Thursday, September 28, 2006

RAMADHAN KAREEM

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa.

Telah menjadi kewajipan kepada kita sebagai umat Islam akan beramal ibadat demi memenuhi tuntutan Islam yang kita cintai. Bukankah Rasulullah pernah bersabda (maksudnya), Siapa yang membangunkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu. Takkan kita yang membaca hadis yang masyhur ini tak rasa teringin untuk memperbanyakkan ibadah dan amalan kita.

Kalau nak di ceritakan, tak terkira banyaknya kelebihan dan keutamaan bagi yang menghidupkan bulan barakah ini. Apa pun ini terletak di atas bahu sendiri. Tak ada orang yang boleh memaksa.

Sebenarnya hari ini saya ingin berkongsi pengalaman berpuasa di bumi anbiya ini. Saya ingin menumpukan pada cara mereka menghidupkan bulan Ramadhan. Mungkin sebahagian tempat sama dengan apa yang saya akan ceritakan dan sebahagian yang lain tak mempunyi persamaan. Jadi saya cerita semua sekali.

Perkara yang pertama yang saya ingin ceritakan ialah solat. Di Malaysia jika di bulan selain Ramadhan, sesetengah masjid cuma ada sepuluh orang, maka di bulan Ramadhan akan mencecah satu atau dua saf. Ini solat fardu yang lima, bukan solat Tarawih. Tetapi lain pula di Syria. Di bulan selain Ramadhan biasanya hampir seratus orang dan pada bulan Ramadhan pula akan orang yang bersolat akan memenuhi masjid. Teringat saya ketika baru merasai bulan Ramadhan di sini, saya terpaksa solat Subuh di luar masjid kerana dipenuhi oleh jemaah yang lain.

Begitulah solat yang cukup diutamakan oleh masyarakat di sini. Kalau solat Tarawih pula lagi lah bersungguh arab-arab sini. Di Syria masjid begitu banyak dan berdekatan. Solat Tarawih akan menyebabkan setiap masjid dan jami' di sini penuh. Lagi banyak daripada solat fardu yang lima.

Yang kedua yang lebih dan menarik pada Ramadhan ialah mereka memperbanyakkan sedekah. Kami panggil tabarruk. Seikhlasnya arab Syria ini sangat suka menderma. Oleh kerana tabung di setiap masjid di sini berwarna jernih, amat mudah untuk saya melihat duit-duit yang disedekah. Susahlah nak melihat duit yang syiling. Yang kelihatan duit besar-besar sahaja.

Jika di bulan barakah ini selain disedekah di masjid mereka akan mencari pelajar-pelajar agama untuk ditabarruk. Kalau mereka terserempak dengan pelajar-pelajar terus di'paksa' untuk menerima tabarruk mereka itu. Ada juga yang pergi kerumah pelajar untuk di berikan tabarruk. Biasanya 1000 LS (lebih kurang RM 70). Sesetengah yang lain pula menyerahkan kepada masjid untuk diedarkan kepada pelajar. Ada sesetengah masjid lebih senang memberi kepada pelajar Malaysia. Mungkin kerana pelajar kita yang rajin dan kelihatan sopan santun. Mungkin.

Ramai juga yang menyediakan makanan di masjid atau di maahad. Jika di maahad, pelajar akan membawa bungkusan yang siap untuk dibawa pulang. Masjid pula akan membuat jamuan berbuka. Yang saya hairan setiap jamuan yang saya sertai semuanya nasi. Padahal nasi bukan makanan asasi mereka. Makanan asasi mereka ialah roti.

Dulu ketika masih kecil, saya terfikir tentu tak seronok belajar di luar negara kerana tak dapat duit raya. Hari ini saya baru tahu bahawa belajar di sini ada dan dapat duit raya. Setiap pelajar Maahad Tahzib akan mendapat 'duit raya' yang akan diberi sebelum cuti raya.

Satu lagi. Sepuluh malam terakhir masjid tidak dikunci kerana memberi ruang kepada orang-orang yang nak beribadat. Masjid biasanya memang dikunci. Tak tahu pula saya kenapa. Yang pasti bukan kerana pasangan berasmara seperti sesetengah tempat di luar Syria. Ketika itu (10 terakhir bulan Ramadhan) memang seronok sekali. Sejuk ja mata memandang.

Apapun setiap tempat yang kita tinggal tentu ada keseronokan atau cara tersendiri. Yang penting ianya selari dengan tuntutan Islam.


PERKEMBANGAN ADIK SAYA DAN RAKAN-RAKAN.

Mungkin kerana doa anda semua mereka sekarang sudah berada di Mesir. Dan sebahagian daripada mereka akan ke sini sabagai percubaan. Dan sebahagian yang lain akan menyusul. Ini perancangan mereka tetapi perancangan Allah siapa yang tahu?

