Tuesday, February 20, 2007

SEORANG PENCURI YANG PERNAH KUKENAL

Sememangnya dia ialah pencuri yang mantap, kenyataan ini diakui oleh semua, kawan mahupun lawan. Jika dipandang pada luarannya, dia seperti seorang remaja yang lemah lembut, periang dan berbudi bahasa. Tetapi, di dalamnya siapa yang tahu apa yang difikirkan. Apa yang dirancang hanya dia sahaja yang tahu.

Kerana kehebatannya ini dia menjadi topik utama perbincangan ahli qariah setiap kali dia berjaya menjalankan tugasnya, mencuri. Apabila difikirkan kembali, bagus juga. Ketika ini barulah orang kampung akan lebih berhati-hati daripada kebiasaannya. Kalau dahulu, duit disimpan di tempat yang ala kadar sahaja, sekarang sudah pasti mereka akan lebih berhati-hati. Itu satu kebaikan daripada banyak keburukan yang ditanggung oleh orang kampung.

Tetapi masalah dan keburukan yang menimpa berganda lebih banyak daripada baiknya. Harta saya sahaja sudah berapa kali menjadi darah dagingnya. Nak kata simpan di tempat yang kurang selamat, memang sudah cukup selamat. Ya lah, memang tak sampai hingga ke dalam peti besi (setebal tiga cm), tapi sudah boleh di kira sebagai tempat yang agak munasabah. Kiranya, kalau barang saya itu hilang, memang orang itu nak mencuri, bukan salah ambil atau sebagainya.

Walaupun dia seorang pencuri yang handal, tetapi dia masih kurang satu teknik utama dalam mencuri, iaitu mengelak diri daripada tuduhan. Hampir setiap kecurian yang disedari kehilangannya, orang akan memanggilnya untuk sesi perbicaraan. Dan hampir setiap kali dipanggil itulah dia akan mengakuinya. Pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’ adalah tidak secocok dengannya kerana, setiap kali lompat dia akan jatuh.

Dalam salah satu siasatan yang dijalankan ke atasnya, kami dapat tahu bahawa hanya satu rumah sahaja yang masih belum dicerobohinya. Saya tak pasti pula rumah siapa. Yang pasti rumah yang satu itu bukan bilik saya. Kerana bilik saya sudah dua kali menjadi sasaranya.

Ahli qariah semuanya sudah menjadi bingung. Nak pukul, dah hampir semua tempat dah menjadi sasaran. Bagi kaunseling juga tak nampak kesannya. Nak potong tangan, risau pula dia baru berumur 14 tahun (ketika itu) dan ahli qariah pula tak ada hak. Kita di negara yang tak menjalankan hukum Allah memang susah. Kalau nak dibiarkan samalah seperti melepaskan musang menghabiskan ayam mereka. Memang ahli qariah sudah menjadi bingung.

Bila difikirkan kembali saya juga salah. Sepatutnya ketika barang saya dicuri, saya tak sepatutnya berdoa supaya dia mendapat kecelakaan (ketika itu saya telah dikawal oleh nafsu ammarah bissuk) saya seharusnya berdoa agar dia insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Yang lebih menyedihkan, selepas agak selesa dengan mencuri, dia terjerumus pula dengan kawan-kawan yang bermasalah. Lepak, buli kanak, buat aksi dengan motosikal (seperti angkat taya) dan macam-macam lagi karenah yang memeningkan kepala.
Satu ketika kami mendapat tahu yang dia memperolehi antara tempat yang terbaik di dalam peperiksaan. Ketika penyampaian hadiah semua mata pejam celik tak percaya dia mendapat tempat sebegitu. Walaupun tidak dinafikan dia seorang yang cerdik, tetapi mengikut keadaannya tak mungkin dia memperolehi keputusan sedemikian. Saya langsung tak terkejut selepas beberapa ketika dia mengaku bahawa kertas soalan itu dicurinya.

Saya tak cenderung ingin meletakkan beban ini kepada keluarga. Bukan kerana dia mempunyai seorang kakak yang sangat cantik, bukan. Sebenarnya saya kenal sangat keluarganya. Dia diberi didikan agama semenjak kecil. Di beri kasih sayang kemungkinan ia berpunca daripada pengaruh kawan-kawan (Bukankah ini ialah alasan yang selalu digunakan).

