahad yang Iman Mawaddah bina kerana maahad itu sudah kaya kerana ditaja oleh beliau)

5 Tabiat buruk

  1. Seperti kata pepatah "hangat-hangat taik ayam"
  2. Mudah berasa apabila ditegur.
  3. Cepat marah tapi sekejap lepas itu ok balik.
  4. Tak tahan kena marah
  5. Degil

5 Perkara yang saya benci melakukannya

  1. Menurut "permintaan" orang ketika saya ada perancangan lain.
  2. Mencari jalan pulang setelah sesat dan berjumpa jalan mati.
  3. Makan tak habis.
  4. Tolong orang yang selalu mengumpat saya.
  5. tolong orang yang suka "masuk bakul"

5 Perkara yang tidak akan saya lakukan.

  1. Syirik.
  2. Menyakitkan hati ayah dan ibu.
  3. Hisap dadah.
  4. Lakukan dosa besar.
  5. Menendang orang tua yang memberi salam dan tak pernah buat salah kepada saya.

5 Perkara yang saya menyesal lakukan

  1. Pernah/selalu menyakitkan hati mak ngan abah.
  2. Ponteng kelas di Maahad dulu.
  3. Lastik kawan kemudian tak mengaku(juga di maahad)
  4. Tarik muka masam kepada guru biar dia berasa.
  5. Terlintas dalam hati nak pancitkan taya kereta orang.

5 Permata Hati Saya. (yang pertama Allah dan Rasulnya)

  1. Ibu dan ayah
  2. Abang dan adik
  3. Tok, dadi (nenek sebelah ayah) dan semua bapa/emak saudara.
  4. Guru-guru.
  5. Sesiapa yang mengenali diri saya secara langsung atau tak langsung.

5 Tempat yang saya sukai.

  1. Rumah Allah.
  2. Rumah sewa di Syria.
  3. Rumah di Malaysia.
  4. Taman permainan.
  5. Kolam renang.

5 Saat yang penuh bermakna

  1. Ketika saya dilahirkan.
  2. Ketika bersama mak dan abah di Malaysia.
  3. Ketika habis sekolah
  4. Mula-mula menjejaki kaki di Syria.
  5. Sembuh dari sakit. Walaupun tak begitu kronik tetapi ketika sakit itu yang saya tahu nikmat sihat.

5 Benda/Perkara yang saya sukai

  1. Kasih sayang mak dan abah.
  2. Apa yang mak dan abah beri.
  3. Semua hadiah yang saya dapat.
  4. Komputer.
  5. Semua harta yang Allah pinjamkan kepada saya.

5 Perkara tentang diri saya

  1. Suka senyum.
  2. Pakai cermin mata.
  3. Hati mudah Tersentuh.
  4. Mudah takabbur.
  5. Susah Mengalah.

5 Orang yang paling saya sukai di dalam Blog.

Sebenarnya banyak, saya sebut sebahagiannya sahaja,

  1. Indera Kencana, Tulisannya Tak pernah saya tinngal untuk dibaca.
  2. Zizie Ali, Puitis dan penulis yang kritis.
  3. Jiwa Rasa, Ulat buku. Saya suka setiap ulasan buku oleh beliau.
  4. Pak Darma, Beliau Sedang Bercuti, mudah-mudahan cepat kembali.
  5. Kak Azma, Sedang tekun menyiapkan tesis.

5 orang yang saya pilih untuk menyambung tag ini

  1. Senandung Malam, sinior saya di Takhassus Fatah Islami..
  2. Kak Iffah Humaira, Akak yang baru menyambut ulang tahun kelahiran.
  3. Kak Salsabila Kauthar, Orang lama di Syam, sekarang sedang menyambung pengajian di Malaysia.
  4. Nailofar, Saya rindu pada tulisan anda.
  5. Syauqah-el-Wardah , rakan sedaerah di Pulau Pinang.