Kita doakan sama-sama agar cita-cita mereka akan terlaksana. Kelmarin kawan kami yang berada di Mesir yang menguruskan mereka, Farhan dan Mat Jeng ada memberitahu yang mereka ini terdapat 'sedikit' masalah.

Mulanya semasa mereka sampai di Mesir, alhamdulillah tak ada sebarang masalah. Pada keesokannya pula mereka dipanggil oleh kedutaan untuk berbincang. Selepas itu berita sampai kepada saya yang mereka ada 'sedikit' masalah. Kata Farhan mereka mungkin akan kena balik.

Apa-apa pun syukur kepada Allah kerana segalanya dah selesai. Seperti saya ceritakan tadi, mungkin sebelum raya ini sebahagian dari mereka akan ke sini.

Rehlah ilmiah musim ini: Senandung Malam

Wednesday, September 20, 2006

KERANA INI SUATU TAKDIR

Apa perasaan anda apabila mendengar arahan supaya keluar dari bumi asing dalam masa dua belas hari. Ketika itu anda datang ke situ hanya untuk belajar. ya. Hanya untuk melihat Islam bangun dan maju. hanya untuk menyedarkan masyarakat yang kian tersasar dari jalan sebenar.

Itulah nasib mereka yang datang pada sembilan september baru-baru ini. Selepas membuat perbincangan beberapa kali dengan kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) keputusan yang diterima hari ini ialah mereka harus keluar dari bumi Syam ini sebelum 24 september 2006.

Pada asalnya mereka diarahkan keluar dari Syria terus pulang ke Malaysia. Tadi semua pelajar tersebut telah bersepakat ingin pergi ke Mesir. Kata mereka daripada pulang ke Malaysia yang memakan kos yang tinggi lebih baik ke Mesir. Tambangnya murah tempat mengaji juga banyak.

Saya, ketika mendengar mereka perlu pulang, terasa amat pedih nak menerima hakikat ini. Masakan tidak, ibu dan bapa mereka yang telah menghabiskan ribuan ringgit untuk melihat anak-anak mereka menuntut ilmu di sini pasti amat perit untuk menerima berita ini.

Tambahan di antara ayah dan ibu yang terpaksa menerima berita perit ini ayah dan ibu saya sendiri. Tak sampai hati pula nak menceritakan segala yang telah berlaku di sini. Bila difikirkan segala pengorbanan yang ayah dan ibu gadaikan, saya jadi buntu.

Ingat lagi pesanan mak sebelum adik tiba di sini. "Angah, jaga adik elok-elok. Pastikan adik selamat disana."

Ketika ini mak dan abah masih tak tahu yang adik akan keluar dari sini. Jika ditanya kepada saya bagaimana keadaan di sini, saya jawab semuanya selamat. Ketika itu PPMS mempunyai beberapa perancangan untuk mengatasi masalah ini. Sekarang jalannya cuma satu, keluaran mereka ke Mesir.

Hari ini pesanan mak itu terpaksa saya tolak dan mungkin 24 september ini saya akan berpisah lagi dengan satu-satu adik saya itu. Ini cabaran kami. Saya perlu kuat dan tabah untuk menerima segala ujian yang Allah beri sebelum mengecapi rahmat dan nikmatnya.

Sekarang, Persatuan Pelajar Malaysia Syria akan mengutip dari ahlinya bantuan untuk mebiayai pelajar-pelajar ini ke Mesir. Mudah-mudahan cukuplah duit yang di kutip untuk membantu serba sedikit perjalanan mereka sebelum 24 haribulan ini.

Ini cabaran untuk mereka. Allah dah tetapkan dari A'zali lagi. Yang perlu kita lakukan, menerima dengan hati yang rela dan terbuka.

Kepada abah dan mak angah minta maaf kerana tak dapat tunaikan permintaan abah dan mak untuk menjaga adik dengan baik.

Mudah-mudahan esok mak dan abah dapat terima berita ini seadanya kerana kita merancang, Allah juga merancang. sebaik-baik perancangan itu dari Allah.

Sebab mengapa mereka perlu keluar dari Syria:Daripada satu sumber yang saya juga tak pasti mengatakan bahawa ini daripada kesan peperangan antara Lubnan dan Israel. Jadi kerajaan Syria tak mahu lagi menerima pelajar baru ke sini. Jadi kaitannya saya juga tak jelas.

Seorang daripada pelajar yang akan dipulangkan itu ada memberitahu saya yang dia tak tahu prosuder nak belajar di sini. Mungkin salahnya. Saya cakap kepadanya "ini bukan salah anta, anta dah buat segala yang perlu tapi kerajaan Syria tak mahu terima. Nak buat macam mana."

Ya Allah, bantulah Kami!

