Jika orang bertanya kepada saya, siapa yang paling banyak berkorban? yang saya tahu ialah ibu dan ayah. Ini jawapan saya. Mungkin keadaan saya, persekitaran saya mengajar begitu. Anda pula bagaimana? Jika dari kecil tidak biasa dengan belaian dua ibu bapa, rasanya susah untuk sependapat dengan saya. Mungkin guru, nenek dan sebagainya.
Jika orang bertanya kepada saya, siapa manusia yang paling tak guna? Saya jawab seorang anak yang mendapat sepenuh kasih sayang dari dua ibu bapanya, tiba-tiba menjadi seorang anak yang derhaka kepada mereka. Anda pula bagaimana?
Dahulu, ketika saya masih di Malaysia, saya pernah mendengar cerita tentang anak durjana yang sanggup mencederakan kedua ibu bapanya. Ya, saya mengetahui cerita-cerita begini ketika terbaca surat khabar atau mendengar kaset ceramah dari guru-guru agama, atau dari kaca televisyen. Anda pula bagai mana?
Kalau nak cerita, memang terlalu banyak hadis-hadis dan ayat al-Quran yang mencerita sekaligus menyuruh supaya menyayangi ibu dan ayah. Cerita seorang sahabat Rasulullah yang tidak dapat menghembuskan nafas terakhir kerana pernah melukakan hati ibu. Bagi saya kisah yang cukup menginsafkan ini terlalu susah untuk dilupakan. Anda pula bagaimana?
Oh, tidak! Bukan sekadar di TIVI, kaset dan surat khabar sahaja saya dapat tahu cerita sebegini. Ada satu kisah benar yang berlaku. Bukan pada saya. Tetapi berlaku pada salah seorang sahabat ibu saya.
Tentang kasih ibu,
Mak cik A sudah kematian suaminya. Maka segala tanggungjawab menjaga, menyara dan membiayai anak-anak terletak atas bahunya. Nasib baik arwah suaminya ada meninggalkan sedikit harta, ringanlah sedikit bebanan untuk membeli peralatan sekolah, membayar bil api dan sebagainya.
Kerana memikirkan masa depan, dia membuat pelbagai kerja untuk menampung kehidupan harian. Menjual kuih dan sebagainya. Saya masih ingat, ketika kami sekeluarga menziarahinya, dia menjamu kami dengan kuih-kuih jualannya itu.
Saya pasti mak cik A tak pernah terfikir salah seorang daripada anaknya yang dia tatang bagai minyak yang penuh itu akan melukakan hatinya. Tetapi saya tak pasti sama ada mak cik A sanggup menendang anaknya semasa kecil walau dia tahu anaknya akan mencederakan hatinya sekaligus jasad tuanya.
Alhamdulillah, Allah menjodohkan mak cik A dengan seorang lelaki yang menjadi suaminya sekarang. Ketika ini saya masih tak mendengar apa-apa berita tentangnya.
Satu hari mak cik A datang tempat saya menolong ayah dan ibu saya berniaga. Emak pergi berjumpa dengan mak cik A. Selepas mak cik A pulang, barulah saya dapat tahu segala-galanya. Mak cik A baru lepas dicederakan oleh anaknya. Sebabnya mudah sahaja, anak yang menganggur itu mahu wang. Dia itu menuntut semua harta peninggalan arwah ayah yang masih berbaki. Mana mungkin mak cik A akan memberi. Anaknya yang sedang belajar juga ada. Kalau diberi kepada anaknya yang seorang ini, akan susah baki anak-anaknya.
"Memang dasar kacang melupakan kulit" ada patut dia menuduh bapa tirinya itu akan membolot segala harta peninggalan itu. Jadi, kerana tak mahu ibunya terhasut dengan ayah tirinya jadi dia mahukan harta itu.
Emak cerita lagi, teruk juga luka badan mak cik A. Selepas kena pukul, anaknya tak keluar dari rumah itu. Mak cik A yang keluar cari rumah sewa baru. Terbalik pula. Saya fikir juga, kenapa sampai begitu sekali tindakannya.
Yang lebih menyedihkan, mak cik A sentiasa mengambil tahu tentang makan minum anaknya. Biarlah dia dipukul, tapi jangan anak sakit kelaparan. Dia tetap pergi menjenguk walaupun dari kejauhan atau dari anaknya yang lain. Biarlah dia yang cedera, tetapi jangan anaknya yang tercedera. Itulah kasih ibu, sudahlah anaknya itu tak langsung membalas jasanya malah mencederakannya pula.
Baru-baru ini, emak beritahu yang anaknya yang seorang itu sudah dapat pekerjaan. Tetapi saya tak pasti pula dia sudah taubat nasuha dan minta maaf kepada ibunya.
Saya sudah berdoa kepada Allah supaya dia taubat dan menjadi anak yang soleh. Anda pula bagaimana?