Saturday, November 11, 2006

MUFTI PERAK ORANG KUAT


Baru-baru ini saya begitu terkejut mendengar penjelasan dari Mufti Perak tentang serangan akidah terhadap bangsa Melayu Malaysia. Daripada yang saya dengar itu bukannya sedikit mereka yang telah keluar dari Islam, tetapi satu jumlah yang terlalu besar.

Mungkin sesetengah dari kita yang tak percaya tentang jumlah itu. Mana bukti? Menurut samahatus Syeikh Mufti Perak memang tidak ada kenyataan yang bertulis kerana pejabat agama tidak mendaftarkan sesiapa yang keluar dari agama.

Selain itu Dato’ Mufti ada menyentuh tentang masalah sosial yang berlaku, antaranya 95% daripada pusat pemulihan dadah adalah melayu, 16 ribu (Saya tak berapa pasti) yang membawa HIV dan beberapa lagi kes yang kalau nak diikutkan itu sudah kami tahu, tetapi peringatan yang dibawa itu membuat kami sedar dan terjaga daripada mimpi.

Kasihan saya tengok Dato mufti, dia seperti seorang diri dalam melawan Gejala Murtad ini. Diserang berterusan. Kata beliau, semasa terbang ke sini beliau mendapat tahu polis sedang mencari beliau kerana isu SMS. Oleh kerana beliau berada di sini selamat sekejap, balik nanti siap!.

Islam Liberal juga satu yang membahayakan, mereka minta dimansuhkan hukum islam seperti poligami dan beberapa lagi hukum dalam Faraid, Ini boleh membuatkan keluar dari agama. Dato Mufti.

Hari ini, siapa yang cakap betul akan dimarahi, akan dikutuk dan akan diserang. Dahulu pula yang akan berbohong yang akan diserang dikutuk dan dimarahi. Sudah terbalik pula.

Fikir saya, ini cabaran dan tanggungjawab orang agama seperti Dato’ Mufti, saya, kita, dan sesiapa yang masih beragama islam dan masih menganggap islam sebagai satu-satunya agama yang benar.

Baru saya faham suruhan islam tentang amru bil ma’ruf wa nahyu ‘anil mungkar amat berat. Ini bukan kerja ringan. Hanya orang yang berprinsip dan kuat sahaja yang mampu memikulnya.

Satu lagi yang disentuh oleh Dato’ Mufti ialah tentang masalah furuk atau masalah cabang agama yang dibangkitkan ketika masalah usul yang kian meruncing. Bagi saya, sekarang ini tak perlulah kita nak berbalah tentang masalah furuk, ya lah jika kita berpecah ketika ini siapa yang untung? Anda? Saya? Mereka? Tidak, tetapi mereka yang ingin melihat Islam hancur sahaja.

Saat ini saya dah bertekad akan menggunakan segala peluang yang ada dalam belajar demi masa depan yang lebih baik. Sekurang-kurangnya jika saya tidak boleh memberi manfaat kepada orang ramai dapat saya memberi manfaat ini kepada diri sendiri dan keluarga.

Sunday, November 05, 2006

RAYA DAH BERLALU

Pengajian dah bermula. Suasana dan kemeriahan raya dah habis. Keadaan kembali seperti dahulu. Pusat permainan juga dah tutup. Kami juga dah kurangkan ziarah-menziarahi. Rumah terbuka juga dah tak ada lagi yang sudi membuka. Ya, keadaan seratus peratus seperti sebelum raya.

Hari ini, kami sudah mulakan pengajian selepas cuti panjang dari awal bulan Jun lalu. Saya dalam sepanjang minggu lalu bersuai kenal dengan pelajar lain di dalam kelas kami. Kerana kami semua pelajar baru dan saling tak kenal antara satu sama lain, Taaruf sudah pasti menjadi satu kewajipan.

Sebelum saya ceritakan tentang pengajian saya yang baru bermula ini, saya nak ambil sedikit kesempatan nak cerita tentang apa yang kebiasaan arab Syria lakukan pada awal bulan Syawal ini.