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN BUAT BONDA

Kepada bondaku Hajah Zainab binti Abdur rahman, selamat menyambut ulang tahun keliharan yang ke 50 pada sembilan september lalu. anakanda doakan bonda panjang umur dan sentiasa berada di bawah rahmat Allah.

Segala Pengorbanan yang bonda curahkan kepada anakanda akan terus tersemat di dada dan insya-Allah anakanda akan membalas jasa bonda dengan sedaya yang mungkin. ini janji anakanda.

Bonda, anakanda Janji akan membalas segala pengorbanan yang telah diberikan selagi termampu. Walaupun anakanda tak mampu membalas sedikit dari pengorbananmu tapi anakanda akan cuba sedaya upaya. insya-Allah.

Izinkan Anakanda mengecap nikmat syurga yang berada di bawah tapak kakimu bonda.

Tuesday, September 12, 2006

KITA HANYA MERANCANG....

3.30 petang: "Alamak! mereka tiba lewat setengah jam dari yang di tetapkan." Rungut saya.

4.00 petang: "Alhamdulillah, sampai juga mereka." Reaksi kami apabila menerima makluman yang rombongan dah sampai. Ketika itu bilangan kami yang menunggu seramai hampir 30 orang.

5.00 petang: "Lama juga ya mereka nak keluar" Kami masih menuggu. kami dah mula merasa hairan dan gelisah.

5.30 petang: Keluar Shahrizal (pelajar yang pulang bercuti) ke tempat kami menunggu. Kami terus menerpa Shahrizal.

Kata Shahrizal semua dua belas pelajar baru tak dapat keluar. Mereka ditahan. Mereka masih menunggu di dalam. Wadi Anuar masih uruskan mereka.

6.00 petang: Ibu bapa Wadi Anuar keluar menemui kami. Kata pak cik itu, dia dapat keluar kerana dia membeli tiket pergi dan balik. pak cik dan mak cik pulang ke Damsyik. Dia tak tahu di mana dia akan tinggal kerana anaknya masih di dalam menguruskan pelajar baru yang dua belas orang itu.

Selain Wadi Anuar masih ada seorang pelajar yang pulang bercuti namanya Nazir Pawan Zainal. Turut ditahan.

Kami hubungi presiden PPMS Abu Bakr bin Sidik. Dia baru balik dari belajar. Dia amat letih ketika itu.

7.00 senja: Bilangan kami semakin berkurangan. kami hanya tinggal 15 orang(kalau tak salah).

Abu Bakr tiba di Lapangan Terbang Damascus. Abu Bakr menuju ke arah kami. Abu Bakr tanya apa perkembangan pelajar yang ditahan, yang tak dibenarkan keluar, yang termasuk daripada mereka Mohd Farid Hamdi bin Redzuan iaitu adik saya. Abu Bakr menghubungi Kedutaan Malaysia Di Syria memohon kejasama mereka menguruskan pelajar yang masih tak dapat keluar, yang masih ditahan, yang salah seorang daripada mereka adik saya.

selepas itu Abu Bakr menghubungi Mr Samir. saya tak jelas apa jawatan dan hubungan dia dengan Kerajaan Malaysia, tetapi saya beranggapan yang Encik Samir amat diperlukan khidmatnya. Dia seperti dapat menolong.

Kami yang masih di Balai Menunggu, sudah pasti amat risau. Kami Berdoa agar Allah permudahkan urusan mereka.

7.15. senja: Hari sudah malam. Mereka masih belum keluar. Kami masih menuggu apa-apa berita dari dalam. kami cuba hubungi mereka.

Ustazah Maryam Jamilah Yusuf yang mengetuai pelajar perempuan masih menunggu tiga orang pelajar perempuan yang masih ditahan bersama rombongan Wadi Anuar.

8.00 malam: Wadi Anuar keluar menemui kami. katanya, pelajar yang ditahan memang susah nak dilepaskan. Tambah Wadi, mereka seperti tak mahu pelajar luar datang belajar di sini.

9.00 malam: Oleh kerana keadaan masih tak di menentu kami minta Ustazah Maryam dan kawan-kawannya pulang dahulu. Nanti kami yang akan uruskan semua. mereka menurut. Hafiz Ahmad yang diprtanggungjawabkan untuk menemani Ustazah Maryam dan rakan-rakannya pulang.

Dalam tempoh ini segala percubaan demi percubaan kami buat untuk permudahkan urusan.


12.00 pagi: Kami merasa sedikit gembira kerana wakil Kedutaan datang terus berjumpa pegawai yang bertanggungjawab. Kami seperti mendapat sedikit harapan.

1.00 pagi: Datang seorang lagi pegawai kedutaan. Dia terus bertemu pegawai Lapangan Terbang, sama seperti pegawai kedutaan yang pertama tadi.

