Jika hujan turun, selepas dua atau tiga hari selepasnya adalah hari-hari tersejuk di dalam musim yang sedia sejuk ini. Rasanya semua negeri yang mempunyai empat musim seperti di sini, selepas hujan ialah antara waktu yang tersejuk.
Sengaja saya redah hujan sejuk ini hanya kerana satu alasan, seronok. Sebenarnya boleh sahaja saya tunggu sehingga reda sedikit kemudian baru saya redah. Tetapi alang-alang dah teringin nak bermesra dengan hujan saya redah juga.
Biasanya selepas bermain dengan hujan, tambahan pula yang sejuk kita akan diserang Demam atau selesema. Inilah kebiasaan yang saya tahu. Kalau anda semua tak terjadi kebiasaan ini, tak tahulah saya.
Sebenarnya saya bukan mahu cerita tentang hujan di sini. Saya ingin cerita tentang keadaan saya. Cuma saya ingin mengaitkan cerita hujan tadi dengan keadaan sekarang ini.
Masuk Cerita.
Seperti kawan-kawan yang lain, saya datang ke bumi barakah ini untuk belajar, untuk menuntut ilmu, dan lain-lain lagi yang seerti dengannya. Sungguh! hanya untuk itu. Memang semua orang akan berpesan seperti ini sebelum saya datang sehingga selepas saya menjejakkan kaki di sini.
Pada detik-detik awal proses pembelajaran ini nampak berjalan lancar. Walaupun tak serajin dan tak sebanyak kawan-kawan yang lain(pengajian tadah kitab), tetapi sesi pengajian yang saya sertai memberi semangat untuk terus belajar, terus belajar dan terus belajar.
Ini bererti, walaupun tidak sebanyak kawan-kawan, tetapi segala persediaan dapat dibuat, natijahnya segala isi yang guru berikan akan terus masuk ke otak, tanpa melencong ke mana-mana.
Tetapi, selepas setahun yang mula itu, saya mula berjinak-jinak dengan persatuan pelajar. Saya terpilih dalam Pilihan Raya sebagai Exco Lembaga Eksekutif. Maka, secara tidak langsung ia memberi kesan walau tidak banyak kepada proses pembelajaran saya. Yang menjadi masalahnya, kesan yang baik atau sebaliknya.
Kata sebahagian orang, aktif dalam persatuan pelajar akan membantu pembelajaran sebenarnya. Malah ia sebenarnya belajar juga. Belajar cara memimpin, belajar cara bermasyarakat dan macam-macam lagi jenis belajar yang diterangkan kepada saya. Apa yang saya nampak ketika itu, perkara ini memang memerlukan pengorbanan dari saya.
Seperti meletakkan garam di luka yang parah, saya menyertai pula sebagai pembantu editor di jurnal Itqan (jurnal persatuan Pelajar Malaysia Syria) walaupun masih belum pandai menulis, tetapi belajar. Bukankah ini juga perlukan masa dan pengorbanan dari saya?.
Luka yang dah parah kemudian saya jatuhkan pula tangga di atasnya. Inilah keadaan saya. Pantang ada sebarang tawaran dan jawatan pasti saya sebat. Ini bukan bererti saya gila pangkat, tetapi saya melihat kebaikan di sebaliknya. Contohnya menghidupkan semula Ikatan Pelajar Pulau Pinang Syria dan sebagainya.
Anda mesti hairan, kenapa kalau sudah tahu membebankan kenapa mesti terima semua jawatan itu?
Jawapannya mudah sahaja, seperti yang kedua ibu bapa saya ajarkan sebelum ini, supaya tidak menghampakan harapan orang lain, maka segala permintaan yang saya terima semua saya setuju. Ataupun, saya ini lilin yang mencederakan diri sendiri untuk kebaikan orang lain.
(Alamak!, saya kelihatan begitu baik pula)
Seperti hujan, saya boleh sahaja tak menerima segala jawatan itu. Tetapi kerana saya seronok, maka segala-galanya saya terima.
Seperti hujan juga, saya tahu ia akan menyebabkan saya selesema dan demam. Tapi bagi saya tak semua orang akan sakit jika selepas balik terus mandi dan sebagainya.
Bagi saya dua atau tiga hari selepas hujan adalah hari yang tersejuk adalah sesuatu yang perlu diterima, mana boleh lari-lari. Yang perlu saya lakukan ialah menyediakan apa-apa yang patut seperti pemanas dan sebagainya. Anda nampak maksud saya kan?
Sebenarnya, segala yang saya terima ini (jawatan di atas) memberikan implikasi walaupun tidak dinafikan kebaikannya. Contohnya, terpaksa meninggalkan sebahagian pengajian, waktu untuk berehat kurang dan sebagainya.
Bila difikirkan kembali benar pula kata Abdul Muin sahabat saya yang seorang itu,
“Saya ini pelajar ZALIM” Kerana sepatutnya saya hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Tetapi aktiviti terpaksa saya kurangkan untuk aktiviti yang lain. Zalim bermaksud Saya tak menjalankan tanggungjawab saya yang utama sebagai pelajar sepenuhnya.
Saya nak minta tunjuk ajar dari anda semua berkenaan masalah saya ini. Perlukah saya terus bergiat dalam kokurikulum sehingga pelajaran yang lebih penting itu sedikit terganggu.
emelkan sahaja jika ianya panjang.
Terima kasih.