1. Aid atau raya adalah hari yang paling ditunggu dan paling disambut dengan meriah oleh kanak-kanak. Bukan bererti orang dewasa tak meraikannya, tetapi kanak bagi kanak-kanak ia lebih bererti. Seperti di Malaysia juga kanak-kanak yang paling seronok.

Mungkin kerana berjaya cukupkan puasa selama 30 hari masyarakat Syria seperti memberi ruang yang luas untuk kanak-kanak bergembira, dibuat tempat permainan, hampir di semua tempat lapang ada sahaja pusat permainan. Sepanjang hari raya pertama sehingga hari raya kelima saya dapati kanak-kanak akan berpusu-pusu ke sana dengan pakaian yang cantik-cantik. Memang seperti hari untuk bergembira.

Untuk pengetahuan anda polis begitu ramai di sini, saya rasa mungkin kerana kanak-kanak di sini ramai yang bercita-cita nak menjadi polis bila dewasa nanti. Lihat sahaja ketika hari raya ini, begitu ramai kanak-kanak yang bermain pistol berpeluru seperti manik-manik yang jika anda terkena tembakan mereka pasti mengerang kesakitan. Tentang cita-cita nak menjadi polis itu saya teka sahaja.

2. kanak-kanak dan remaja perempuan pula ketika ini akan memperagakan fesyen masing-masing. Ketika ini saya lihat begitu banyak fesyen yang dipakai oleh mereka. Seperti pesta fesyen pula. Dengan kasut tumit tinggi dan pakaian yang baru-baru ini mereka bersiar. Saya kadang-kadang sedih pula melihat mereka ini, sehingga nak jatuh dek tak biasa pakai kasut tumit tinggi. Kadang-kadang jalannya nampak pelik. Tapi kerana hari raya untuk bergembira biarlah sakit sikit asalkan fesyennya hebat, mungkin itu fikir mereka.

3. Kalau orang dewasa pula mereka akan ke restoran-restoran. Saya tak tahu pula sama ada setiap hari atau sehari sahaja dalam musim raya ni, tapi yang pasti hampir seluruh restoran di Damsyik ini dipenuhi oleh pasangan-pasangan arab. Memang meriah.

Kami pelajar Malaysia di musim perayaan ini mengambil kesempatan ziarah rumah sahabat-sahabat kami. Setiap rumah terbuka pasti akan penuh. Ketika ini kami rasa begitu seronok kerinduan kami sedikit terubat. Ada juga pelajar yang mengambil kesempatan menghubungi keluarga dan kawan-kawan. Tahun ini Persatuan pula mendapa peruntukan dari JPM (Jabatan Penuntut Malaysia) untuk membuat rumah terbuka, makan sakan kami tahun ini.

Ini sedikit cerita tentang raya di sini. Nasib baik di negara Islam, ada juga sambutan raya. Kalau di negara lain yang tak ada beza antara raya dan tidak, tak tahu saya macam mana.

Monday, October 23, 2006

SALAM AIDIL FITRI

Assalamualaikum,

Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada mak, abah, tok, ibu dan bapa saudara, guru-guru, kawan dan sesiapa yang mengenali diri saya.

Sebenarnya saya sedang seronok menikmati suasana raya. Sekarang ini saya baru pulang dari bertakbir di Rumah Persatuan Pelajar Malaysia Syria.

Sebenarnya di kesempatan ini saya hanya nak ucapkan selamat hari raya. tentang suasana yang meriah di sini akan saya ceritakan kemudian.

Kepada siapa yang mengenali saya atau yang saya kenali, saya ucapkan selamat hari raya, saya mohon berjuta kemaafan jika ada kesilapan dan kesalahan.

Di Malaysia jika bertemu orang akan ucapkan selamat hari raya. Di sini orang jika bertemu mereka akan ucapakan "كل عام وانتم بخير" jadi saya juga ingin mengambil sedikit kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan "كل عام وانتم بخير".