Pihak kedutaan banyak berhubung dengan Abu Bakr. Segala perkembangan mereka saling berkongsi.

Mr Samir juga datang di juga seperti pegawai kedutaan terus masuk ke dalam.

1.30 pagi: kata pegawai kedutaan bahawa pelajar yang ditahan akan keluar dalam tempoh setengah jam selepas itu. mereka minta kami cari kenderaan untuk pulang. Kami menarik nafas lega.

2.30 pagi: pihak kedutaan memaklumkan yang mereka akan keluar dalam tempoh 20 minit kemudian. kami dimaklumkan yang pelajar yang ditahan akan dihantar pulang ke tanahair selepas dua minggu.

Saya ketika itu dah tak tahu nak cakap apa. Saya hanya mampu berdoa dan bertawakkal.

3.00 pagi: Alhamdulillah. Mereka Keluar juga Akhirnya. Pegawai Kedutaan iringi mereka. Pegawai Kedutaan maklumkan yang mereka akan adakan perjumpaan tentang dua belas pelajar ini. pasport mereka akan dipegang dan dijaga oleh Kedutaan. PPMS perlu Tunggu panggilan dari Kedutaan.

Sedih saya lihat mereka. letih semuanya. Kami segera mencari kenderaan untuk ke Damsyik. Mereka perlu direhatkan segera.

Hari ini. ketika ini. pelajar masih dihantui dengan berita yang mereka akan dihantar pulang dalam tempoh dua minggu.

Kedutaan masih belum menghubungi kami. Segala maklumat terkini kami hanya masih menunggu.

ketika ini juga seorang pelajar yang baru ke sini masih ditahan. Saya berdoa agar Allah mempermudahkan urusan.

Tadi, ketika saya ke sebuah kedai. saya dengar dari penjaga kedai itu yang Pemerintah Syria sekarang ini ditekan supaya menutup sekolah aliran agama (Islam) di sini. Kita sama-sama lah berdoa.

Saya juga Berharap agar anda semua tolong berdoa agar Maahad Syarie di sini beroperasi dan akan terus beroperasi. marilah kita sama-sama berdoa agar pelajar yang akan ke sini tidak lagi menghadapi rintangan seperti yang sebelum ini.

Kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Friday, September 08, 2006

ADIK DAH NAK SAMPAI

Alhamdulillah, adik dah bertolak dari Malaysia. kalau tak ada aral melintang esok sampailah dia. Mak cakap yang adik bertolak dari Bayan Lepas jam 9.30 malam dan dari KLIA pukul jam 3.00 pagi dan insya-Allah jam 3.30 petang esok waktu Syria sampailah.

Berdebar pula rasa ketika ini. Mudah-mudahan perjalanan mereka sampai ke sini dengan selamat.

saya betul-betul berasa seronok apabila mendengar yang adik akan ke sini. Bukan sekadar kerana saya akan berjumpa dengan adik tapi, kerana bila mengenangkan pecubaannya nak ke sini beberapa kali gagal.

Pada asalnya adik nak ke sini dengan ustaz Abdul Khair tetapi terpaksa ditangguhkan kerana risaukan perang (antara Israel dan Hizbullah). Saya melihat mak dan abah ketika itu cukup risau. masakan tidak, sepatutunya adik ke INSANIAH, tetapi atas beberapa sebab berlaku perubahan dan adik bercadangan ke sini. Jika adik tak jadi ke sini maka dalam tempoh ini hingga pendaftaran akan datang dia tak masuk mana-mana pusat pengajian. jadi rugi lah.

Selepas ustaz Abdul Khair menangguhkan perjalanan, mak ada dengar yang seorang pelajar dari sini yang balik bercuti. Mak terus minta no telefon Wadi Annuar(pelajar yang pulang bercuti) dari saya. Mak tentu risau ketika tu. Adik saya tahu, dia akan buat tak tahu sahaja kerana dia tahu mak akan uruskan semua.

Selepas itu, timbul pula satu masalah sijil belum dicop. Tak selesai lagi rupanya. Mak dan abah jenuh telefon kesana kemari untuk selesaikan masalah cop ini. dan seperti biasa selesai juga masalah cop. sekarang ini sijil mereka dah sampai dan tunggu untuk di selesaikan. Adik macam biasa tak risau punya.

Hari ini saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Adik ketika ini dah bertolak ke sini. Saya berdoa agar perjalanan mereka bersama rahmat Allah. mudah-mudahan malaikat menghamparkan sayapnya kepada mereka.

Alhamdulillah segala urusan mereka di sini dah selesai walaupun ada sedikit kecelaruan. segalanya dah disediakan, mudah-mudahan esok segalanya berjalan dengan lancar dan seperti apa yang dirancang.

Esok bermulalah kisah seorang yang bergelar sinior memberi "tunjuk ajar" kepada adik-adik junior.