Saya tak pasti berapa rakaat ayahnya sembahyang hajat setiap malam. Saya tak tahu sudah berapa besin ayahnya mengeluarkan air mata memohon kepada Allah. Tapi, yang saya tahu ayahnya sering menangis, merayu kepada kawan-kawan agar jangan membawa dia ke arah kejahatan, kemaksiatan dan segala yang seerti dengannya.

Saya dapat rasa yang ayahnya berasa sangat malu dengan sikapnya. Masakan tidak, Mempunyai seorang anak baru menjejak 15 tahun sudah menjadi seorang yang begitu digeruni dalam dunia pencurian.

Saya tahu perasaan ayahnya pasti seperti dihiris sembilu setiap kali diberitahu orang kampung yang anaknya mencuri. Saya yang tiada langsung mempunyai pertalian darah dengannya, juga berasa sedih. Sudah pasti ayahnya berganda lebih derita dari saya. Seperti kata pepatah, seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Pernah satu malam, sekitar 1.30 pagi (kalau tak salah ingatan saya) ayahnya datang mencari beliau di masjid. Seorang kawan saya pergi bertanya kalau-kalau ada masalah yang boleh dibantu. Terus ayahnya, bercerita dan teresak-esak menangis kepada kenalan saya itu. Apa yang saya tahu bukan hanya semalam ayahnya datang, tetapi sudah beberapa kali. Apa saya buat tengah malam di dalam masjid? Saya tak akan menceritakan kebalikan saya kepada anda, kerana takut akan ditarik balik pahala.

Hari ini, setelah datang belajar di Syria, saya tidak lagi mendengar khabar dia, adakah dia masih mencuri, atau sudah insaf. Apa pun saya berdoa agar dia insaf dan kembali ke jalan yang benar (ini doa orang yang dizalimi, insya-Allah makbul). Dan segala harta saya yang dah menjadi darah daging beliau saya halalkan.

10 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Kesian siayah dan siibu sahabat itu. Itulah. Banyak kita mendengar juga, walaupun ayah seorang imam pun belum tentu anaknya ikut berperangai baik.

Kita doakan semoga dibukakan hatinya, diberi petunjuk.

hakim dirani said...

Balackpurple,
Ya, sama2lah kita berdoa.

zizie ali said...

besarnya dugaan yg terpaksa ditempuhi oleh kedua org tuanya. mungkin dia memerlukan 'sesuatu peristiwa' untk menginsafkannya.

kingbinjai said...

kau sgt baik hati

Bunga Rampai said...

Salam,

Betapa terhirisnya hati orang tuanya, dapat saya bayangkan.

Semoga Allah membuka hatinya, memberinya hidayah.

INDERA KENCANA said...

Teringat akan kisah perompak yang bertaubat dan kemudiannya menuruti jalan sufi... :)

Iman Mawaddah said...

Iman tidak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Mungkin juga ini adalah ujian untuk ayah dan ibunya. Semoga dia temui jalan pulang.

hakim dirani said...

Zizie Ali,
Saya harap peristiwa itu adalah peristiwa yang baik. insyaAllah.

Kingbinjai,
Astaghgirullah al-azim.

Bunga Rampai,
Mudah-mudahan.

Indera Kencana,
Saya harap dia seperti ahli sufi itu kelak.

Iman Mawaddah,
InsyaAllah.

Anonymous said...

salam,

saya tersentuh waktu membaca entri ini. Sebetulnya, saya pernah mencuri, bukan sekali.. tapi berkali-kali.

Saya dulu seorang yang susah. Makan pakai agak terabai. Saya pernah tidak makan 2,3 hari. Cuma ada sehelai pakaian pada satu waktu, dan sudah koyak rabak.

Waktu itu, saya tidak terfikir jalan lain, cuma berniat untuk meminjam. Lama kelamaan sudah jadi kebiasaan.

Alhamdulillah, hidayah Allah datang pada saya, dan saya insaf dan melakukan taubat nasuha. Saya menangis saban hari, saban malam.. memohon ampun dan petunjuk dari Allah. MAna2 hutang yang saya buat, saya cuba langsaikan.

Ya, akibat dari perbuatan saya, yang paling teruk ialah kepercayaan. Saya hilang kepercayaan dari keluarga dan kawan-kawan.

Saya harap jika ada masalah kecurian sebegini lagi, silalah cari puncanya, cari jalan penyelesaian, dekati remaja tersebut. Mana tahu, kita boleh mengubahnya!

hakim dirani said...

Anonymous,
Kalau tak keberatan ceritakan pendapat anda kepada saya untuk saya cuba di sana. insyaAllah.